in ,

TV3 Menutup Tirai 2017 Dengan Drama Baharu!

Di minggu terakhir tahun 2017, TV3 bakal memaparkan empat buah drama baharu yang pasti akan menghiburkan seisi keluarga di rumah. Bermula pada 26 Disember ini, para penonton akan disajikan dengan tiga drama baharu iaitu Iris: Bilo Nogori Jupo Kelate, Akasia: Kekasih Paksa Rela, dan Seramedi: Kisah Yang Hilang. Manakala, bermula pada 28 Disember 2017 pula, drama Lestary: Cinta Hati Batu akan bertemu penonton di TV3.

IRIS: BILO NOGORI JUPO KELATE
TARIKH SIARAN: Isnin – Khamis, 26 Disember 2017
MASA : 6.30 petang
PENGARAH : Amor Rizan
PRODUKSI : Suhan Movies & Trading Sdn Bhd
PELAKON : Nazrief Nazri, Mia Ahmad, Hanna Aqeela, Tisha Shamsir, Didie Alias, Kuna, Mat Over

Bilo Nogori Jupo Kelate 1

Adat dan budaya merupakan identiti sesebuah masyarakat. Pastinya setiap masyarakat mempunyai adat resam serta gaya kehidupan yang mereka banggakan. Namun bagaimanakah keadaan jika dua pasangan yang berasal dari negeri berbeza yang begitu kuat memegang tradisi masing-masing diikatkan dalam pertalian yang sah? Noah (Nazrief Nazri) dan Safiya (Mia Ahmad), baru sahaja berpisah dengan pasangan masing-masing, membuat keputusan untuk berkahwin selepas berkenalan hanya dalam tempoh enam bulan. Konflik mereka bermula apabila tiba masanya untuk bertemu dengan keluarga masing-masing yang mempunyai banyak perbezaan. Dapatkah keluarga Noah yang berasal dari Negeri Sembilan bersatu dengan Safiya yang berasal dari negeri Kelantan, pastinya mengamalkan adat resam yang berbeza daripada mereka?

Kekasih Paksa Rela 1

AKASIA: KEKASIH PAKSA RELA
TARIKH SIARAN: Isnin – Khamis, bermula 26 Disember 2017
MASA : 7.00 malam – 8 malam
PENGARAH : Idora Abdul Rahman
PRODUKSI : Creative Skill Solution Sdn Bhd
PELAKON : Remy Ishak, Intan Najuwa, Ain Edruce, Afzan Rahman, Dayang Areeda, Fizz Fairuz, Emelda Rosnaida, Aman Graseka

Kehidupan bermadu sememangnya tidak pernah manis bagi kaum hawa yang sentiasa menganggap diri mereka mangsa penipuan. Apatah lagi apabila mereka dimadukan tanpa pengetahuan mereka. Remy Ishak, Ain Edruce, dan Intan Najuwa akan menceritakan situasi itu dalam Drama Akasia: Kekasih Paksa Rela ini. Berkisarkan tentang Adham (Remy Ishak) dan Rosnaida (Ain Edruce) bernikah selepas tamat belajar tanpa persetujuan ayah Adham, Dato’ Azman. Semenjak itu, hubungan Rosnaida dan Dato’ Azman tidak pernah baik, walaupun telah diusahakan oleh Adham dengan pelbagai cara untuk merapatkan hubungan mereka. Berputus asa dengan Dato’ Azman, Rosnaida membuat keputusan untuk membawa diri dan melanjutkan pelajarannya ke Amerika Syarikat dan enggan pulang ke Malaysia. Ketika ketiadaan Rosnaida, Adham telah menyelamatkan Hanan daripada kejahatan ayah tirinya. Demi mengelakkan sebarang fitnah daripada keakraban mereka, Adham memperisterikan Hanan tanpa sebarang perbincangan bersama Rosnaida. Konflik institusi perkahwinan Adham memuncak apabila Rosnaida pulang secara tiba-tiba. Sanggupkah Adham menceraikan Hanan demi Rosnaida atau sebaliknya? Atau adakah mereka akan meneruskan kehidupan mereka secara berpoligami?

