TV9 MELANCARKAN PENJENAMAAN KEAGAMAAN TERBARU, RAUDHAH
TV9 memperkenalkan Raudhah, penjenamaan baru yang merangkumi kesemua program-program keagamaan di TV9. Raudhah bertujuan untuk menitikberatkan penjadualan dan menjadikannya lebih mudah buat penonton untuk mengikuti rancangan-rancangan kegemaran mereka.
Penjadualan utama yang diatur adalah pada setiap hari Isnin hingga Jumaat pada jam 7 pagi hingga 10 pagi, 6.30 petang dan pada 10 malam hingga 11 malam.
Raudhah yang merangkumi lapan program ilmiah ini terdiri daripada Akademi Al-Quran 5 (AQ5) yang juga menjadi program utama dalam penjenamaan Raudhah, diikuti dengan Halaqah, Semanis Kurma, Usrah, Saffiya, Tanyalah Ustaz, Tanyalah Ustazah serta Adik & Al-Quran.
Kesemua program ini amat sesuai untuk ditonton oleh seisi keluarga tanpa mengira had umur dan pada masa yang sama mendidik jiwa masyarakat sekeliling untuk mendalami ilmu jasmani dan rohaniah menerusi televisyen. Bukan itu sahaja, malah terdapat lebih banyak lagi rancangan baru yang bakal diperkenalkan sepanjang tahun hadapan.
Majlis pelancaran Raudhah dan Akademi Al-Quran musim 5 ini dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Y.B. Senator Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B). Hadir sama di majlis tersebut adalah Pengerusi Media Prima Berhad, YBhg Datuk Johan Jaaffar, Pengurus Besar Kumpulan TV3 & TV9, Puan Nurul Aini bin Abu Bakar serta Pengurus Besar TV9, Cik Sherina Nordin.
Menurut kata Pengurus Besar TV9, Cik Sherina Nordin, “Penjenamaan Raudhah diperkenalkan sebagai satu destinasi untuk kesemua penonton Muslim moden di mana mereka dapat mencari isi kandungan rohaniah yang boleh menyinari hati nurani mereka dan sekaligus mempelbagaikan ilmu pengetahuan yang sedia ada. Ia juga bagi memudahkan penonton untuk mengikuti rancangan kegemaran kerana mereka sudah tahu hari apa dan jam berapa program-program ini akan disiarkan.”
“Menerusi program-program yang disediakan ini, penonton kami juga berpeluang untuk berinteraksi terus bersama panel-panel serta pengacara untuk bertanyakan kemusykilan tentang pengisian Islam menerusi Tanyalah Ustaz, Tanyalah Ustazah dan Semanis Kurma. Kami percaya ramai di luar sana yang mengharapkan program-program sebegini dan kami berjanji akan memberikan kandungan kualiti yang terbaik khusus buat penonton setia kami. Sementara sebuah lagi program baru, Safiyya, merupakan sebuah program yang memartabatkan wanita zaman moden yang masih aktif, progresif dan proaktif tetapi tetap menitik beratkan imej muslimah serta nilai-nilai keIslaman dalam jati diri. Program Adik & Al-Quran pula mengajar anak-anak kecil mendekatkan diri dengan Al-Quran. Itulah antara program-program bermanfaat yang bernaung di bawah TV9 pada 2011 ini dalam melahirkan masyarakat yang bijak dan berilmiah,” tegas beliau lagi.
Akademi Al-Quran merupakan signature program bagi TV9 dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton sehingga mencecah 1.5 juta penonton telah membuatkan program ini muncul lagi dengan musim kelima. Pada musim terbaru ini, AQ5 bakal menampilkan dua hos berpengalaman, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman yang juga merupakan pemenang kedua AQ3 dan pernah menjuarai Pertandingan Antarabangsa Al-Quran 2009 serta Mohd Zhafran Zainuldin yang juga merupakan adik kepada Ustaz Mohd Zamri Zainuldin. Kelebihan kedua-dua hos ini ialah mereka amat fasih berbahasa Arab. Akademi Al-Quran 5 akan menemui penonton pada setiap Sabtu, jam 9.00 malam bermula 8 Januari 2011 ini.
