PEMERGIAN Mohd Asri Ibrahim atau mesra disapa Ustaz Asri meninggalkan kesan yang mendalam di dalam industri muzik tanah air. Perjuangan Ustaz Asri di dalam kumpulan Rabbani yang mula ditubuhkan pada 1 Mac 1997 berjaya mendapat sambutan peminat dengan aluan zikir dan menyebarkan dakwah melalui irama nasyid yang diperjuangkan.
Sebagai mengenang perjuangan Allahyarham, TV3 menerbitkan program “Ustaz Asri Dalam Kenangan” selama satu jam pada hari Jumaat, 21 Ogos 2009, jam 6.00 petang.
Program ini akan memaparkan kompilasi persembahan kumpulan Rabbani di konsert-konsert yang pernah dirakamkan oleh TV3 sewaktu Konsert Malam Sinar Maulidurrasul 1428H (2007) & Konsert Malam Sinar Maulidurrasul 1430H (2009) termasuk persembahan duet kumpulan Rabbani bersama artis tanah air iaitu Dato’ Siti Nurhaliza, Amy Search dan Mawi.
Penonton juga akan dapat menyaksikan sedutan visual sewaktu pengkebumian Allahyarham serta wawancara bersama ahli Rabbani yang lain. Di samping itu, penonton di rumah boleh menghantar ucapan takziah yang akan dipaparkan melalui ‘crawler’ ketika program ini disiarkan.