Dengan tema “Ramadan Mentadabbur Keindahan”, TV AlHijrah telah menyusun program-program yang mendidik jiwa dengan ilmu, dakwah dan hikmah.
Usaha murni ini bagi mengajak masyarakat untuk memanfaatkan Ramadan sebagai bulan yang berkat untuk mentadabbur keindahan yang Allah ganjarkan kepada para hambaNya yang berpegang kepada ajaran al-Quran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Bin Haji Mokhtar menyeru kepada semua pihak khususnya para penonton untuk bersama-sama melipat gandakan doa dan munajat agar terus dikurniakan nikmat iman dan Islam serta dijauhkan dari sifat kesombongan diri.
Jelasnya lagi, para penonton juga harus cakna dan mengambil tahu isu-isu kemanusiaan serta kasih sayang dalam usaha untuk terus menyebarkan keindahan dalam kehidupan.
Ujar beliau lagi, bulan Ramadan adalah bulan yang pastinya mencatatkan peningkatan jumlah tontonan di stesen TV AlHijrah.
“Pada Ramadan tahun ini, TV AlHijrah akan menyiarkan sebanyak 22 rancangan Istimewa buat penonton. Pecahannya adalah 20 rancangan penerbitan dalaman dan syndicated seperti Apa Cerita Kome bersama Ustaz Dato’ Mohd Kazim Elias, Ihya Ramadan tajaan aplikasi Digital Khair oleh Qudwah Technology, Ibrah Ramadan, Camca, Sembang Moreh, Peristiwa Ramadan, Ayat Riwayat Risalah Anbiya dan banyak lagi. Manakala, terdapat satu program branded content iaitu Ehsan.
“Sebanyak 308.5 jam diperuntukkan untuk menayangkan kesemua rancangan-rancangan ini dengan peningkatan 17.8 peratus jam siaran berbanding tahun lalu,” jelasnya.
Mohd Na’im turut menjelaskan buat pertama kalinya, TV AlHijrah akan menyiarkan drama bersiri Arab yang memaparkan kisah perjalanan hidup seorang daripada empat tokoh imam mujtahid masyhur yang membangunkan empat mazhab fiqah terbesar dalam Islam iaitu Imam Al-Syafie.
“Drama Risalah Imam Al-Syafie ini akan disiarkan sebanyak 30 episod siaran, setiap hari, jam 6 petang. Selain itu, dua filem terbaik Ramadan yang akan ditayangkan adalah Imam dan Perjalanan Pertama.
“Filem Imam adalah filem tempatan yang diterbitkan pada tahun 2023 arahan Mior Hashim Manap yang merupakan adaptasi novel bertajuk sama oleh novelis, Sasterawan Negara Abdullah Hussain.
“Kita mahu mendekati penonton-penonton baharu dengan segmen filem dan drama. Program agama tidaklah terhad kepada kuliah, forum dan tazkirah semata-mata. Filem dan drama juga adalah salah satu bentuk wahana dakwah yang berkesan apabila diolah dengan baik. Ini adalah sebahagian perjuangan TV AlHijrah dalam nuansa dakwah penyiaran,” ujar beliau.
Tambahnya, dalam memastikan anak-anak muda digerakkan agar memahami dan menghayati al-Quran, TV AlHijrah juga memperuntukkan 141 jam siaran, bagi menyiarkan empat rancangan istimewa bernadakan kalam suci Ilahi. Rancangan-rancangan tersebut adalah Syahadah al-Furqan, Khatam Ramadan, Tadarus Quran@114 dan Kapsul Taranum Challenge.
Majlis perasmian Pelancaran Program Ramadan Mentadabbur Keindahan TV AlHijrah turut dihadiri Pengerusi TV AlHijrah, Mohd Khair Ngadiron dan Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.