in ,

Ucapan Layar Baru Primeworks Studios

UCAPAN PENGURUS BESAR FILEM DAN DRAMA,
PRIMEWORKS STUDIOS,
AHMAD PUAD ONAH SEMPENA MAJLIS PROGRAM LAYAR BARU
DI CATHAY CINEPLEX, E@CURVE, 14 DISEMBER 2010.

Terima kasih Saudara Pengerusi Majlis

Yang Berbahagia Ketua Pengarah Finas, En. Mohd Mahyidin Mustaqim

Yang Dihormati Presiden-Presiden Persatuan Perfileman,

Yang Dihormati Produser-Produser, Pengarah-Pengarah dan Aktivis Seni jemputan khas,

Yang Diraikan Rakan-rakan wartawan media cetak dan media elektronik

Pengurusan Besar Media Prima Berhad,

Pengurusan Primeworks Studios,

Seterusnya Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati.

Assalamualaikum W.B.T

Primeworks Studios mengalu-alukan kehadiran anda sekalian ke majlis pelancaran program ”Layar Baru”, satu majlis yang diadakan khas untuk memperkenalkan tiga pengarah baru yang baru sahaja siap menghasilkan tiga buah filem terbitan Primeworks Studios yang bakal menemui anda di pawagam pada tahun 2011. InsyaAllah.

Primeworks Studios atau dulunya dikenali sebagai Grand Brilliance telah ditubuhkan pada tahun 1994 oleh Sistem Televisyen Malaysia Berhad atau TV3 dengan tujuan menghasilkan filem bagi menyemarakkan lagi industri perfileman tanah air dan pada masa yang sama untuk mengumpul kandungan bagi tayangan televisyen. Sejak ditubuhkan, GB telah menghasilkan hampir 100 buah filem, sama ada secara penerbitan sendiri, usahasama dengan penerbit tempatan atau pembelian melalui kontrak penerbitan.

Sejak ditubuhkan, GB telah melahirkan atau memberi peluang pengarahan filem kepada ramai muka baru yang kini menjadi nama besar dalam industri filem tempatan, malah ramai yang telah membuka syarikat penerbitan sendiri dan menjadi penerbit filem. Antara mereka, Mahadi J Murat, Prof Madya A. Razak Mohaiddeen, Erma Fatima, Raja Ahmad Alauddin, Aziz M. Osman, Bade Hj Azmi, Mamat Khalid, Afdlin Shauki, Allahyarham Yasmin Ahmad.

Kami juga membuka peluang pengarahan filem kepada Adman Salleh, Kamal Ishak, Sahib Selamat, Nahar Akhbar Khan, Zulkeflie M. Osman, Khabir Bhatia, Ming Jin, Sandosh Kesavan, Yeop Hitler Zami, Amir Muhammad, Naiem Ghalili, Wan Azli, Azizi Chunk Adnan, Bernard Chauly dan Dhojee.

Melalui peluang yang diberi, sebilangan daripada mereka pernah memenangi anugerah pengarah terbaik, sama ada menerusi filem-filem yang diterbitkan oleh GB, atau melalui usaha mereka seterusnya dengan syarikat penerbitan lain atau syarikat mereka sendiri.

Menyedari peranan penting yang perlu terus dimainkan oleh Primeworks Studios dalam melahirkan bakat-bakat baru, sama ada dalam bidang pengarahan, penulisan skrin, lakonan atau tenaga teknikal belakang tabir, kami mendapat mandat daripada Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaaffar untuk meneruskan tradisi corporate social responsibity kepada masyarakat. Pesanan Datuk Johan ialah Primeworks Studios hendaklah terus membuka peluang kepada anak muda tempatan untuk menunjukkan bakat mereka, walaupun dalam usaha ini kami mungkin menghadapi risiko menanggung sedikit kerugian jika filem pertama mereka tidak mendapt sambutan.

