in , ,

TV3 Siar Drama Pilihan ANUGERAH SKRIN 2016

Anugerah paling berprestij anjuran TV3, Anugerah Skrin kembali untuk memberi pengiktirafan kepada karyawan-karyawan seni tanah air pada bulan November ini.

Bagi menyemarakkan lagi debaran Anugerah Skrin 2016 (ASK 2016), TV3 bakal menayangkan 8 drama yang tercalon pada setiap hari Ahad pukul 3.00 petang dari 25 September 2016 hingga 13 November 2016. Antaranya, Pondok Itu Rumahku, Fatin, Anak Ibu Buangan Ibu, Khilaf Seorang Isteri, Calon Syurga, Cermin Kasih, Bila Tiba Saatnya dan Ku Haramkan Susu Itu.

Ku Haramkan Susu Itu (1)

TV3 Siar Drama Pilihan ANUGERAH SKRIN 2016

Sejak diperkenalkan pada tahun 1994, Anugerah Skrin meneruskan usaha untuk menjulang bakat dan memberi pengiktirafan kepada penggiat-penggiat seni dan karyawan tanah air. Seperti tahun sebelumnya, selain rangkaian televisyen di bawah naungan Media Prima Berhad yang terdiri daripada TV3, NTV7, 8TV dan TV9, pihak penganjur turut menjemput stesen televisyen RTM, ASTRO, TV Al-Hijrah dan Hypp TV untuk sama-sama menyertai anugerah yang berprestij ini.

Kesemua rangkaian televisyen ini layak untuk menghantar penyertaan bagi terbitan drama dan terbitan program dalaman yang pernah disiarkan di stesen televisyen mereka untuk merebut anugerah bagi kategori yang dipertandingkan mengikut syarat yang telah ditetapkan.

Cik Sherina Nordin, Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9 berkata,

“Penganjuran Anugerah Skrin bukan sahaja merupakan platform kepada penggiat seni tanah air untuk memperkembangkan lagi bakat seni, malah ia juga pemangkin bagi mereka untuk terus berkarya secara kreatif dalam menghasilkan produk yang bermutu tinggi. Walaupun terdapat rakan penyiar yang tarik diri, tetapi kami tetap optimis kerana ASK 2016 mampu memberikan persaingan hebat kepada karya-karya yang tercalon.”

Anugerah Skrin Kembali Saksikan 8 Drama Pilihan Anugerah Skrin 2016 Setiap Hari Ahad, 3.00 Petang

Berikut adalah 8 drama pilihan ASK 2016 yang bakal disiarkan pada setiap hari Ahad pukul 3.00 petang bermula 25 September 2016:

Pondok Itu Rumah Ku (4)

PONDOK ITU RUMAHKU (25 September 2016)
Pelakon: Adik Danish Hazriq, Amirul Faqeem DFKL, Nasir Bilal Khan, Amyza Aznan, Ku Faridah, Wilma Muhammad, Amir Pelawak, Nina Iskandar, Farah Nadia, Nafiz Muaz DFKL
Mengisahkan tentang keluarga yang miskin dan daif iaitu Pak Sudin dan isterinya Rahimah serta dua orang anaknya. Konflik bermula apabila Pak Sudin menjual Syukri kepada sepasang suami isteri yang tinggal di bandar kerana kesempitan hidup dan sikap Pak Sudin yang gemar berjudi dan berhutang. Syukri telah melarikan diri dan hidup sebagai gelandangan. Di situ, Syukri bertemu dengan Yanti dan mereka menjadi akrab. Syukri pernah pulang ke kampung dan curi-curi melihat rumah lamanya dari jauh. Dia juga melawat kubur arwah ibunya. Naluri kerinduan Syukri begitu kuat untuk mencari adiknya dan ingin melupakan segala kenangan pahit yang pernah Pak Sudin lakukan terhadap mereka. Suatu hari, seorang pemuda menegurnya kerana berada di kubur arwah ibunya. Jodoh menemukan Syukri kerana pemuda itu adalah adiknya yang sudah terpisah sekian lama.

