Atas paksi membantu masyarakat termasuk golongan B40 yang bergelut dengan ujian hidup selepas berdepan era COVID-19, maka tercetuslah kolaborasi Seikhlas Hati antara stesen TV9 dan ST Rosyam Mart.
Ia direalisasikan menerusi tawaran ayam segar berharga RM1.49 seekor sebagai tanda penghargaan kepada penonton setia TV9.
Berlangsung selama dua malam pada 26 dan 27 April lalu, sebanyak 2,000 ekor ayam segar ‘laku keras’ di dua cawangan pasar raya milik Datuk Rosyam Nor di Setiawangsa dan Shah Alam.
Rosyam berkata, sebanyak 1,000 ayam licin dalam tempoh dua jam pada malam pertama di cawangan Setiawangsa. Begitu juga malam kedua, 1,000 ayam lagi habis terjual.
“Saya jadi wajah wakil TV9 sejak mengendalikan program bual bicara berbentuk kapsul 10 minit dipanggil Sembang Viral. Kemudian, program Sembang Viral Mega diterbitkan sebanyak lima episod berdurasi sejam setiap satu, sepanjang Ramadan ini.
“Seterusnya, TV9 angkat saya sebagai salah seorang wajah kempen raya. Dari situlah tercetus idea kolaborasi ini.
“Ia kolaborasi yang bagus kerana selepas menuju fasa peralihan ke endemik, tentunya ramai terasa keperitan ekonomi. Ini juga kerjasama sulung ST Rosyam Mart dengan stesen TV.
“Namun, bukanlah nak kata harga seekor ayam ditawarkan boleh meningkatkan ekonomi. Ia setidak-tidaknya boleh membuka mata ramai pihak untuk memberi sumbangan kepada masyarakat,”
– Datuk Rosyam Nor
Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH pada 2002 itu berterima kasih kepada TV9 kerana sudi bekerjasama dengan ST Rosyam Mart yang diusahakannya.
Anak kelahiran Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur ini juga berbangga kerana selepas lima tahun, pengaruh dan jenama pasar raya berkenaan mula menjadi sebutan.
“Kini, ST Rosyam Mart boleh dianggap sebagai pasar raya borong dengan persekitaran canggih dan bertaraf lima bintang.
“Saya bukan sekadar cakap kosong, tetapi dapat membuktikannya. Jika ada rezeki boleh disenaraikan dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
“Saya akan lancarkan cawangan kelima dan keenam di Taman Ehsan Kepong dan Sungai Buloh pada Jun ini. Pada masa sama, aplikasi dalam talian, Harimau Fresh juga akan dilancarkan, tidak lama lagi.
“Aplikasi ini sudah boleh dimuat naik dan sebagai persediaan ke arah digital.
“Tujuan asal kewujudan pasar raya ini nak membantu golongan B40. Kita nak beri kesaksamaan kepada pengguna tanpa pembabitan orang tengah atau pengedar. Urusan dibuat terus termasuk daripada penternak dan nelayan dengan harga murah yang berpatutan,”
– Datuk Rosyam Nor
Rosyam berkata, bukan mudah berada pada tahap sekarang.
“Cabaran mengekalkan perniagaan dengan menawarkan harga rendah bukannya perkara mudah. Pernah satu tahap, ada yang memakai selipar gerun nak masuk ke ST Rosyam Mart kerana menyangkakan mahal,”
– Datuk Rosyam Nor
Datuk Rosyam Nor akan muncul dengan telefilem Jangan Malu Menangis bergandingan dengan Fauziah Latiff pada malam raya di TV9, jam 9.30 malam
Selain membeli ayam harga dengan runtuh dan barangan lain, pengunjung juga berpeluang beramah mesra bersama Rosyam dan barisan pelakon 30 Hari Sebelum Raya iaitu Aprena Manrose, Shakilla Khoriri, Liza Abdullah dan Mark Adam serta peluang membawa pulang cenderahati istimewa daripada TV9.
Sumber: BH Online