RAIKAN RAMADAN AL-MUBARAK DENGAN PENUH KESYUKURAN & KEINSAFAN BERSAMA
Ramadan tiba lagi! Bulan yang paling mulia di dalam kalendar Islam walaupun hanya setahun sekali, kita sebagai umat Islam perlu mengimarahkan bulan yang penuh hikmah ini dengan ibadah, kebaikan serta mengeratkan ukhuwah sesama kita. Jadi, sambutlah bulan mulia ini dengan penuh kesyukuran dan keinsafan.
Sehubungan dengan itu, satu majlis tahlil dan doa selamat telah diadakan bagi menyambut kedatangan Ramadan Al-Mubarak di Muzium Kesenian Islam, Kuala Lumpur. Majlis kesyukuran yang berlangsung pada petang ini telah disempurnakan oleh kumpulan Nasyid UNIC dan turut dihadiri oleh barisan artis terkenal tanah air serta personaliti TV3 dan TV9. Antara yang turut hadir termasuklah Shamsul Ghau Ghau, Rafidah Ibrahim, Mia Sara, Farahdhiya, Raja Farah, Yatt Hamzah, Tam Suhaimi, Karl Shafek, Syazwani Diana, Syarifah Nur, Noor Azean dan ramai lagi.
Bagaikan satu tradisi Ramadan yang dinanti, kedua-dua stesen televisyen itu juga turut melancarkan tagline sempena menyambut kedatangan bulan yang mulia ini.
Serentak dengan majlis itu, kedua-dua stesen televisyen ini juga turut memperkenalkan program-program menarik yang bakal disiarkan sepanjang bulan puasa. Bersesuaian dengan bulan yang mulia, program-program yang disediakan adalah berbentuk ilmiah serta penuh dengan pengertian dan keinsafan.
Selain menghiburkan, program-program tersebut mempunyai mesej dan pengajaran yang boleh dijadikan teladan. Antara program-program tersebut termasuklah dokumentari, drama bersiri, telemovie, program ‘travelogue’ serta program kanak-kanak.
Menurut Dato’ Sri Farid Ridzuan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, “Bersesuaian dengan tema yang dipilih, “Kasih Ramadan” dan “Ramadan Di Hatiku”, fokus Ramadan bagi kedua-dua stesen kali ini adalah untuk memberikan kandungan siaran yang penuh pengisian di samping mendekatkan diri dan hati kita ke arah segala kebaikan dan hikmah bulan mulia ini.
Ia amat sinonim dengan paparan program TV3 & TV9 yang pastinya menampilkan program-program yang dekat di hati penonton dan mencerminkan nuansa bulan mulia seperti bacaan Al-Quran dalam Kalamullah, Jejak Rasul, Singgah Sahur, Dari Masjid Ke Masjid, Haiwan Teladan, Sirah Nabi, Jom Berbuka, Insyaf, Perjalananku dan sebagainya.
Apa yang penting adalah bulan Ramadan ini berperanan untuk bersyukur dengan apa yang kita ada dan juga menyedarkan kita tentang kesusahan yang dialami oleh orang yang kurang bernasib baik.”
“Raikan juga kedatangan Ramadan Al Mubarakh dan Syawal yang dinanti dengan menonton siri drama dan telemovie dengan jalan cerita yang menarik dan sarat dengan pengajaran dan nilai murni yang pastinya mendamaikan jiwa dan rohani.
Jangan lepaskan peluang mengikuti kisah suka-duka kehidupan dan kecekalan menghadapai dugaan dan ujian menerusi Masam Manis Ramadan, Syurgamu Ramadan, Hijab Di Kalbu, Ar-Rayyan, Mahabbah De Laila dan banyak lagi. Justeru, moga dengan rancangan-rancangan istimewa yang disajikan TV3 dan TV9 sepanjang bulan ini, para penonton dapat mempelajari, meraih kebaikan Ramadan dan melanjutkan dakwah kepada yang lain,” tambah Dato’ Sri Farid.