FATIN (2 Oktober 2016)
Pelakon: Sharifah Amani, Adik Yuyun, Pekin Ibrahim, Nadia Aqilah, Nadiya Nisaa
Faz, seorang ibu muda dan telah berpisah dengan suaminya. Hasil perkahwinan itu, Faz dikurniakan seorang anak bernama Fatin. Fatin dibesarkan oleh bapanya sehinggalah bapanya meninggal dunia dan dia dijaga oleh neneknya. Apabila tiba waktu neneknya menunaikan umrah, Fatin diserahkan kepada Faz. Bagi Faz, menjaga seorang anak selama sebulan adalah sesuatu yang janggal dan asing baginya. Selama ini hidupnya bebas. Kini dia terpaksa membesarkan anak kandungnya itu. Selama sebulan, pelbagai perkara yang berlaku telah menyedarkan Faz untuk mengerti pengorbanan dan kasih sayang seorang ibu terhadap Fatin. Tiba waktu untuk menghantar Fatin kepada ibu mentuanya semula. Faz rasa kosong. Barulah dia sedar dan menghargai nilai seorang anak yang selama ini dikandungnya.




ANAK IBU BUANGAN IBU (9 Oktober 2016)
Pelakon: Janna Nick, Aida Aris, Azri Iskandar, Johan As’ari, Lydiawati
Hanim dan Roslan mengambil seorang anak angkat perempuan yang diberi nama Putri Aisyah apabila perkahwinan mereka tidak dikurniakan anak. Kasih sayang yang diberikan kepada Putri bagai menatang minyak yang penuh. Semuanya tampak indah sehinggalah sikap Putri mula berubah apabila menginjak remaja. Putri berlakon baik di depan Roslan setiap kali Roslan pulang ke rumah. Putri yang masih belum menamatkan pangajian tiba-tiba mendesak ibu bapanya untuk berkahwin dengan Shah. Belum pun reda kesedihan Hanim, dia diuji apabila Putri mahu berpindah keluar dan seolah-olah menyisihkan Hanim dan Roslan dalam hidupnya. Puteri terkejut apabila mendapati yang selama ini suaminya ialah pengedar dadah. Dia mula mencari Hanim semula untuk menumpang kasih tetapi mereka telah berpindah. Putri bertambah sedih apabila baru mendapat tahu bahawa dia sebenarnya hanyalah seorang anak angkat.

KHILAF SEORANG ISTERI (16 Oktober 2016)
Pelakon: Syatilla Melvin, Fezrul Khan, Tasha Shila, Fizz Fairuz, Adik Amanda Hariz
Muiz dan Thalia merupakan bekas suami isteri yang mempunyai seorang anak bernama Aryan. Muiz dan Thalia, kedua-duanya telah pun berkahwin lain. Muiz seorang pengurus kewangan di sebuah syarikat besar berkahwin dengan Ryna seorang eksekutif perundangan. Thalia yang merupakan seorang eksekutif pentadbiran bertemu jodoh buat kali kedua dengan Jimmy, seorang pengarah drama muda yang berbakat ketika Jimmy sering mengadakan penggambaran di pejabat Thalia. Kedua-duanya melalui pengalaman yang berbeza dalam perkahwinan baharu mereka sekaligus menyebabkan mereka terkenang bekas pasangan serta kesilapan yang pernah mereka lakukan.

Calon Syurga (3)

CALON SYURGA (23 Oktober 2016)
Pelakon: Shukri Yahaya, Norlia Ramli, Jalil Hamid, Octavia Manrose
Aliff seorang remaja yang degil dan sukar untuk mendengar nasihat ibu bapanya, Mak Tom & Pak Abu. Suatu hari, Aliff tidak pulang ke rumah untuk beberapa hari kerana bergaduh dengan Mak Tom. Setelah pulang, Aliff terkejut apabila melihat Mak Tom sudah tidak mampu bergerak banyak kerana diserang angin ahmar. Namun, hati Aliff terbuka apabila melihat Mak Tom masih menyediakan keperluan rumahtangga seperti memasak dan sebagainya. Aliff mula berubah menjadi anak yang soleh dan taat kepada ibu bapanya sehinggalah muncul Dina, teman wanitanya yang mula cemburu dan benci akan tindakan Aliff yang masih mahu menjaga ibunya yang cacat. Dina mengugut untuk putus hubungan sekiranya Aliff masih tetap menjaga Mak Tom yang cacat. Aliff memilih untuk mencium bau syurga dengan menjaga ibunya dengan penuh kasih sayang.