Majlis hari ini adalah untuk mengetengahkan bakat tiga pengarah baru yang menyuntikkan revolusi terbaru karya inovasi yang seiring dengan perkembangan industri filem tanah air. Penghasilan sesebuah filem itu harus sempurna bukan sahaja dari segi kualitinya tetapi juga daya kreatitiviti yang inovatif agar seiring dengan peredaran budaya serta kehendak masyarakat. Maka dengan itu, setiap karya filem yang kita bakal tayangkan dipastikan mempunyai keistimewaan tersendiri agar ia nampak berbeza dengan filem-filem yang terdahulu. Objektif utama adalah demi memberikan kepuasan kepada peminat filem tanah air di tahap yang terbaik. Untuk mencapai misi bukanlah satu perkara yang mudah namun pelbagai usaha dan faktor penyumbang membantu kami mencapai satu tahap yang boleh diklasifikasikan sebagai ’terbaik’. Salah satunya adalah pemilihan pengarah yang berpotensi dan berbakat serta skrip yang bagus.

Dua insan ini iaitu pengarah dan penulis skrip adalah permata yang sangat berharga dalam penghasilan sesebuah filem. Memahami perkara ini, Primeworks Studios hari ini dengan rasa bangga ingin memperkenalkan tiga pengarah baru beserta penulis-penulis berbakat besar yang telah memerah idea dalam menghasilkan tiga filem yang akan diperkenalkan kepada semua tetamu pada hari ini. Berbekalkan kepakaran, kreativiti serta bakat yang mereka ada, filem-filem ini diyakini dapat membuka selera baru kepada penggemar filem tempatan dengan pembaharuan yang mereka cuba ketengahkan.

Pertamanya adalah sebuah filem yang dirumus khas untuk tatapan remaja dengan mesej yang berkesan. “KLIP 3GP” yang ditulis oleh Sofea Aliza di bawah arahan Aidilfitri Yunos. Kedua dan ketiganya adalah filem yang bergenre seram di mana pendekatann yang digunakan adalah sangat berbeza dari filem-filem seram sebelum ini. “ADA SESUATU YANG TERTINGGAL” tajuk ceritanya, mempertaruhkan sebuah karya berunsurkan rasukan dan histeria hasil tulisan Eenas Mokhtar dan diarahkan oleh Asrulhisyam Ahmad atau Black. Seterusnya filem bertajuk “PENUNGGU ISTANA” menyingkap misteri sebuah tinggalan Istana lama di Perak, di mana ia lebih berasaskan sebuah dokumentari. Menariknya, pengarah projek dan penulisnya adalah orang yang sama iaitu Wan Hasliza.

Walaupun nama-nama mereka kelihatan masih segar namun hakikatnya kesemua mereka telah lama berkecimpung di dalam industri seni dengan menimba pengalaman yang berbeza lebih kepada ’di sebalik tabir’. Hari ini cita-cita dan semangat mereka untuk menjadi muka depan dalam penghasilan filem tercapai dengan pelancaran ketiga-tiga filem ini. Diharapkan usaha ini bakal menjadi landasan utama bagi mereka untuk terus mencipta nama sebagai seorang pengarah dan penulis yang berjaya pada masa hadapan dan menjadi sumber inspirasi kepada golongan muda yang lain untuk menceburi bidang perfileman ini.

Dengan ini juga, Primeworks Studios dengan sukacitanya membuka peluang dengan menjemput individu perseorangan khususnya di kalangan anak-anak muda yang berbakat untuk mempersembahkan cetusan idea atau karya penulisan cerita kepada pihak kami untuk sessi pitching yang bakal diadakan pada tahun 2011. Tarikh dan masa akan kami uar-uarkan tidak lama lagi. Program seperti ini kita harapkan dapat mencungkil lagi kebolehan golongan muda kita dalam berkarya dan seterusnya menjadi penyambung generasi dalam usaha memantapkan lagi industri perfileman Malaysia.

Sekali lagi saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua tetamu yang hadir pada hari ini kerana terus dengan kehadiran anda semua sekaligus memeriahkan lagi industri perfileman tanahair.

Assalammualaikum w.b.t

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Fizz Tidak Mahu Terburu-Buru Kahwin Almy Nadia

MTV World Stage Live in Malaysia 2011