Akademi Al-Quran mula dilahirkan pada tahun 2006 dan telah menyaksikan empat juara iaitu Anuar Hasin (juara AQ1), Abdullah Fahmi Che Nor (juara AQ2), Fakhrul Radzi Khamaruddin (juara AQ3) dan terkini Ahmad Tirmizi Ali (juara AQ4). Tujuan diwujudkan rancangan ini adalah untuk melahirkan generasi Al-Quran dengan mendedahkan mereka mengenai ilmu pembacaan Al-Quran, menekankan elemen berlagu serta tarannum dan qiraat tertentu dan paling utama adalah menyemarakkan minat penonton terhadap ilmu Al-Quran melalui satu-satunya rancangan realiti berteraskan Al-Quran.
AQ5 yang mempunyai 12 episod ini turut menampilkan tiga juri berpengalaman dan pakar di dalam bidang tertentu seperti Ustaz Nazeri Abdullah (qiraat) dan Ustaz Radhi Kamarul Hailan (tarannum) yang sememangnya telah menjadi juri tetap program ini dari musim pertama. Sementara Ustaz Nik Azizan Nik Jaafar pula merupakan juri baru yang akan memantau tajwid dan fasohah para peserta kelak. Menariknya musim kelima ini, penonton berpeluang untuk mengenali 10 bakal peserta AQ5 menerusi Nota AQ5 yang akan disiarkan selama tiga minit pada setiap Isnin hingga Jumaat. Penonton akan bersama-sama peserta menimba satu pengalaman baru di mana menerusi segmen ini, ia mengupas tentang perkara seharian yang kita lakukan selama ini yang secara tidak langsung memberi kesan di dalam kehidupan harian kita. Contohnya berkaitan pemakanan, pembacaan dan pentafsiran Al-Quran. Sementara Di Sebalik AQ5 juga turut diperkenalkan pada musim ini dan akan disiarkan selama setengah jam pada setiap Jumaat dari jam 6.30 petang. Menarik tentang Di Sebalik AQ5 ini, penonton dapat melihat gelagat peserta dan juga perkara-perkara yang bakal terjadi ketika mereka menghadiri kelas tarannum, tajwid dan qiraat dan juga perkara-perkara yang berlaku di dalam kelas.
.
Sepanjang ujibakat diadakan, hampir 1000 peserta telah mencuba nasib mereka dan amat menggembirakan apabila kebanyakan peserta yang mencuba nasib berusia antara 7 tahun hingga 10 tahun. Sememangnya bacaan adik-adik yang berusia lingkungan 7 tahun ini sangat hebat dan mendapat pujian daripada pihak juri di negeri-negeri terlibat, namun faktor usia menyebabkan pihak penerbitan tidak dapat mengambil mereka. Peserta yang layak perlu berusia antara 10 hingga 27 tahun. AQ5 diterajui oleh penerbit Shukri Ibrahim dan penerbit eksekutif Nuraeshah Malik.
