in ,

Travelogue Umar Uzair ke Festival Seniman Epik Dunia Ke-3

Travelogue Umar Uzair ke Festival Seniman Epik Dunia kali ke 3 yang mewakili negara Malaysia. Pelbagai pengalaman manis dan bersejarah buat penyanyi muda ini melakar cita dan sejarah. Paling utama beliau begitu bangga menyarung pakaian kebangsaan Melayu serantau kita untuk dijulang dan diperkenal di mata luar. Tahniah buat Umar Uzair kerana telah dipilih oleh Jabatan Kesenian & Kebudayaan Negara melalui KeKKWa sebagai mewakili Malaysi sempena Festival Seniman Epik Dunia 2015 yang berlangsung di Bishkek, Kyrgyzstan pada 3 – 6 September 2015.

1 September 2015
Selasa
Hari 1.
Kuala Lumpur.
Penerbangan Turkish Airlines dari KL ke Istanbul bermula untuk 10 jam yang seterusnya. Saya dihantar oleh Cik Noor Atiqah yang mewakili pihak JKKN di pintu masuk penerbangan.

Terbang ke negara orang bersendiri bukanlah asing tetapi ada semacam debaran yang luar biasa untuk perjalanan kali ini. Barangkali kerana pergi lebih jauh dari selalu, bersendirian membawa nama Malaysia.

Gadis pramugari menyua kuih manisan persis kuih makmur kesukaan saya; dipermukaannya tertabur gula halus dan intinya deraian kacang, menjadi penyambut kehadiran penumpang.

Sebetulnya mata seperti disapu gam kerana sudah jam 2 pagi tetapi terbang di ketinggian 30 000 kaki di atas awan ini, para pramugari pramugaranya melayan dengan sepersatu hidangan justeru tidak dapat melelapkan mata. Saya memilih untuk memasang himpunan lagu-lagu Turkish yang tersedia di senarai audio.

Betapa asyik mendengar bahasa mereka yang kedengaran lenggok arab tetap bercirikan tamil. Mor Menekse, Buyuk Askim dan Atin Beni Denizlere antara yang menyeronokkan telinga.

Hari 1 – siang
Istanbul, Turki.
Dari dada langit Kuala Lumpur ke Chennai – Mumbai – New Delhi dan Ankara, sekitar jam 6 subuh saya tiba di Lapangan Terbang Atartuk, Istanbul yang terbangun di tepi selatnya. Kerana perhentian yang lebih dari 8 jam di sini, saya dibawa pihak Turkish Airlines ke ruang menunggu untuk dibawa mengitari kota agung ini.

Jam 9 pagi, dengan sebuah bas bersama para pelancong lain kami dibawa memasuki kota Istanbul. Menghadam pemandangan kota ini begitu mengasyikkan. Bangunannya tradisi dan kekal berwarisan seiring dengan pembangunan. Istanbul terbangun di bibir teluknya, mewarisi senibina Islam yang unggul. Tambah indah saya dibawa bersarapan pagi yang makanannya lebih kepada tenusu, keju dan roti di Fatih Belediye Baskanligi.

Usai di situ kami dibawa menyusur jalan berbukit; kiri kanannya terbangun rumah-rumah kedai yang pekat bercirikan Timur Tengah, sepanjang perjalanan kaki ke Sultanahmet & Haiga Sofea. Berdiri di tengah-tengah antara dua arkitektural tersohor ini begitu mengujakan. Berjalan memasuki Haiga Sofea seperti masuk ke dalam filem romantis lama dan peperangan bernuansa klasik. Potret gah kalimah Allah dan Muhammad tergantung megah menjadi penyambut pengunjung di pintu kayu gergasi.

Sejam membelek keagungan bangunan ini, kami dibawa menyusur lagi sekitar kota Istanbul; kemajuannya mengagumkan. Trem yang mesra pelancong, pejalan kaki yang baik & papan tanda yang jelas menyerlahkan sisi pelancongan kota ini. Istanbul berdiri seiring kemodenan yang dipimpin tradisi dan seni yang tidak mati.

