Trilogi The Lord of the Rings, filem epik yang membawakan pengembaraan fantasi yang diadaptasi daripada tiga buah siri buku oleh pengarang Inggeris JRR Tolkien bakal menemui penonton setia Radio Televisyen Malaysia (RTM) sepanjang Mac ini mengisi slot English Blockbuster di TV2.
Peminat siri ini diajak menyaksikan tiga filem arahan Peter Jackson ini bermula dengan tayangan Lord of The Rings : The Fellowship Of The Ring (02 Mac 2012), The Two Towers (09 Mac 2012) dan The Return of The King (16 Mac 2012) yang kesemuanya disiarkan setiap Jumaat, jam 10.00 malam.
Dunia fiksyen dalam tiga filem ini bermula dengan The Fellowship Of The Ring yang popular tahun 2001 diikuti The Two Towers (2002) sebelum diakhiri dengan filem The Return of The King (2003) yang mana ketiga-tiganya memiliki jalan cerita yang menarik dengan kemunculan pelakon terkenal Elijah Wood, Orlando Bloom, Ian McKellen, Viggo Mortensen, Liv Tyler, Sean Astin dan Sean Bean.
Plot filem The Fellowship Of The Ring berkongsi kisah Sauron seorang Penguasa Cincin yang telah bangkit dan mengancam untuk menakluk bumi. Untuk menghentikan kekejaman tersebut, Frodo Baggins harus memusnahkan impiannya dengan mencampakkan satu-satunya cincin Sauron ke dalam nyalaan api di Gunung Doom. Sejak itu manusia, hobbit, ahli sihir, pari-pari dan orang kerdil membentuk satu persahabatan untuk membantu Frodo dalam misi tersebut.
Dia mengembara dari kampung halamannya di Shire bersama Sam, Merry dan Pippin ke Bree di mana mereka bertemu Aragorn. Malangnya mereka diburu oleh Penunggang Hitam, lalu mereka harus tiba ke Rivendell sebelum mereka kemudiannya memutuskan untuk membawa cincin tersebut ke Mordor. Misi itu kemudiannya disertai oleh Gandalf, Gimli, Legolas dan Boromir.
Mereka sedaya upaya merentasi pergunungan tetapi terpaksa akur dengan kekuatan sihir Saruman. Lalu mereka mengambil jalan pintas melalui lombong Moria, di mana Gandalf telah jatuh ke dalam gaung ketika bertarung dengan Balrog. Mereka kemudiannya meneruskan perjalanan ke negeri pari-pari di Lothlórien dan sampai ke Sungai Besar Anduin. Malangnya di situ persahabatan mereka mula goyah ketika diserang Uruk-hai. Boromir telah terbunuh dan Aragorn, Gimli dan Legolas bersama menjejaki Uruk-hai yang telah menangkap Merry dan Pippin. Frodo dan Sam pula menuju ke timur Mordor.
Kesinambungannya menerusi The Two Towers pula tentang kebangkitan Sauron dan sekutu-sekutunya yang semakin berkembang. Ringwraiths kembali dalam bentuk yang lebih menakutkan. Tentera Uruk Hai bersedia untuk melancarkan serangan terhadap Aragorn dan orang-orang Rohan. Apatahlagi Fellowship telah berpecah dan Boromir pula mati.
Dengan sedikit harapan yang ada, Frodo dan Sam memulakan perjalanan ke Mordor meskipun tidak dilindungi oleh sesiapa. Beberapa sekutu baru menyertai Aragorn, Gimli, Legolas, Pippin dan Merry. Mereka mesti mempertahankan Rohan dan serangan Isengard. Pada masa itu juga, ramai tentera Sauron menuju ke arah Bandar Gondor untuk menyertai Perang Lingkaran yang hampir bermula.
Trilogi ini berakhir menerusi filem The Return of The King dimana Fellowship bersedia untuk pertempuran terakhir di kawsan pertengahan bumi. Ketika itu juga Frodo dan Sam semakin dekat untuk merealisasikan misi mereka untuk memusnahkan One Ring.
Filem ini salah satu projek filem yang terbesar dan yang paling hebat pernah dilakukan dengan anggaran bajet keseluruhan sebanyak 285 juta. Projek penghasilan filem ini mengambil masa lapan tahun dengan pengambaran untuk ketiga-tiga filem yang dilakukan secara serentak dan sepenuhnya di New Zealand.
Saksikan babak-babak menarik trilogi yang berjaya mencatat kutipan hebat setanding filem Harry Potter, James Bond, Star Wars, Pirates of the Caribbean dan Shrek selain pernah memenangi 17 daripada 30 Anugerah Akademi yang dicalonkan secara keseluruhannya ini hanya di TV2.