Selain daripada Akademi Al-Quran yang menjadi tunjang kepada penjenamaan Raudhah, kami juga turut menyiarkan Halaqah yang diterajui oleh penerbit Haji Ahmad Noor Sulaiman. Halaqah disiarkan secara langsung pada setiap Selasa dari jam 10.00 malam hingga 11.00 malam dari Studio C, Sri Pentas atau lokasi-lokasi pilihan menampilkan gabungan dua pendakwah terkenal tanahair iaitu Ustaz Ahmad Shukri Yusoff dan Ustaz Badli Shah Alauddin sebagai pengacara. Halaqah tampil lebih segar dan berdaya saing dengan perbincangan-perbincangan ilmiah serta hukum-hakam agama yang sentiasa memberi ilmu bersama nilai tambah yang mengasak permikiran penonton dengan kupasan oleh para pendakwah, pakar motivasi serta pakar spiritual berdasarkan konsep persembahan melihat, mendengar, merasa. Halaqah memandu dan merentasi disiplin hukum Feqah, Syarak, Sirah, Muamalat, Tasawuf, Sains Al-Quran serta Tafsir Al-Quran dan Al-Hadis yang berteraskan tagline “Akar Tradisi Ilmu” dengan perbincangan topik-topik yang sesuai ditonton setiap lapisan umur serta membawa isu yang dekat, berkait rapat dengan kehendak dan kehidupan mereka serta umat Islam khasnya dengan menekankan penguasaan asas hukum Islam.
Semanis Kurma juga turut menyerikan penjenamaan Raudhah TV9 dan dihoskan oleh pasangan suami isteri yang romantis iaitu Dato’ Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood dan suami, Ustaz Wan Akashah bin Wan Abdul Hamid. Program bual bicara menarik yang menampilkan isu-isu pemasalahan keluarga terutamanya rumahtangga ini disiarkan setiap hari Khamis jam 10.00 malam. Program yang banyak memberi pandangan dan dorongan kepada pasangan bermasalah atau mempunyai sebarang kemusykilan tentang hidup berumahtangga ini juga turut menjemput dua tetamu di studio untuk berkongsi pengalaman berkaitan dengan topik yang dibincangkan. Kedua pengacara ini juga turut mendengar masalah penonton menerusi bualan telefon. Menerusi program ini sekurang-kurangnya penonton dapat berkongsi masalah mereka dan mendengar nasihat yang diberikan oleh dua pakar motivasi tersebut berdasarkan kepada hadis-hadis serta ayat-ayat Al-Quran.
Kepada mereka yang mempunyai sebarang kemusyikan dalam pengisian Islam seperti fardhu kifayah, fadhu ain dan sebagainya, bolehlah kemukakan pemasalahan mereka menerusi program Tanyalah Ustaz yang disiarkan setiap hari selama satu jam bermula 7.00 pagi. Setiap episod akan menampilkan seorang ustaz atau pendakwah bertauliah dan setiap jawapan kepada pemasaalahan samada menerusi email mahupun panggilan telefon akan diperjelaskan berdasarkan ayat-ayat Al-Quran.
Tanyalah Ustazah yang merupakan program terbaru TV9 pula akan disiarkan pada setiap Jumaat dari jam 11.30 pagi hingga 12.30 tengahari bermula 7 Januari 2011. Program Tanyalah Ustazah ini adalah berdasarkan program popular TV9 yang sedia ada iaitu Tanyalah Ustaz. Setiap episod akan menampilkan seorang ustazah berpengalaman dan siarkan secara langsung dari Studio C. Penonton di studio dan juga penoton di rumah boleh berinteraksi bersama ustazah jemputan mengenai topik yang diberikan dalam setiap espisod. Di akhir program, Ustazah tersebut akan memberikan tips-tips berfaedah serta panduan-panduan bermanfaat sebagai kesimpulan kepada topik yang dibincangkan. Program Tanyalah Ustaz dan Tanyalah Ustazah diterajui oleh saudara Ruzmi Kamaruddin.
Selain daripada pemasalahan rumahtangga, pengisian Islam dan juga pembelajaran Al-Quran, TV9 juga turut menerbitkan Usrah yang dihoskan secara bergilir bersama Ustazah Asni Mansor dan Ustaz Muhamad Abdullah. Usrah yang diterbitkan oleh Rozimalini Abdullah ini diberi nafas baru bermula 7 Januari 2011 setengah jam bermula 1.00 tengahari dengan konsep lebih santai tetapi isi kandungannya yang semakin padat apabila membincangkan persoalan fardhu ain dan fardhu kifayah. Kedua-dua pengacara Usrah ini mempunyai pengalaman yang mendalam terhadap ilmu Al-Quran, Hadis, Sejarah Islam, Syariah dan Tasawuf. Usrah yang bermatlamatkan Terapi Jiwa Muslim akan mendekati penonton daripada pelbagai golongan masyarakat dalam sesi perkongsian ilmu dan pengalaman.
