UJI BAKAT MASTERCHEF MALAYSIA TERIMA SAMBUTAN POSITIF
Lokasi ujibakat terbaru di Johor Bahru selepas Pulau Pinang dan Sabah
Penerimaan masyarakat umum terhadap program realiti masakan popular dunia yang kini diperkenalkan buat pertama kali di Malaysia; MasterChef ternyata mendapat sambutan yang positif dan memberangsangkan daripada orang ramai sewaktu sesi uji bakat yang telah berlangsung di dua buah negeri baru-baru ini. Setelah menjelajah ke Pulau Pinang pada 23 & 24 April lalu dan Sabah (30 April & 1 Mei), kini pihak produksi bakal berkunjung ke Johor Bahru pada 7 Mei ini untuk sesi uji bakat yang seterusnya.
Pengurus Saluran Ria, Puan Azlin Reza Azmi
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Puan Azlin Reza Azmi, “Kami amat berbesar hati dan kagum melihat kesungguhan dan persediaan para peserta yang menghadirkan diri ke sesi uji bakat program MasterChef Malaysia yang baru sahaja diperkenalkan buat pertama kali ini. Ini jelas membuktikan sokongan ramai terhadap industri pembangunan pengisian kandungan yang berkualiti untuk ditonton.
Melihat kepada persediaan para peserta yang hadir sewaktu sesi uji bakat di Pulau Pinang dan Sabah, ternyata rata-rata sudah bersedia dengan hidangan yang siap dibawa dari rumah masing-masing. Hadir dengan membawa segunung harapan untuk bertanding di dalam rancangan yang berprestij ini, kesemua para peserta cuba memperlihatkan kesungguhan, kreativiti dan daya saing masing-masing menerusi setiap hidangan yang dipersembahkan kepada juri-juri professional yang terlibat.
Pelbagai ragam dan reaksi peserta yang hadir dapat dilihat. Ada juga di kalangan peserta yang hadir terpaksa menempuhi perjalanan yang agak jauh sebelum sampai ke tempat uji bakat dan kemudian terpaksa pula menunggu lama sehingga nombor giliran mereka dipanggil demi memperlihatkan bakat dan minat yang mendalam terhadap dunia masakan,” jelas Azlin.
Gandingan Chef Johari Edrus dan Chef Zubir Mohd Zain serta ditemani oleh chef undangan dari setiap lokasi iaitu Chef Yeoh (Hotel Equatorial Penang) dan Chef Joseph (Beverly Hotel Sabah) telah dipertanggungjawabkan untuk mencungkil dan memilih bakat dalam bidang masakan yang mempunyai personaliti unik untuk diketengahkan dalam program MasterChef Malaysia.
Menceritakan tentang pengalaman kali pertama menghadiri sesi uji bakat MasterChef Malaysia, Wahidan Hj Awang Supain, 42, berasal dari Sabah berkata, “Demi menunaikan hasrat untuk menyertai program ini, saya sanggup memandu jauh selama 10 jam untuk datang ke lokasi uji bakat. Saya amat meminati bidang masakan sejak dulu lagi. Kesibukan bekerja sebagai petani yang terpaksa menanam dan memotong kelapa sawit menyara keluarga, saya akui mempunyai kurang masa untuk membuat persediaan yang rapi sebelum hadir ke uji bakat. Walaupun diuji dengan pelbagai masalah seperti kereta rosak sewaktu perjalanan, tidak sempat mendapatkan bahan-bahan yang diperlukan kerana semua pasar sudah tutup dan sebagainya, saya tertekad untuk menyediakan sebuah hidangan lazat dengan menggunakan apa sahaja bahan yang sempat dicari dalam tempoh masa yang suntuk.”
Turut mewarnai suasana uji bakat yang berlangsung di Pulau Pinang, Nor Farieza Aziez, 22 tahun, berasal dari Pulau Pinang ternyata mempunyai misi yang cukup berbeza berbanding peserta uji bakat yang lain. Penuntut Diploma Pengajian Perniagaan di Politeknik Seberang Perai ini tekad mahu menyertai program MasterChef Malaysia untuk membuktikan yang dia juga mampu menyediakan hidangan yang lazat seperti kakaknya. Didorong dengan rasa tidak puas hati kerana kakaknya sering dipuji oleh ibunya, dia mencabar diri untuk menyediakan Ayam Masak Madu untuk dinilai oleh juri yang terlibat.
Selain itu, pihak juri juga dikejutkan dengan kebolehan seorang lagi peserta berasal dari Sabah; Mohamad Bin Hj Tahir, 45, yang berjaya ke peringkat ke-2 setelah beliau menyediakan Grilled Garlic Prawn with Safron Butter Rice and White Cream Dill Sauce. Mohamad yang bekerja sebagai seorang jurujual langsung sering membeli buku-buku masakan dan menonton rancangan masakan di Astro untuk mengetahui sekaligus mencuba resipi menarik ternyata berjaya menyediakan hidangan lazat yang hampir menyamai mutu masakan chef-chef handalan.
Mohd Danial Shaharudin, 18, berasal dari Pulau Pinang juga mempunyai kisah menarik untuk dikongsi. Selain minat yang mendalam dan ingin berjaya dalam bidang masakan, dia juga ingin mengambil kesempatan untuk mencari ayah kandungnya yang telah lama menghilang menerusi program ini jika terpilih. Dibesarkan dengan hanya menerima kasih sayang daripada seorang ibu, dia turut berharap agar kemunculannya di dalam program MasterChef Malaysia mendapat perhatian ayahnya sekaligus menghubungi mereka kembali. Bagaimanakah dengan nasibnya? Mampukah hidangannya memikat jhati juri sekaligus melayakkannya untuk mara ke peringkat seterusnya?
MasterChef Malaysia akan meneruskan penjelajahan di lokasi-lokasi seperti yang tertera di bawah. Peserta-peserta di Pulau Pinang dan Sabah sudahpun menyahut cabaran MasterChef Malaysia. Mampukah pencarian di lokasi-lokasi seterusnya mampu menandingi dan mengatasi bakat-bakat peserta yang telah hadir di lokasi sebelum ini? Sama-sama kita saksikan.
Dapatkan informasi terkini dan ikuti pelbagai aksi menarik yang dikongsi sepanjang perjalanan ujibakat yang berlangsung di laman sesawang rasmi www.masterchefmalaysia.com.my.
TARIKH/MASA LOKASI
7 Mei 2011
9 pagi – 4 petang Hotel Selesa Johor Bahru
Jalan Dato’ Abdullah Tahir/Jalan Tebrau, JB
13 Mei 2011
9 pagi – 4 petang Hotel Grand Continental Kuala Terengganu
Lot 004023, Jalan Sultan Zainal Abidin, Terengganu
20 & 21 Mei 2011
9 pagi – 4 petang KDU University College
Jalan SS 22/41, Damansara Jaya, PJ
Mohd Danial bin Firdaus
Nor Farieza bt Aziez
Wahidan bin Hj Awang Supain
Mohamad Bin Hj Tahir