2 September 2015
Rabu • Hari 2 • Bishkek.

Penerbangan yang sepatutnya empat jam dari Istanbul ke Bishkek tergendala kurang lebih sejam. Pun, tiba di lapangan terbang Bishkek pada jam 3 pagi waktu tempatan, saya disambut mesra oleh jelitawannya, Cik Gulshan.

Tidak cuma sendiri, ada dua lagi delegasi dari luar iaitu Jerman, Encik Hendrik Erik & delegasi dari Uzbekistan bertiga. Kami berlima kemudiannya langsung dibawa rehat ke hotel. Gelap malam tidak dapat menangkap suasana di Bishkek, cuma suhu 13 darjah selsiusnya yang terasa.

Siang itu selepas makan tengah hari, kami dibawa ke kota Bishkek. Saya dan empat orang lagi menjadi delegasi yang pertama tiba untuk Festival Seniman Epik Dunia 2015 (World People’s Epic Festival 2015). Cuaca dibawah 20 darjah begitu mendamaikan. Perkara pertama yang ditangkap mata ialah wajah masyarakat tempatannya yang bercirikan Tibet dan keKoreaan tetapi kulitnya lebih sawo.

Bahasanya jelas bercirikan Rusia dan bangunannya juga kekal nuansa Soviet. Kyrgyzstan yang baharu mengecap kemerdekaan belum lebih 20 tahun membangun tanpa bangunan yang tinggi, kekal dengan citra lamanya tetapi kemas dan bersih.

Lokasi pertama ialah Muzium Seni Nasional. Saya & En. Hendrick dibawa berkenalan dengan kuratornya yang membawa kami menyelami seni halus artis tempatan. Seniman mereka bermula lewat 70an dan dibesarkan dalam kongkongan soviet Rusia dan komunisme. Lukisan-lukisan yang dihasilkan lebih bercirikan realisme dan abstrak. Saya juga diceritakan tentang betapa ramai seniman mereka yang membunuh diri kerana tekanan hidup dibawah jajahan soviet yang menyekat mereka dalam berkarya. Seniman ini tidak bebas meluahkan kreativiti dalam penghasilan lukisan memilih untuk menamatkan kehidupan; tragis.

Selesai di Muzium Seni Nasional, kami beramai-ramai menyusur jalan di kota ini. Ada pameran lukisan yang terbina di pinggir jalan dan orang-orangnya beraktiviti tanpa segan. Hari pertama di Bishkek tamat semasa burung pulang ke sarang dan dada langit beraduk kebiruan dan jingga.

3 September 2015
Khamis
Hari 3 • Bishkek.
Pagi hari ini bermula lewat jam 10. Delegasi dibawa ke Muzium Nasional. Kami diperkenalkan dengan tradisi dan budaya Kyrgyz yang terbina dari lapan suku kaum. Setiap kaum membawakan citra tersendiri dan kekal sehingga ke hari ini.

Sejam kemudian kami ke Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Kyrgyzstan. Lokasinya yang ditengah-tengah bandar antara satu dengan lain memudahkan pergerakkan hari ini yang bercuaca hujan gerimis di kedinginan 13 darjah, khabarnya dibawa oleh angin kuat dari gunung yang tidak jauh.

Delegasi diperkenalkan dengan Pengarah Festival selain dibawa melawat pejabat menteri dan persekitarannya sebelum dibawa ke sidang media yang turut dihadiri menteri, wakil dari Rusia dan dua tiga pegawai kerajaan. Sidang media berlangsung dengan baik dalam keserderhanaan dihadiri para media bagi menghebahkan acara.

Kyrgyzstan tegas dengan bahasa mereka tanla mengendahkan pemahaman warga luar. Mujur ada penterjemah yang menerangkan maklumat secara ringkas untuk saya memahami semuanya.