Topik perbincangan Usrah seperti Islam itu Mudah, Ibadah Sang Pengembara, Mukminah Professional, Syukur Rezeki dan lain-lain lagi. Penyampaian Usrah berpandukan kepada kitab-kitab yang menyentuh persoalan akidah, fiqh, dan tasawuf seperti Furu’ al-Masail, Sifat Solat Nabi dan Tasawuf Kontemporari. Dengan pendekatan ini, penonton dapat mencari alternatif dan penjelasan yang lebih lanjut berdasarkan buku-buku yang telah dicadangkan oleh penyampai Usrah, sekaligus mengalakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sementara itu, sebuah program majalah menarik terbaru turut diterbitkan dan diberi nama Safiyya. Hartina Ayu selaku penerbit program ini akan membawa penonton menyaksikan tips-tips serta fesyen muslimah terkini. Safiyya yang membawa maksud “sahabat baik” akan menemani penonton pada setiap Ahad pada jam 7.00 malam hingga 8.00 malam bermula 2 Januari 2011. Program Safiyya yang menampilkan isu-isu berkaitan wanita ini dihoskan oleh dua pengacara baru iaitu Nor Azrina Mohd Salleh (juara Gadis Melayu musim ketiga) dan Liyana Hisham. Safiyya mengetengahkan wanita moden yang aktif dan progresif tetapi masih menitikberatkan imej muslimah dan nilai-nilai keIslaman dalam diri. Dengan konsep pengacaraan yang lebih santai, program ini juga akan menyelitkan beberapa tips menarik seperti tips solekan, tips berpakaian dan sebagainya. Kepada mereka yang sukakan fesyen tetapi masih menerapkan nilai-nilai penutupan aurat, Safiyya adalah program yang sesuai.
Penjenamaan Raudhah ini juga tidak melupakan adik-adik di rumah dengan menghasilkan sebuah program menarik iaitu Adik & Al-Quran. Program khusus buat adik-adik cilik ini muncul apabila melihat sambutan ujibakat Akademi Al-Quran yang sangat memberansangkan daripada kanak-kanak kecil yang tidak berpeluang untuk memasuki ujibakat tersebut akibat faktor usia. Adik & Al-Quran yang bakal disiarkan setiap Isnin hingga Khamis pada jam 6.30 petang bermula 7 Januari 2011 ini memberi peluang kepada adik-adik di rumah mempelajari pembaca Al-Quran dengan betul bersama dengan tarannum, qiraat dan tajwid. Selain daripada itu, Ustaz Mohd Zamri Zainuldin yang menjadi hos bagi program ini turut mengajar adik-adik tentang tafsiran surah yang dibaca itu. Program bertambah menarik dengan adanya segmen “Pesan Atok” diakhir program yang menampilkan Dato’ Abu Hassan Din yang akan memberikan tips-tips kelebihan surah-surah yang dibaca oleh mereka untuk diimplikasikan di dalam kehidupan seharian mereka dan juga penonton semua. Adik & Al-Quran ini diterbitkan oleh Aizah Mahani.
Semoga kelapan-lapan program menerusi penjenamaan Raudhah ini dapat memberi banyak manfaat kepada kita semua terutamanya membentuk jiwa masyarakat kita ke arah yang lebih maju dan berdaya saing berdasarkan panduan agama Islam.
Nantikan kedatangan Raudhah menerusi stesen TV9 Di Hatiku dan selamat menonton.