Anugerah Skrin 2013 telah menyaksikan drama Mawar Putih Tanda Perpisahan merangkul trofi Drama Terbaik, Videografi Terbaik (Mohd Faizal bin Mohd Ali) dan Lakon TV Terbaik (Mazlan Manan) manakala drama Aku Bukan Malaikat pula berjaya merangkul trofi Pengarah Terbaik Drama (Eirma Fatima) dan Pelakon Wanita Terbaik Drama (Datin Paduka Umie Aida).
Anugerah paling berprestij anjuran TV3, Anugerah Skrin kembali untuk memberi pengiktirafan kepada karyawan-karyawan seni tanah air pada bulan November ini. Bagi menyemarakkan lagi debaran Anugerah Skrin 2014 (ASK 2014), TV3 bakal menayangkan sebahagian telefilem yang tercalon pada setiap hari Jumaat pukul 1.30 tengahari dari 19 September 2014 hingga 31 Oktober 2014. Antaranya, Racun Ibu, Balqis, Luth Mahfuz, Perjalanan, Karlos Bolos, Pelita Tanpa Sumbu dan Olong.
Saksikan Antara Drama Terbaik ASK 2014 Setiap Jumaat, Jam 1.30 Petang
Sejak diperkenalkan pada tahun 1994, Anugerah Skrin anjuran TV3 meneruskan usaha untuk menjulang bakat dan memberi pengiktirafan kepada penggiat-penggiat seni dan karyawan tanah air. Seperti tahun sebelumnya, selain rangkaian televisyen di bawah naungan Media Prima Berhad yang terdiri daripada TV3, NTV7, 8TV dan TV9, pihak penganjur turut menjemput stesen televisyen RTM, ASTRO dan juga TV Al-Hijrah untuk sama-sama menyertai anugerah yang berprestij ini. Kesemua rangkaian televisyen ini layak untuk menghantar penyertaan bagi terbitan drama dan terbitan program dalaman yang pernah disiarkan di stesen televisyen mereka untuk merebut anugerah bagi kategori yang dipertandingkan mengikut syarat yang telah ditetapkan.
Anugerah Skrin memberi pengiktirafan kepada pengeluar–pengeluar drama, filem dan produksi TV tempatan. Telefilem dan drama bersiri yang dicalonkan pula adalah hasil penerbitan syarikat yang memenuhi slot-slot drama di semua rangkaian televisyen setiap minggu. Antara faktor yang menyebabkan telefilem dan drama bersiri ini terpilih untuk ditayangkan di kaca televisyen adalah garapan skrip yang baik, jalan cerita yang sempurna, lakonan yang mantap dan mutu penerbitan yang baik serta mampu menyampaikan mesej positif di samping boleh menarik perhatian penonton. Calon-calon yang dipertandingkan pula terdiri daripada terbitan yang telah ditayangkan di kaca TV dan pawagam mulai 1 Julai 2013 hingga 30 Jun 2014 dan pencalonan drama yang berdasarkan catatan jumlah penonton yang berjaya diraih mengikut kajian Nielsen Audience Measurement mengikut ‘genre’ masing-masing. Semua pencalonan akan dinilai oleh panel juri profesional yang dipilih.
Berikut adalah 7 drama pilihan ASK 2014 yang bakal disiarkan pada setiap hari Jumaat pukul 1.30 petang di TV3 bermula 19 September 2014:
Racun Ibu (19 September 2014)
Rohani mempunyai tiga orang anak iaitu, Sharin, Lili dan Mimi. Dia sering melepaskan marah kepada anak-anaknya. Hanya menantunya, Azah, bertahan dengan sikap Rohani dan sering menguruskan Rohani. Setelah sekian lama, Azah penat menjadi hamba kepada Rohani dan akhirnya telah berjumpa bomoh untuk menghapuskan Rohani.
Pelakon: Fasha Sandha, Farid Kamil, Fauziah Nawi, Ika Nabila, Noni Zainuddin, Zila Bakarin.
Balqis (26 September 2014)
Yamin hanya seorang nelayan manakala Anis membantu suaminya dengan menjual barang-barang terpakai. Mereka mempunyai seorang anak bernama Balqis. Meskipun hidup susah namun Anis mengutamakan pelajaran dan agama anaknya. Satu hari, Yamin mengajak Anis berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengubah kehidupan mereka. Malangnya, apabila sampai di Kuala Lumpur mereka tiada arah tuju. Lalu, mereka terpaksa menjual pakaian-pakaian mereka untuk menampung hidup sementara mendapatkan pekerjaan. Pelbagai dugaan terpaksa mereka tempuhi termasuklah kematian Anis yang telah mematahkan hati dan jiwa Balqis. Namun, Balqis akhirnya bangkit dan cuba memperbaiki nasibnya apabila dia mula mendapat tawaran berlakon.
