Sebagai salah sebuah hotel berbintang lima di bandaraya tersebut, hotel berjaya membuktikan yang mereka mampu mewujudkan suasana terbaik dan selesa buat setiap pengunjungnya.
Terletak di kawasan pusat bandaraya KL, hotel ini mudah ditujui kerana berada berdekatan dengan stesen LRT Ampang Park dan juga tidak jauh daripada menara berkembar KLCC. Cuma beberapa langkah sahaja dari stesen LRT Ampang Park sudah cukup untuk sampai ke perkarangan pintu masuk hotel.
Diperhebatkan lagi dengan rekaan bangunan hotelnya yang unik digabunglan dengan bangunan The Intermark, pasti ramai yang tidak akan melepaskan pandangan dari senireka bentuk hotel berprestij ini. Dari jauh lagi sudah kelihatan jendela-jendela kaca yang menghiasi hotel ini.
Sudah menjadi tradisi kesemua hotel Doubletree by Hilton, sebaik saja tamu mendaftar masuk, mereka akan diberikan biskut cip cokelat khas yang merupakan lambang sambutan jenama hotel ini.
Dengan 540 buah bilik yang dihias secara mewah dan eksklusif, hotel ini turut menawarkan pemandangan bandaraya Kuala Lumpur dengan penuh gah.
Seperti kebanyakan hotel yang mempunyai bilik-bilik tingkat eksekutif, para tetamu di bilik-bilik tersebut (yang merupakan ahli Hilton Honors) juga mempunyai kemudahan untuk melakukan daftar masuk dan keluar peribadi (personalised check-in and check -out) selain lounge eksekutif buat sarapan dan juga koktel petang.
Biliknya juga sangat menarik, apatah lagi dengan bilik mandi berdinding kaca lutsinar yang pemandangannya hanya boleh ditutup dengan bidai khas dari dalam kamar mandi. Setiap bilik juga mempunyai kemudahan wi-fi buat tamu yang ingin melayari internet.
Doubletree by Hilton juga mempunyai sebuah gimnasium serta sebuah kolam renang yang besar untuk beriadah dan menenangkan diri. Ini diserikan lagi dengan beberapa tempat untuk menjamu selera seperti Makan Kitchen yang menyajikan hidangan tempatan dan antarabangsa terbaik di samping Tosca yang menawarkan hidangan Itali yang lazat.
Tidak lupa juga Axis Lounge untuk minuman sambil bersantai dan Food Store bagi yang ingin menikmati minuman atau hidangan serta snek ringan.
Ia juga mempunyai bilik-bilik khas buat mesyuarat serta seminar dan juga dewan utama untuk mengadakan majlis besar-besaran seperti perkahwinan, pameran dan seumpamanya.
Tidak jauh dari hotel ini juga terdapat banyak kawasan yang popular dengan makanan untuk kemudahan para tamu yang ingin mencuba sajian tempatan atau membeli barangan tertentu.
Sekiranya anda tercari-cari hotel yang bagus dan menawarkan perkhidmatan terbaik di samping lokasi yang sangat strategik, singgahlah di Doubletree by Hilton Hotel di Kuala Lumpur kerana ia benar-benar kemewahan yang mudah dikecapi!
Ditulis oleh: Shah Shamshiri