Kisah Yang Hilang 2

SERAMEDI: KISAH YANG HILANG
TARIKH SIARAN: Isnin – Rabu, bermula 26 Disember 2017
MASA : 10.00 malam – 11.00 malam
PENGARAH : Mohd Azaromi Ghozali
PRODUKSI : Metrowealth x MindOrder Sdn Bhd
PELAKON : Izzue Islam, Eyka Farhana, Epy Kodiang, Aizat Hassan, Wan Gegau, Fathil Dani

Fatah Aqil (Izzue Islam), seorang penulis novel romantik dan aksi yang terkenal di Malaysia sehinggakan karyanya juga diangkat untuk menjadi filem oleh penerbit-penerbit terkenal di Malaysia. Pada suatu hari, setelah menghadiri majlis pratonton filem seram timbul keinginannya untuk menulis novel bergenre seram. Namun, apabila Aqil mula ketandusan idea, Aqil bersama rakan baiknya Baihaqi, mengembara ke sebuah kampung yang bernama Kampung Sungai Ajal. Di situ, Aqil meminta izin daripada Tok Penghulu untuk mengumpulkan kisah-kisah seram yang tidak pernah diceritakan oleh sesiapa lagi. Di kampung itu, Aqil berkenalan dengan Sabri, Asmat dan Johan yang kemudiannya menjadi sahabat baiknya. Selain mereka, Aqil turut berkenalan dengan seorang gadis cantik manis, Suri Bakawali. Melalui bantuan mereka, Aqil mula mengumpul cerita-cerita seram yang diingininya. Namun, ketika Aqil mahu mula menaip kisah-kisah seramnya, computer riba yang dibawanya rosak dan Suri menggantikannya dengan sebuah mesin taip lama milik datuknya. Tanpa disedari Aqil, setiap kisah seram yang ditaipnya menjadi kenyataan. Pada awalnya, Aqil tidak menyedari hal ini namun lama-kelamaan dia seperti dapat mengesan sesuatu yang aneh tentang kampung tersebut. Aqil mula menyiasat sendiri dan pelbagai peristiwa berlaku pada dirinya sehinggalah dia menemui kebenaran bahawa kampung tersebut.

Cinta Hati Batu 2

LESTARY: CINTA HATI BATU
TARIKH SIARAN: Rabu dan Khamis, bermula 28 Disember 2017
MASA : 9.00 malam – 10.00 malam
PENGARAH : Amor Rizan
PRODUKSI : Primeworks Studio
PELAKON : Ashraf Muslim, Aishah Azman, Fadlan Hazim, Ardell Aryana, Sasqia Dahuri, Fazren Rafi, Nadzmi Adhwa, Indah Emeerlda DFKL

Cinta Hati Batu ini adalah sebuah drama yang bertemakan cinta dan kasih sayang. Berkisar tentang Anith Fitriah (Aishah Azman) yang hanya mahukan sebuah kisah percintaan yang sempurna, tetapi akhirnya penderitaan yang diperolehinya. Perkahwinannya bersama Dzul Ehsan (Ashraf Muslim) merupakan desakan dan aturan keluarganya hanyalah untuk melupakan bekas tunangnya, Nik Afezal (Fadlan Hazim) yang terkorban dalam satu kemalangan. Perkahwinan yang pada dasarnya atas niat yang murni, sebenarnya membebankan Anith kerana Ehsan merupakan seorang duda beranak satu yang dinamakan Aya (Indah Emeerlda). Walau bagaimanapun, Anith dapat menyesuaikan dan melatih dirinya untuk menjadi seorang ibu yang penyayang. Sungguhpun begitu, perkahwinannya bersama Ehsan terpaksa ditamatkan kerana perkahwinan mereka tidak bahagia. Ketika berduka itu, Anith bertemu semula dengan bekas tunangnya disangkanya yang telah meninggal, Nik Afezal. Anith mendapati bahawa kematian Nik Afezal beberapa tahun dahulu sebenarnya hanyalah satu helah keluarga Nik Afezal untuk memisahkan mereka. Setelah tiga tahun bertemu kembali, Anith mula mencintai Nik Afezal semula. Walau bagaimanapun, Nik Afezal sebenarnya sedang menghidap penyakit kemurungan yang menyebabkannya sering bertindak diluar pemikiran yang waras. Dapatkah Anith menemukan percintaan yang sempurna seperti yang diinginkannya?

Saksikan keempat-empat drama baharu ini ketika mengira turun waktu di ambang tahun baharu 2018 bersama seluruh ahli keluarga. Untuk keterangan lanjut, sila layari laman sesawang rasmi TV3 (www.tv3.com.my) atau laman media sosial rasmi TV3 di Facebook dan Instagram, @TV3Malaysia serta laman Instagram rasmi drama TV3, @dramasangat. Saksikan juga siaran ulangan drama ini di portal video nombor satu Malaysia, tonton di www.tonton.com.my.

Bilo Nogori Jupo Kelate 4

Cinta Hati Batu 3

Bilo Nogori Jupo Kelate 3

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Yang Menarik Tentang Telemovie PSIKOPAT

Santai Tapi Sampai Jelajah Dari Masjid Ke Masjid Bersama Ustaz Biker