Pelakon: Adik Puteri Balqis, Nabila Huda, Pekin Ibrahim, Ellie Suriaty, Namron, adik Rykarl Iskandar, adik Mia Sara
Luth Mahfuz (3 Oktober 2014)
Eyma mengambil keputusan untuk berhenti kerja kerana ingin menumpukan perhatian terhadap anaknya, Aqish yang mengalami lemah jantung. Eyma terkejut apabila suaminya, Haziq mahu bercerai dan menyerahkan kertas tentang pembahagian harta sepencarian mereka. Namun, Eyma cuma meminta Haziq melayannya dengan kasih sayang serta melakukan aktiviti romantik seperti mereka baru berkahwin selama empat puluh hari. Haziq juga disuruh untuk mengikut sunnah-sunnah nabi sebagai amalan hariannya. Haziq menunaikan permintaan itu kerana baginya ianya hanya tempoh yang singkat dan selepas itu dia boleh kembali bersama bekas kekasihnya.
Pelakon: Siti Saleha, Fizz Fairuz, Raja Ilya, Wan Sharmilla, Arash Mohammad, Puteri Syasya
Perjalanan (10 Oktober 2014)
Sejak kematian ibunya yang tercinta iaitu Rosmah, Ramli, 8, hilang punca dan hidupnya berpeleseran di Pekan Sembilan dengan basikal yang dihadiahkan ibunya. Dia tidak pernah mengenali siapa bapanya. Pada suatu hari, Ramli terlihat seorang wanita cantik berjalan ke arah dia tetapi secara tiba-tiba hilang daripada pandangannya. Sejak itu, dia sering mencari siapakah gerangan wanita tersebut.
Pelakon: Fimie Don, Datuk Rosyam Nor, Fauziah Nawi, Izreen Azminda, Dian P.Ramlee
Karlos Bolos (17 Oktober 2014)
Setelah 18 bulan berada di Pusat Pemulihan Akhlak Teluk Panglima, Kenji telah ternampak sesuatu yang sangat menarik perhatiannya di dalam akhbar ketika melakukan kajian untuk pertandingan pidato. Gambar seorang lelaki dalam keratan akhbar itu ialah Sunny, orang yang bertanggungjawab memisahkan Kenji dari ibunya, Cuwie, seorang pelacur. Karlos dan Kenji meloloskan diri dari pusat pada tengah malam untuk mencari ibu Kenji. Oleh kerana terdesak, Karlos dan Kenji telah merampas kereta Ella. Mereka telah mengugut untuk membunuh Ella jika dia tidak memenuhi kehendak mereka. Ella terpaksa menurut untuk menghantar mereka ke Kuala Lumpur sambil mencari jalan untuk melarikan diri.
Pelakon: Johan As’ari, Syazwan Zulkifly, Tiz Zaqyah, Zizan Razak, Rusdi Ramli, Namron, Sherlie Merlis, Dira Abu Zahar, Jay Iswazir,
Pelita Tanpa Sumbu (24 Oktober 2014)
Fiza, berusia 20an, membawa diri ke kota Kuala Lumpur untuk berkerja sebagai kerani dan pada sebelah malam pula bekerja di gerai makan setelah bercerai dengan suaminya. Fiza meninggalkan anaknya, Aben, untuk dipelihara oleh emaknya, Mak Yah. Suatu hari, Fiza berkenalan dengan Megat, bos merangkap rakan kongsi baru di tempat kerjanya. Fiza menganggap Megat sengaja mengambil kesempatan terhadap pekerja wanita sepertinya. Megat tertarik dengan ketegasan Fiza. Akhirnya, mereka hanyut bercinta. Fiza merahsiakan dari pengetahuan Megat yang dia merupakan janda beranak satu. Apakah yang berlaku seterusnya?
Pelakon: Faezah Elai, Wan Sharmila, Awal Ashaari, Hairi Safwan, Fauziah Nawi, adik Puteri Shasha.
Olong (31 Oktober 2014)
Olong tinggal bersama ayahnya, Muluk dan abangnya, Lut di Liang Batu, sebuah kampung yang berseberangan dengan pekan Kundang Ulu di pinggir Sungai Muar. Ayahnya mengidap strok manakala abangnya pula terencat akal dan suka mengelilingi kampung sambil memungut sampah. Setiap pagi, Olong akan bekerja dengan menghiburkan anak-anak yang akan ke sekolah menggunakan bot dengan menyanyikan lagu-lagu rakyat, antaranya “Biarkan Si Luncai Terjun Dengan Labu-labunya” dan “Enjit-enjit Semut”.
Pelakon: Adik Melly Amalin, Taiyuddin Bakar, Sabri Yunus, Bohari Ibrahim, Sani Sudin, Didie Alias
Jadi, jangan ketinggalan untuk menyaksikan 8 drama pilihan ASK 2014 pada setiap hari Jumaat pukul 1.30 petang bermula dengan Racun Ibu lakonan Fasha Sandha, Farid Kamil, Fauziah Nawi, Ika Nabila, Noni Zainuddin dan Zila Bakarin pada 19 September 2014.
Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, penonton boleh melayari laman sesawang TV3 di www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia.