Menurutnya, Zul atau nama sebenar Zul Huzaimy Marzuki tidak mahu mendedahkan jenis ugutan yang diterima kerana kes terbabit masih dalam siasatan pihak berkuasa.
“Saya ada terima ugutan, tapi saya serahkan semuanya kepada pihak berkuasa yang masih melakukan siasatan sehingga sekarang.
“Saya tak boleh beritahu (jenis ugutan) sebab dah bawah siasatan polis dan sudah dipanggil untuk kerjasama dengan polis dan sekarang siasatan masih berjalan lagi,”
– Zul Huzaimy
Zul ditemui semasa di majlis sidang media pratonton Daddyku Gangster di Sunway Velocity Mall yang akan ditayangkan mulai 1 Disember, depan.
Susulan perkara itu, dia memberitahu sebagai manusia biasa, dia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.
“Saya ni manusia biasa yang tak lepas melakukan kesilapan. Adakalanya tersasar juga menggunakan perkataan tidak sesuai.
“Saya bukannya artis yang sukakan kontroversi. Sebelum-sebelum ini pun, mana ada saya buat apa-apa (kontroversi).
“Semua orang pelik, kenapa Zul macam itu? Jadi, itulah manusia sebenarnya dan saya berharap semua penonton dan peminat saya memahami apa yang berlaku itu ialah lumrah sebagai manusia biasa, tak lepas daripada tersasar juga buat kesilapan. Saya berharap ini adalah pengajaran kepada saya,” jelasnya.
Namun, dia menyesali dengan perbuatan tersebut sehingga tidak senang duduk dan akan terus memberi ceramah tanpa menyentuh isu perkauman.
“Itulah semua orang, manusia baik yang tiada niat akan rasa begitu (kesal). Tapi, kalau memang dia ada berniat, itu lainlah.
“Apapun, saya minta kepada semua, jangan dikaitkan filem ini dengan isu politik. Saya mohon berikan sokongan kepada karya seni ini.
“Saya juga akan meneruskan lagi memberi ceramah sekiranya menerima undangan. Sebabnya, saya masih lagi sebagai ikon permotoran yang akan bercakap mengenai permotoran saja, dan tidak lagi akan membabitkan benda-benda sebegitu (berbaur perkauman),” katanya.