Cermin Kasih (3)

CERMIN KASIH (30 Oktober 2016)
Pelakon: Tiz Zaqyah, Shaheizy Sam, Adik Luvvna, Fazlina Ahmad Daud, Mak Engku, Wilma, Zulkifli Ismail
Kehidupan Marina bertukar apabila dijodohkan dengan pemuda pilihan orang tuanya iaitu Amran. Hakikatnya, Amran adalah pengedar dadah. Marina dipaksa oleh Amran untuk terlibat sama dan akhirnya dia diberkas polis. Amran pula meninggal dunia akibat ditembak polis. Melalui sisi gelap di penjara, Marina disahkan mengandung. Gangguan emosi melanda Marina dan akhirnya lahirlah Maryam. Selaras dengan peraturan penjara, Maryam dipisahkan daripada Marina apabila menginjak 3 tahun. Maryam dipelihara oleh ibu bapa Marina iaitu Pak Hamdan dan Mak Jah. Mereka hanya dipertemukan di antara cermin kaca setiap kali melawat Marina di penjara. Tiba hari pembebasan Marina. Dia pulang dan mendapati sekujur tubuh Maryam di atas katil menanti kepulangannya. Maryam meninggal dunia pada hari yang sama Marina dibebaskan. Namun, hajatnya untuk mengucup dahi anaknya tercapai sebelum Maryam pergi buat selamanya.

BILA TIBA SAATNYA (6 November 2016)
Pelakon: Rusdi Ramli, Nazim Othman, Nina Baharum, Kodi Rasyeed, Syazwan Zulkifli, Faezah Ilai, Jay Iswazir
Jenazah Nazim dan Rozman dikebumikan pada tempat dan waktu yang sama. Orang kampung kecoh dan membandingkan cara kedua-dua kematian itu. Aziz yang turut bersimpati cuba menyiasat agar semua dapat pengajaran dan tak mahu sesiapa diaibkan. Dahulunya, Nazim hidup berfoya-foya di kelab malam. Sehinggalah satu malam, isteri Nazim tumpah darah. Bermula hari itu Nazim menjaga solatnya dan berusaha mencari rezeki halal. Suatu malam, Nazim ke kelab malam dan memujuk rakannya, Azmir untuk pulang. Azmir bengang dan mereka bergaduh hingga berlaku pertumpahan darah. Kisah Rozman pula, dia seorang pemuda kampung yang suka melepak. Nasihat ibunya hanya digelak saja. Rozman bengang apabila tiada duit untuk membeli makanan pada siang hari ketika bulan puasa dan akhirnya Rozman mencuri duit tabung masjid. Suatu malam, Rozman cuba curi lagi tapi dia berpura-pura untuk solat setelah mencuri. Ketika mengangkat takbir, Rozman diserang sakit jantung dan meninggal dunia.

KU HARAMKAN SUSU ITU (13 November 2016)
Pelakon: Zarina Zainuddin, Amyza Aznan, Hafeez Mikail, Mia Ahmad
Kisah pertama mengenai Zainab, ibu tunggal yang mempunyai seorang anak bernama Tamar. Tamar bekerja di Shah Alam dan setelah berkahwin dengan Alisya, mereka tetap tinggal di kampung. Kehidupan Tamar serba senang, namun Zainab & Alisya langsung tidak mengetahui pekerjaan Tamar. Kisah kedua pula berkenaan Sakinah, juga seorang ibu tunggal yang mempunyai seorang anak bernama Azrin, penagih dadah akibat kurang kasih sayang dan didikan yang sempurna. Setelah sekian lama Tamar tidak pulang, Zainab dan Alisya ke Shah Alam untuk menjejaki Tamar. Pada ketika itu, orang kanan Tamar sedang mencari wanita baru untuk dijadikan pelacur dan Alisya menjadi mangsa. Ketika dijumpai, Tamar cuba menerangkan perkara sebenar namun Zainab dan Alisya lari dan bermula adegan kejar mengejar yang berakhir dengan kemalangan apabila kereta dipandu Tamar bertembung dengan motosikal Azrin, pelanggan Tamar yang sering mendapatkan bekalan dadah.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.tv3.com.my dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Youtube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia.

Pondok Itu Rumah Ku (2)

Ku Haramkan Susu Itu (3)

Ku Haramkan Susu Itu (2)

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Video Muzik Dancing King dari EXO Trending di Youtube Malaysia

Lagu Taylor Swift Untuk Tom Hiddleston Bocor Di Internet