“Udin Glamor Balik Kampung” Musim Ke-2 Lakonan Johan Asari dan Nabila Huda Kembali di TV2
Kuala Lumpur, 30 Disember – Mengekalkan pelakon utama Johan Asari sebagai Udin, Nabila Huda (Zack / Zakiah), Memey Suhaiza (Jenab G), Khatijah Tan (Mak Timah Kayo) dan Qazeem Nor (Samat), drama bersiri komedi “Udin Glamor Balik Kampung” kembali untuk musim ke-2 dengan pelbagai lagi karektor dan plot kisah melucukan tontonan seisi keluarga.
13 episod terbaharu ini menemui penonton Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 6 Januari ini, setiap setiap Selasa hingga Khamis, pukul 9.00 malam mengisi slot Selekta Prima di TV2.
Kisahnya bersambung dengan situasi Udin akhirnya meluahkan hasratnya untuk berkahwin dengan Zack. Zack seronok bukan kepalang maklumlah dah lama sangat dia menyimpan hati dengan si Udin’ni cuma Udin ‘ni ‘je yang baru celik mata sedar yang Zack betul-betul sukakan dia.
Mamarazi, yang dihentam teruk oleh bos editornya kerana seringkali menulis cerita-cerita basi yang tak kontroversi langsung di dalam majalah tabloid ‘Pelam’ menghidu peluang keemasan untuk mensasikan cerita Udin dan Zack yang akan berkahwin. Bos editor menyuruh Mamarazi menokok-tambah cerita yang kononnya Udin ada orang ketiga supaya jualan majalah mereka bertambah laris. Akibatnya Udin dan Zack selalu bergaduh disebabkan cerita-cerita yang disiarkan oleh Mamarazi.
Dalam masa yang sama, Samat cuba mencari jalan supaya “diceraikan” oleh isterinya, Mak Timah Kayo. Samat betul-betul dah tak tahan lagi duduk di rumah Mak Timah Kayo sebab dia rasa dah jadi macam orang gaji Mak Timah Kayo dan anaknya, Jenab G pulak.
Kampung Zack dijadikan lokasi penggambaran untuk drama yang dibintangi oleh Udin. Pengarah drama yang sakit kepala sebab pelakon yang sepatutnya melakonkan watak perempuan kampung hilang tanpa khabar berita melihat potensi Zack yang berbakat untuk diketengahkan sebagai pelakon. Pada mulanya Zack menolak tetapi setelah dipujuk oleh pengarah drama tersebut, dia pun mengalah dan bersetuju untuk berlakon.
Perangai Wiwi, heroin dalam drama tersebut yang suka tergedik-gedik dengan Udin menyebabkan Udin dan Zack selalu bergaduh di set penggambaran. Zack semakin bengang apabila Udin mempertahankan Wiwi dan menegur sikap Zack yang tidak professional yang suka mencampur-adukkan hubungan peribadi dengan urusan kerja. Zack yang terasa hati membawa diri .
Faizal, seorang pelakon lelaki yang turut sama berlakon dalam drama tersebut cuba memujuk Zack. Hubungan mereka semakin lama semakin rapat sehingga tidak disenangi oleh Udin. Akibatnya Udin dan Zack semakin kerap bergaduh sehingga menyebabkan penggambaran drama tersebut seringkali terganggu dan tidak dapat berjalan lancar.
Keadaan di set penggambaran menjadi semakin huru-hara bila Mak Timah Kayo datang dan memberi kata dua kepada pengarah samada untuk mencipta satu watak ala-ala ‘Puteri Gunung Ledang’ untuk dia atau mereka tidak dibenarkan untuk meneruskan penggambaran di dalam kampung tersebut. Pengarah yang terkejut dengan permintaan Mak Timah Kayo pengsan selama beberapa hari.
Hubungan Faizal dan Zack semakin rapat. Zack akhirnya membuat keputusan untuk menamatkan perhubungannnya dengan Udin kerana tak tahan akibat selalu sangat bergaduh dengan Udin.
Pada masa yang sama Bos editor Majalah Pelam melompat-lompat kegembiraan sebab jualan majalah tabloidnya semakin laris disebabkan cerita kontroversi yang direka oleh Mamarazi. Mamarazi pulak yang rasa bersalah sebab Zack dan Udin tak jadi kahwin disebabkan cerita-cerita kontroversi yang ditulisnya. Akhirnya Mamarazi mengambil keputusan untuk menyiasat latar belakang Faizal.
Zack pada mulanya melenting bila diberitahu oleh Mamarazi siapa Faizal yang sebenarnya, tetapi kemudiannya terdiam apabila dicabar oleh Maarazi untuk melihat dengan mata kepalanya sendiri diri Faizal yang sebenarnya.
Udin sedar kesilapan yang telah dilakukannya dan cuba untuk berbaik semula dengan Zack tetapi tidak diberi peluang kerana Zack tidak menjawab panggilan telefonnya lagi. Mamarazi yang rasa bersalah cuba membantu memperbaiki hubungan Udin dan Zack semula.