in , ,

Tun Dr Mahathir Kongsi Tip Manfaatkan PKP Bekerja di Rumah

Rakyat Malaysia harus bersyukur penularan COVID-19 tidak seburuk negara lain dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih membenarkan orang ramai meninggalkan kediaman untuk urusan penting. Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rakyat perlu berdisiplin dan mengawal nafsu sepanjang tempoh pematuhan PKP.

“Kita harus bersyukur walaupun sekarang kita menghadapi suatu penyakit yang dahsyat. Tapi kita ingat ada yang lebih teruk daripada kita. Kita fikirkan, Itali umpamanya, ada 60 juta manusia yang terpaksa dikawal berapa lama.

“Sekarang di India dengan 1.4 bilion manusia tidak dibenarkan keluar rumah.

“Tapi kita ada kawalan pergerakan (PKP) sahaja. Kita masih boleh keluar kalau ada kerja penting.

Kita bersyukur kerana setakat ini ‘frontliners’ (petugas barisan hadapan) begitu dedikasi bekerja hadapi bahaya jangkitan.

“Mereka sanggup jalankan kerja supaya kita selamat. Sebab itu, kita perlu kita bersyukur kerana negara kita ini amat selamat,”

– Tun Dr Mahathir Mohamad
Neelofa

COVID-19: “Rakyat Perlu Kawal Nafsu Sepanjang Tempoh PKP,” – Tun M

Sesi temu bual secara langsung bersama pelakon dan pengacara popular, Neelofa di Instagram, pagi tadi. Dalam sesi #BerseoranganBersama kendalian Neelofa, bekas Perdana Menteri berkongsi tip memanfaatkan PKP termasuk bekerja dari rumah. Tun Dr Mahathir Kongsi Tip Manfaatkan PKP Bekerja di Rumah

Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia perlu bersyukur kerana negara ini dilindungi daripada bencana alam.

“Kita dilindungi oleh keadaan alam sekitar. Umpamanya, angin puting beliung daripada Lautan Hindi disekat oleh Pulau Sumatera, tidak sampai pada kita.

“Apabila berlaku tsunami, kita dapat elak kerana tsunami sampai ke Aceh hingga hancur Banda Aceh.

“Di sebelah timur, kita ada Filipina. Dalam setahun mereka 10 kali kena taufan, tapi kita terselamat kerana kita dilindungi Filipina. Kita juga tiada gunung berapi, semua ini adalah nikmat.

“Kita hanya ada masalah lain tapi masalah itu buatan kita, bukan yang dikenakan kepada kita secara semula jadi. Sebab itu, rakyat Malaysia perlu bersyukur, tak perlu timbul masalah atau huru-hara, selesaikan masalah secara baik di antara kita,”

– Tun Dr Mahathir Mohamad

Sehubungan itu, Dr Mahathir mengingatkan rakyat agar patuh kepada pelaksanaan PKP.

“Kita mesti berdisiplin mengawal diri dan nafsu. Kalau kita mengikut nafsu dan kehendak hati, maka kita akan lakukan benda yang tidak membawa manfaat.

“Kalau kita berdisiplin dan kawal kehendak, maka kita boleh terima sekatan seperti tak boleh keluar rumah sebagainya.

“Kita tahu, akhirnya ini akan tamat, mungkin mengambil masa yang lama. Tapi kalau kita boleh berdisiplin dan kawal nafsu, semuanya akan selesai.

“Minta tolong ikut peraturan kerana peraturan ini baik bagi kita. Kalau tidak ikut peraturan, mungkin kita akan jadi mangsa, kita akan dapat jangkitan daripada orang lain.

“Kalau kita ada dengan orang yang berpenyakit, kita akan bawa penyakit ini kepada keluarga dan mereka akan bernasib buruk kerana tingkah laku kita.

“Oleh itu, ikutlah peraturan supaya kita boleh selamatkan diri, keluarga dan negara kita,”

– Tun Dr Mahathir Mohamad

Pesan Dr Mahathir, pada zaman yang serba canggih, hampir semua perniagaan dapat dilakukan di rumah. Jadi, katanya, gunakanlah teknologi sebaik mungkin dalam tempoh PKP.

“Hampir semua perniagaan boleh dibuat dari rumah terutama pada zaman sekarang di mana komunikasi begitu baik sehingga kita boleh berjual beli secara online.

“Maka, semua ini boleh dilakukan di rumah, boleh melakukan jual beli melalui online. Banyak benda boleh buat di rumah. Tukar cara kita bekerja, saya yakin tanpa keluar rumah, kita masih boleh jalankan sebahagian daripada perniagaan kita,”

– Tun Dr Mahathir Mohamad

Mengenai nasihat pengurusan kewangan, Dr Mahathir mengaku ramai pekerja berhadapan masalah pendapatan terjejas. Sehubungan itu, katanya, amalkan pembelian barangan penting agar perbelanjaan dikawal baik.

“Dalam keadaan ini, biasanya pendapatan kita akan berkurangan. Oleh itu, perbelanjaan kita juga perlu dikurangkan. Ada yang tidak penting yang boleh ditangguhkan atau diketepikan. Tumpu kepada perkara yang penting seperti makanan,”

– Tun Dr Mahathir Mohamad

Dr Mahathir turut menasihatkan orang ramai aktif bersenam walaupun di rumah. Seperti dirinya, setiap hari Dr Mahathir meluangkan sedikit masa bersenam dengan menaiki basikal atau ‘treadmill’.

“Aktif sedikit di rumah, kita perlu bersenam. Saya ada basikal dan ‘treadmill’ di mana setiap hari saya bersenam, supaya kita menggunakan otot kita dan tubuh badan kita.

“Kalau salah satu anggota kita tidak digunakan, ia menjadi lemah. Tapi aktif bukan daripada gerakan badan sahaja, tapi daripada akal fikiran juga. Ini menjadikan tubuh badan kita sihat,”

– Tun Dr Mahathir Mohamad

Antara jawapan kepada soalan diutarakan sepanjang sesi berkenaan iaitu nasihat terbaik pernah diterima,

Dr Mahathir teringat pesanan arwah ibu yang berbunyi ‘don’t overstay your welcome’ (pergi apabila tiba waktunya). Akui Dr Mahathir, nasihat itu menjadi salah satu sebab beliau mengambil keputusan melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Sementara itu, Neelofa meluahkan rasa gembira dan terharu berpeluang menemubual Dr Mahathir.

Neelofa berkata, sesi siaran langsung dari rumah itu bertujuan untuk memberi manfaat kepada orang ramai yang sedang melalui tempoh PKP.

“Saya ambil pendekatan mengadakan sesi ‘live’ ini untuk kita sama-sama mendidik rakyat Malaysia dan beri maklumat berguna. Saya sudah bersama Nora, Rossa dan idola saya, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan hari ini saya bersama Dr Mahathir,”

– Tun Dr Mahathir Mohamad

Neelofa akan bersama pengacara dan pelawak, Nabil untuk pengisian esok.

Sesi #BerseoranganBersama Dr Mahathir itu meraih lebih 85,000 tontonan dalam tempoh 30 minit.

Sumber: BH Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

COVID-19: PTPTN Jawab Isu Penangguhan Bayaran

Isu Pengurusan Hospital Putrajaya, Azwan Ali Mohon Maaf