Pelakon aksi kelahiran Hong Kong Jackie Chan telah dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk. Pelakon yang berusia 60 tahun menerima penganugerahan ini daripada Yang Dipertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bersempena dengan Hari Wilayah Persekutuan 2015.
Justeru Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal menyiarkan filem yang menonjolkan Kebijaksanaan Jackie Chan dalam filem “Little Big Soldier†pada 12 Februari ini, pukul 10.00 malam mengisi slot Golden Dragon di TV2.
Dalam peperangan, kecerdikan juga diperlukan. Malahan dalam situasi tertentu, kecerdikan mampu menyelamatkan nyawa. Mungkin prinsip ini juga yang dipegang oleh seorang parajurit dari kerajaan Liang yang dilakonkan wataknya oleh Jackie Chan ini. Dengan kecerdikan dimilikinya berjaya menyelamatkan daripada peperangan dan bertarung dengan pihak lawan.
Parajurit ini memang sangat cerdik dan memiliki kelebihan yang selalu menyelamatkannya dari kematian. Ia bijak berpura-pura mati. Malahan ia juga merancang alat khusus yang memperlihatkannya seperti mati tertikam anak panah. Ketika keadaan selamat, dia bingkas bangun dan mula mencari tempat perlindungan. Di sini secara tidak sengaja, dia bertemu dengan seorang jenderal dari kerajaan Wei yang dilakonkan oleh Wang Leehom.
Sekali lagi dia membuktikan kecerdikannya apabila berhasil membawa pulang jeneral lawannya dan dia yakin bakal dikurniakan pengahargaan daripada Rajanya. Tetapi perjalanan mereka tidak berjalan lancar. Mahu atau tidak mereka berdua terpaksa saling membantu untuk terus hidup.
Selain Jackie Chan (Big Soldier) dan Leehom Wang (Little Soldier), filem ini turut dibintangi oleh Steve Yoo, Lin Peng, Wu Yue, dan Xiao Dongmei.