Sebagai memperingati dan meraikan sambutan Hari Seniman yang jatuh pada 29 Mei setiap tahun, pelbagai program disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) kepada anda yang mengikuti perkembangan industri seni tanah air.
Salah satu daripadanya sebuah program dokumentari yang melihat sumbangan besar seniman negara Ahmad Nawab, diberi judul “Legenda Dato’ Dr. Ahmad Nawab” disiarkan RTM mulai 7 Mei ini, setiap Khamis, pukul 2.00 petang di TV2.
Program menampilkan pengacara Imuda ini menonjolkan perbezaan kerana sebelum ini banyak pihak menghasilkan dokumentasi mengenai Ahmad Nawab dan sumbangannya dalam bentuk jurnal mahupun buku, tetapi belum ada yang melakukannya menerusi visual dan rancangan TV.
Khas Hari Seniman – “Rakaman Legenda Dato’ Dr Ahmad Nawab” Mulai 7 Mei Ini di TV2
Lebih istimewa apabila buat kali pertama program itu dihasilkan orang paling dekat dan memahami tokoh muzik negara iaitu anaknya, Nasir Ahmad Nawab.
Program menarik 6 episod ini menjadi penggalak kepada penggiat muda dan mereka yang meminati muzik tempatan dalam berkarya. Kelebihannya apabila ia turut menghimpunkan artis atau penyanyi yang pernah bekerja dengannya.
Ramai artis popular sepanjang zaman terbabit dalam pembikinan program ini termasuk Khatijah Ibrahim, Siti Fairuz, Shidee dan Jamal Abdillah. Artis 1970-an turut menjayakannya seperti Uji Rashid dan Salamiah Hassan.
Program itu turut menyelitkan unsur hiburan, di mana satu segmen diwujudkan Ahmad Nawab bermain saksefon dan artis undangan menyanyikan lagu ciptaannya dan berjaya mengangkat nama mereka dalam industri muzik tempatan.
Keseluruhannya ia mempunyai tiga segmen, kesinambungan antara setiap segmen. Dalam satu segmen yang ada, penonton turut dapat menyaksikan pandangan artis yang pernah bekerja dengan Ahmad Nawab.
Yang pasti, program ini mampu menjadi bahan rujukan buat mereka yang mahu mengetahui perkembangan industri muzik tempatan dari tahun ke tahun, terutama zaman kegemilangan industri muzik Melayu dari dulu hingga kini.