Travelogue Umar Uzair ke Festival Seniman Epik Dunia Ke-3

4 September 2015
Jumaat
Hari 3
Saya bangun dengan debaran dan keujaan. Hari ini adalah hari yang paling ditunggu oleh delegasi yang mula meramai di hotel. Festival Seniman Epik Dunia 2015 membuka gelanggangnya di Dataran Ala-Too, Bishkek dengan dirasmikan oleh Perdana Menteri Kyrgyzstan kurang lebih jam 10.30 pagi. Dihadiri ratusan pengunjung, dataran itu dibangunkan dengan rumah-rumah tradisi tempatan selain dijamu dengan juadah lokalnya; roti dan air susu soya.

Di situ juga saya dipersilakan untuk menjadi wakil Malaysia bagi memasang tiang rumah tradisional sebagai simbolik pelancaran sebelum dibawa ke Panggung Teater Nasional untuk memulakan pertandingan seni puisi diantara negara yang terlibat.

Memilih untuk mendendangkan syair irama Selendang Delima dan Zapin Bunga Tanjung, saya menyarung songket bunga warna biru dada langit pada persembahan yang pertama ini.

Bersaing dengan lebih 20 peserta yang lain merupakan sebuah perasaan yang segar ditokok dengan respon yang baik oleh para tetamu dan juri seusai acara mengenai busana Melayu dan seni puisi yang halus dan lembut berbanding negara lain yang agak kasar.

Malam itu festival bersambung di Dataran Ala-Too dengan perarakan kesenian dan konsert perasmian yang dihadiri lebih 2000 tetamu kehormat antaranya Perdana Menteri Kyrgyzstan sendiri bersama para menteri kerajaan dan masyarakat tempatan. Sekali lagi saya dipersila sebagai wakil Malaysia yang mengadakan persembahan bersama lima negara lain; Turki, Rusia, Khakasia, Altai dan Uzbekistan.

Saya memilih untuk mendendangkan syair dan Joget Burung Tiong sebagai mempelbagaikan irama tradisional Melayu. Malam itu menjadi sebuah lagi tingkat apresiasi buat saya dalam bidang seni sastera dan persembahan muzik.

Travelogue Umar Uzair ke Festival Seniman Epik Dunia Ke-3

5 September 2015
Sabtu
Hari 4
Pagi hari ke empat agak senggang. Meski festival tetap berlangsung dengan simposium yang mengumpulkan para pengkaji seni, kurator dan pemerhati dari seluruh dunia, aku dan beberapa seniman lain tidak mengikuti acara ini. Justeru usai sarapan di hotel, kami dimaklumi untuk dibawa ke Taman Negara Ala Archa di kaki gunung Tien Shien. Kata gadis pembawa kami, cuaca di sana cukup dingin nyaman.

Selama kurang lebih 30 minit perjalanan dari bandar Bishkek ke Ala Archa, mata dihadiahkan dengan pemandangan desa Kyrgyz yang pekat dengan tradisinya. Rumah-rumah batu yang unik dan padat terbangun di atas tanah lapang. Diantara pekan ke pekan, ada lapangan penempatan kuda-kuda besar & kuda padi. Semuanya berpengembala. Aku lihat orang-orang desa bermata sepet keTibetan itu memandang van dengan mata memahami; ingin ke gunung.

Gunung-ganang yang tidak berpohon tinggi, bertanah tanih dan berbatuan menyambut di pintu gerbang kaki gunung. Keindahannya beraduk dengan kemegahan, air sungai kristal yang mengalir desar begitu menjakunkan aku. Memang ada air sungai yang indah jernih di perkampungan Malaysia tetapi ini beza.

Semakin menghampiri Ala Archa, gunung yang puncaknya seperti ditaburi gula halus di atas kek cawan itu begitu mengiurkan. Awannya larat berkeliling menutupi dan berkabut di kebawahan. Tiba di taman negara, aku dan lima enam seniman dari Uzbekistan, Khakasia dan Rusia berjalan menuju ke dalam. Ada simpang yang berpecah dua; satu ke air terjun; satu ke trek sungai. Kami memilih untuk ke trek sungai yang berkejauhan 1 kilometer berbanding 3.5 km ke air terjun. Kalau ikur hati ingin aku ke air terjun pasti pemandangan & suasananya lebih mengagumkan tapi keputusan bukan dibulat untuk diri sendiri.

