in ,

TV3 Siar Drama Hebat Sempena Drama Festival Kuala Lumpur

Bersempena dengan Drama Festival Kuala Lumpur anjuran TV3 & TV9 yang sedang rancak berlangsung dalam bulan Mac ini, TV3 menyiarkan drama-drama hebat menerusi slot Festival pada setiap hari Ahad, pukul 10.00 malam. Selepas siaran MAN RIDER dan ROMANTIKA BULAN MADU, nantikan penampilan istimewa Fizo Omar dan Diana Danielle dalam “TALAK” pada 22 Mac serta hasil nukilan daripada finalis pertandingan Anugerah Skrin Ceritaku iaitu “HAJAT” pada 29 Mac.

Hajat (C)

Dua Drama Hebat Menyemarakkan Drama Festival Kuala Lumpur Di Slot Festival

TALAK, 22 Mac 2015, 10.00 malam
Badrul (Fizo Omar) amat mencemburui persahabatan isterinya Yasmin (Diana Danielle) dengan kawan baik isterinya, Mukhriz (Fadzil Zahari) yang sama-sama bekerja di sebuah syarikat penerbangan sebagai anak kapal. Badrul sukar menerima keakraban mereka.

Oleh itu, Badrul telah meletakkan syarat kepada Yasmin jika salah seorang daripada mereka meniduri orang lain maka terjatuh talak. Yasmin benar-benar terkejut dengan syarat suaminya sedangkan Yasmin setia sebagai isteri. Badrul menjadikan syarat itu sebagai sebuah ugutan kepada isterinya supaya isterinya setia dan pada masa yang sama mahu menunjukkan dirinya yang lebih baik dari isterinya.

Rina (Reen Rahim) baharu bekerja di pejabat Badrul. Rina mula menyimpan perasaan terhadap Badrul tetapi Badrul tidak mempunyai perasaan terhadap Rina. Suatu hari, Yasmin terkandas di luar negara kerana cuaca buruk dan tidak dapat pulang seperti yang dijangka. Apabila Badrul mengetahui Mukhriz ada bersama, cemburu Badrul membuak-buak. Dengan geram, Badrul ambil keputusan untuk keluar bersama Rina.

Tindakan Badrul telah mengundang masalah besar kerana tanpa dijangka, Badrul telah melanggar syarat dan meniduri Rina. Badrul sedar dirinya hidup dalam dosa dengan isteri sendiri tetapi dia tidak sanggup kehilangan Yasmin jika perkara itu diketahui oleh isterinya. Keadaan bertambah rumit apabila Rina telah mengandung. Apakah bakal berlaku nanti?

Pengarah: Kas Rohan
Penulis Skrip: Nana Khalil
Pelakon: Fizo Omar, Diana Danielle, Fadzil Zahari, Reen Rahim, Hafreez Adam

Talak (A)

HAJAT, 29 Mac 2015, 10.00 malam
Dilla (Wan Sharmila) dan Imam (Ungku Ismail) berkahwin selepas tamat pengajian di universiti. Dilla melahirkan anak sulung mereka, Haykal, semasa berumur 23 tahun. Kedua-duanya bekerja keras untuk mengumpul harta pada usia muda. Dilla selalu merungut tetapi Imam menegaskan bahawa semua itu ialah rancangan jangka panjang.

Perancangan yang Imam buat memang bijak tetapi memerlukan pengorbanan yang besar. Tekanan hidup menyebabkan mereka berdua sering bertengkar dan bermasam muka. Haykal ditinggalkan bersama ibu bapa Imam, Ismail dan Lili yang mengamalkan cara hidup moden. Haykal dididik supaya menjadi cerdik. Namun, didikan agama tidak dititikberatkan.

Konflik bermula apabila ibu bapa Dilla, Encik Ahmat dan Puan Lijah datang menziarah. Mereka menegur Imam yang meninggalkan solat. Bimbangkan Haykal membesar tanpa didikkan agama, Tok Wan dan Mak Tok mengajar Haykal dengan cara menakut-nakutkan Haykal melalui gambaran seksaan di neraka.

Selepas ibu bapa Dilla pulang ke kampung, Haykal mula menegur Dilla, Imam serta datuk dan neneknya yang lalai dalam soal agama. Ibu bapa Imam mengadu dengan Imam lantas tercetusnya pergaduhan besar antara Imam dan Dilla.

Keluarga Dilla menyuruh Dilla bercerai dengan Imam kerana mereka merasakan Imam bukan seorang suami yang mampu membimbing isterinya. Dalam kekeliruan itu, Dilla terdengar Haykal berdoa, meminta disatukan kembali ibu dan ayahnya dan agar semua boleh solat bersama-sama seperti di masjid. Tiba-tiba Haykal jatuh sakit, demam panas yang teruk. Mulanya disangkakan demam rindu, tapi keadaan makin teruk sehingga dimasukkan ke hospital. Apakah hajat Haykal bakal tercapai?

Pengarah: Raja Ahmad Alauddin
Idea Asal: Nur Shafikah Kamaruzaman
Olahan Skrip: Azlina Pa’wan
Pelakon: Ungku Ismail, Wan Sharmila, adik Muhammad Airil Azimi, Roy Azman, Didie Alias, Hilal Azman, Rosnah Johari

Layari laman web www.tv3.com.my serta Facebook & Twitter TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini. Penonton yang terlepas menyaksikan program di TV3 juga boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.

Drama Festival Kuala Lumpur ini dihargai oleh Penaja Bersama Kotex, disokong oleh Rakan Media Cetak seperti Harian Metro dan New Straits Times; Hot FM sebagai Rakan Radio serta Tonton dan Veedo selaku Rakan Digital. Untuk maklumat lanjut anda boleh layari laman web rasmi DFKL 2015 iaitu www.dfkl.com.my.

Hajat (A)

Hajat (B)

Talak (B)

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

7-Eleven Welcomes BoBoiBoy Superheroes

Butik Nora Danish Dirompak