Filem IMAM merupakan filem adaptasi novel yang ditulis Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Abdullah Hussain dan pernah dinobatkan sebagai pemenang pertama Hadiah Novel Nasional Utusan Melayu Public Bank Utusan Publication and Distributors 1992/1994.
Filem Imam terbitan Al-Kahfi Production menampilkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Datuk M.Nasir sebagai Haji Midad, Faizal Hussein sebagai Haji Syamsuri, Vanida Imran sebagai Rubiah dan Natasha Charmaine sebagai Siti Nur Aisyah.
Filem Imam berkisar tentang kisah perjuangan Haji Midad yang ingin membawa kemajuan dan pembaharuan di kampungnya, Anggerik Desa. Dia berusaha untuk memperkukuhkan persepakatan masyarakat kampung ini bersandarkan ajaran Islam.
Hal ini demikian kerana Kampung Anggerik Desa sudah lama kehilangan seri kemasyarakatan. Tambah pula, satu-satunya masjid di kampung itu iaitu Masjid Haji Salih sudah lama tidak diimarahkan. Masjid Haji Salih juga berada dalam keadaan kelam kabut dan tidak terurus.
Kisah bermula apabila Haji Midad yang telah lama menghilangkan diri dan diberitakan mati dalam pertempuran di Kalimantan, secara tiba-tiba muncul di kampung. Kepulangan Imam Haji Midad secara tidak langsung membawa sinar baru kepada segelintir penduduk kampung.
Haji Midad dilantik menjadi Imam oleh penduduk kampung bagi menggantikan imam lama iaitu Imam Haji Abdul Rahman. Namun, kepulangannya tidak disenangi oleh sepupunya sendiri, Haji Syamsuri yang sudah lama menginginkan jawatan Imam Masjid Haji Salih.
Haji Midad cuba membawa pembaharuan di masjid kampungnya. Tujuannya adalah untuk menarik minat para pemuda kampung datang ke masjid. Jauh di sudut hatinya, dia mahu mengimarahkan dan mengembalikan kegemilangan peranan masjid seperti zaman Rasulullah SAW.
Bagi Haji Midad, masjid adalah pusat pendidikan, pusat sosial, pusat pemerintahan dan
pusat dakwah. Haji Midad mula membersihkan kawasan masjid, menanam pokok bunga di sekitar masjid serta membina gelanggang sukan takraw dan badminton.
Namun tidak lama selepas itu, usaha Imam Haji Midad ditentang oleh sebahagian penduduk kampung. Bukan itu sahaja, dia dituduh membawa ajaran baru, ajaran ekstremis yang agak asing bagi penduduk kampung yang berakal jumud.
Ada di antara penduduk kampung membuat aduan kepada pihak berwajib sehingga mendapat perhatian pihak Majlis Agama. Haji Midad didakwa memberi khutbah pada hari Jumaat tanpa menggunakan teks yang disediakan oleh pihak Majlis Agama. Lantaran itu, dia telah dipanggil untuk disoal siasat oleh pejabat Majlis Agama.
Keadaan juga semakin buruk apabila perkhabaran adanya emas di sekitar kawasan masjid telah menyebabkan kehadiran penduduk kampung ke masjid berkurangan oleh kerana aktiviti melombong emas yang giat dilakukan. Apa yang menyedihkan Haji Midad ialah nyawanya turut terancam akibat hasad dengki Haji Syamsuri.
Tambah pula, percanggahan pendapat antara Imam lama iaitu Haji Abdul Rahman dan Imam Haji Midad menyebabkan penduduk kampung menjadi berpuak-puak.
Apakah kesudahan konflik yang terjadi di Kampung Anggerik Desa? Mampukah masyarakatnya bersatu, menyembah Allah yang Maha Esa serta mengamalkan ajaran dan sunnah Baginda Nabi? Jadi, jangan lupa untuk saksikan kesudahan filem Imam, Ahad, 21 April 2024 jam 9 malam di TV AlHijrah. Filem ini amat sesuai untuk dijadikan tontonan seisi keluarga kerana sarat dengan pengajaran dan falsafah hidup. Penonton juga boleh menonton secara strim di aplikasi AlHijrah Plus.