Bukan itu sahaja persembahan dilakukan mereka terhad untuk hiburan pengunjung yang kebetulan lalu atau singgah di tempat tersebut. Namun Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjanjikan lebih sekadar hiburan menerusi program terbitannya melalui Unit Hiburan TV dengan menyiarkan program “Projek Busking” setiap Ahad, pukul 9.30 malam di TV Okey.
Program yang dinamakan “Projek Busking” ini mempunyai objektifnya tersendiri, di mana pihak RTM menonjolkan kelainan dalam menyampaikan hiburan khasnya nyanyian dengan lebih efisyen dan dekat dengan masyarakat. Program ini juga diterbitkan menjadi lebih kreatif tatkala musim pandemik ini yang menghadkan penganjuran acara persembahan secara langsung dengan kehadiran khalayak ramai.
Bermula Projek Busking Bersama Gerhana Ska Cinta di Kota Kuala Lumpur. Sambil skanking bersama-sama dengan irama lagu-lagu ska, rocksteady dan reggae yang bakal dihidangkan khas buat anda. Istimewanya, strategi ini unik kerana ramai para pejalan kaki yang mengenali Gerhana Skacinta dapat menonton dan berhibur dengan lebih dekat dengan kugiran tersebut, turut menyanyi dan menari bersama rentak lagu-lagu yang dimainkan sepanjang perjalanan menaiki bas “KL Hop On Hop Off” tersebut.
Berikutnya program ini mengetengahkan penyanyi kelahiran RTM, Hafiz Zainal dan Sarah Suhairi yang mempersembahkan lagu-lagu seperti Terasing dan Rise & Fall. Manakala episod yang penuh dengan gelak ketawa berkongsi kemeriahan kumpulan Floor 88 menjalankan pelbagai aktiviti menghiburkan di Pulau Langkawi, Kedah.
Seterusnya dalam Projek Busking bersama-sama penyanyi Amir Jahari, Firdaus Materang dan buskers Sang Rawi berada di Waterfront, Kuching, Sarawak, Syafiq Farhain dan Kombo Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia @Anggota Putrajaya, juga penyanyi Shaa dan Darul Aman Buskers memperkenalkan keistimewaan lokasi dan segalanya tentang Negeri Jelapang Padi, Kedah Darul Aman.
Menerusi episod Projek Busking Najwa Latif dan Akwa Arifin pula berada di Bandaraya Johor Bahru, Azlan Typewriter, Andy dan Groove Edge Buskers di Kampung Budaya Kuching, Sarawak, juga episod mengetengahkan artis Ariff Bahran, Tuah Adzmi dan kumpulan White Buskers di Kuala Terengganu.
Ikuti juga episod Projek Busking Luca Sickta, Ben Zooloo dan Ferona berada di Pulau Mabul, Sabah. Di sana mereka busking bersama-sama lagu popular mereka selain turut berkongsi pengalaman keindahan alam semulajadi untuk bersantai bersama yang tersayang. Ada juga Projek Busking bersama KRISTAL X di Pulau Perhentian, Terengganu.
Menariknya program ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada buskers sebaliknya travelog yang mengetengahkan buskers, pemuzik jalanan tempatan dan artis terkenal tanah air. Artis pilihan juga menjadi duta kecil pelancongan domestik dalam negara kita dalam program yang lebih kepada industri pelancongan dan juga industri muzik Malaysia ini.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.