Menyusuri Taman Negara Ala Archak, pokok-pokok krismas yang meninggi di dataran, dengan dikelilingi gunung ganang bersalji persis seperti berada di dalam filem Holywood. Kedinginan yang mencucuk temulang bukanlah penghalang untuk terus menjadi ghairah seperti anak-anak kecil yang bertemu dengan taman permainannya. Betapa kagum melihat gegunung yang menyirat dari barat daya China, Kazakhstan, Kyrgyzstan hingga ke utara India yang menjadi tali pinggang Himalaya dengan ketinggian lebih 7000 meter.

Kurang lebih setengah jam berjalan, kami tiba di hujung tempat pejalan kaki. Dilatari dataran sungai yang berbatuan, kami tidak dapat melepasi had itu kerana pakaian yang tidak ekstrimis. Usai mengabadikan foto bersaman, dalam kesenyapan aku duduk sekejap menikmati suara angin yang menyapu muka, deru sejuk yang mendakap dan gunung-ganang yang majestika. 10 minit kemudiam aku dipanggil oleh gadis pembawa pelancong sudah menunggu untuk berpatah balik. Suatu waktu pasti didatangi semula ke sini, ingin aku geledah misteri yang mengerling sembunyi dari sungai sebelah sana.

* * *

Tengah hari itu selepas menjamu di Navat, aku memilih untuk pulang ke hotel, berehat semetara teman-teman seni yang seusia berjalan mengitari kota Bishkek. Petang jam 5 kami diambil lagi, kali ini ke Panggung Teater Nasional Kyrgyzstan untuk menyaksikan pemanggungan teater yang dihasilkan oleh pengarah teater terkenal tempatan yang aku lupa namanya tapi wajahnya kerap bertamu dalam banyak acara.

Teater sejam itu dipersembahkan dalam gaya tradisional Kyrgyz yang pekat dengan bahasa dan metafora yang tinggi diaduni nuansa komedi dan urban. Meski sepatah apapun aku tidak faham tapi penjelasan yang digayakan oleh para pelakon hebat membuat aku faham tentang jalan penceritaan berkenaan disebalik perjuangan hero mereka; Manas, ada seorang srikandi yang turut berjuang memerdekan bangsa mereka.

Srikandi yang pada mulanya menjadi ejekan masyarakat keliling kerana statusnya sebagai seorang wanita akhirnya membuka mata kerana berjaya menjatuhkan perjuangan belah kiri. Ini sebuah teater yang berjaya dan lebih murni kerana dipentaskan di panggung utama.

Travelogue Umar Uzair ke Festival Seniman Epik Dunia Ke-3

6 September 2015
Ahad
Hari 5.
Semalam lagi para delegasi sudah diperingatkan supaya bersedia awal pagi di lobi. Jam 9.00 semua sudah bertenggek menunggu untuk diambil, kali ini empat buah koc membawa kurang lebih 30 delegasi meredah jalan kampung ke Moscow Retreat. Acara pagi ini ialah konsert kesenian yang berlangsung di daerah pendesaan. Kurang lebih dua jam perjalanan dari kota Bishkek, kami menikmati pemandangan kehidupan masyarakat awam Kyrgyz yang hidup bukan susah tetapi bersederhana.

Warga desa menyambut kami dengan muzik dan nyanyian tempatan yang bersahut-sahutan dan jamuan kek roti bersama air minuman yang masam. Lebih 500 tetamu berhimpun diacara unik yang berlangsung di dataran terbuka dalam suasana santai dan penuh akrab.

Aku memilih untuk menyarung kembali songket warna dada langit yang menarik banyak mata untuk memandang dan berfoto. Barangkali kerana suka dengan destar Melayu yang indah dalam keserhanaan, bertanjak dan redup warna. Aku mendendangkan Joget Burong Tiong diikuti seniman dari Turkey, Uzbekistan, Altai dan beberapa penyanyi daerah di negara Kyrgyzstan juga tampil dengan muzik dan seni tradisi sendiri.

