Kelainan seringkali ditonjolkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam program-program siarannya dan tidak terkecuali drama hasil kerjasama MOU antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia. Istimewanya telemovie ini tidak hanya melibatkan barisan pelakon dari Brunei, bahkan juga turut dijayakan oleh para pelakon dari Malaysia.
Telemovie “Hati Yang Musafir” arahan Adie Aziz dan Hajah Mardiah yang disiarkan khas sempena Aidilfitri ini dibintangi oleh Raja Farah, Amirol Omar, Hilal Azman dan Yaya Maembong ini mengisi slot Panggung 1 pada 1 Ogos ini, pukul 3.05 petang di TV1.
Drama berunsur keislaman ini mengisahkan tentang Syafiq (lakonan Amirol Omar), seorang usahawan asal Brunei yang memiliki sebuah hotel di Malaysia. Walaupun dimiliki oleh seorang Muslim, hotel ini tidak melarang penjualan minuman keras.
Di hotel inilah, tempat Safina (lakonan Raja Farah) bekerja sebagai pembuat pastri. Pada suatu hari, Safina secara tidak sengaja terlanggar Syafiq, pemilik hotel berkenaan, dan mengotorkan bajunya dengan kek yang dibawa oleh Safina.
Kejadian tersebut telah menyebabkan dirinya dipecat serta merta. Namun begitu, Safina ditawarkan bekerja di Brunei tidak lama kemudian. Secara kebetulan, pemilik kafe butik tempat Safina berkerja tersebut merupakan ibu kepada Syafiq.
Menarik? Nantikan siarannya pada 1 Ogos ini di TV1.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton program di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.
Panggung 1, Telemovie – “Hati Yang Musafir” Kerjasama RTM-RTB Di TV1