Dua jam di perkampungan itu, kami buru-buru pulang ke kota kerana masa sudah jam 2. Hari terakhir festival ini bakal ditutup di Dewan Filharmonik Nasional Kyrgyzstan pada senja nanti tapi kami pulang dulu ke penginapan untuk membasah badan.

Petang jam 4.30 kami dibawa lagi ke tengah kota untuk perlangsungan Malam Gala Penutup Festival Seniman Epik Dunia kali ke 3 yang bermula lewat 10 minit dari penjadualan asal pada jam 5. Konsert ini mengumpulkan lebih 15 persembahan utama yang menampilkan seniman dari negara yang bertamu. Aku kagum dengan seni dan tradisi dunia dari negara lain bersatu di bawah sebuah panggung besar seperti ini.

Pun, kekuatan aku timbul kerana dalam kesemua persembahan ini, cuma aku yang berdiri sendiri di tengah pentas tanpa penari, pemuzik dan latar berbanding negara lain yang membawa sekurangnya 10 hingga 20 orang.

Syair dan keroncong Kenang Daku Dalam Doamu menjadi penutup untuk persembahan aku dalam festival besar ini. Tepukan dan pujian meyakinkan lagi bahawa tradisi dan muzik Melayu diterima baik oleh pendengar luar negara yang ratanya kagum dengan kelembutan bahasa dan muziknya. Juga busana tradisi Melayu yang dibawa; setanjak, songket yang diikat dengan ikatan Dendang Perantau dengan kot nuansa moden.

Pada acara ini juga telah diumumkan para penerima untuk pertandingan yang dijalankan, yang diraih oleh peserta tuan rumah. Saya positif dan memikir acara ini sebagai pendedahan seni dan tradisi negara itu ke mata luar dan menjambataninya bersama kesenian negara luar. Justeru menang atau kalah bukanlah menjadi keutamaan tetapi telah persembahkan seni negara dengan baik dan diterima seisi masyarakat luar negara.

Festival Seniman Epik Dunia melabuhkan tirai dengan makan malam bersama Menteri Kementerian Kesenian & Kebudayaan Kyrgyzstan, Encik Maksutov Altynbek Askarovich dan para kerabat kerja festival di Supara yang terbangun di kaki bukit desa Bishkek. Saya juga dibawa berkenalan dengan Pn. Almakan yang menjadi penaja utama untuk acara besar ini.

Di situ juga untuk pertama kali saya diperkenalkan dengan makanan eksotik; daging kuda dan susu kuda yang menjadi makanan harian masyarakat tempatan semasa musim dingin. Rasanya persis lembu tetapi lebih liat dan sedikit pekat tetapi susunya tidak mampu diterima tekak kerana terlalu masam.

Encik Maksutov dalam ucapannya memberikan apresiasi yang tinggi terhadap semua delegasi negara yang terlibat termasuk kekagumannya terhadap persembahan syair Melayu yang sering menjadi pembuka sebelum melagukan persembahan. Malam itu menjadi saksi keakraban yang terjalin melalui seni dan tradisi yang halus dan besar, yang wajar mengakari akal dan hati dari pucuk pimpinan sehinggalah ke masyarakat dasar. Festival Seniman Epik Dunia 2015 ini sebuah lagi mercu kejayaan menyatupadukan dunia melalui seni dan wajarlah Malaysia yang telah lahir dengan warisan berzaman memacukannya sejalan bersama kemodenan.

Selaut terima kasih kepada Ybhg. Dato’ Norliza Rofli – Ketua Pengarah Jabatan Kesenian & Kebudayaan Negara, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) yang menerbangkan saya ke Istanbul & Kyrgyzstan.

Travelogue Umar Uzair ke Festival Seniman Epik Dunia Ke-3

Travelogue Umar Uzair ke Festival Seniman Epik Dunia Ke-3

Travelogue Umar Uzair ke Festival Seniman Epik Dunia Ke-3

Travelogue Umar Uzair ke Festival Seniman Epik Dunia Ke-3

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Review of Les Villas Ottalia, Gili Trawangan

First Official Trailer THE FIFTH WAVE