in

Travel Review Holiday Inn Resort Phuket

Holiday Inn Resort Phuket Buat Seisi Keluarga!
Oleh Shah Shamshiri

Phuket merupakan salah satu destinasi percutian pulau yang paling popular di Asia Tenggara. Biarpun satu ketika dulu ia pernah menjadi perhatian dunia gara-gara dipukul ombak tsunami, Phuket kini bangkit semula sebagai pusat hiburan buat mereka yang mencari ketenangan di tepi pantai serta sedikit hiburan sampingan .

Terkenal dengan Pantai Patong yang menjadi pusat segala aktiviti Phuket, kota ini juga diwarnai dengan ratusan tempat-tempat penginapan yang menarik. Di antara hotel yang paling popular di Patong adalah Holiday Inn Resort Phuket. Hotel yang berada di bawah payung jenama hotel IHG ini terletak 45 minit dari lapangan terbang antarabangsa Phuket dan antara 15 hingga 20 minit sahaja dari pantai Karon, Kata dan juga Surin. Sungguhpun begitu, ia menempati satu kawasan yang besar di seberang jalan di tepi pantai Patong sendiri. Ini terletak di tengah-tengah kawasan membeli-belah serta jalan-jalan hiburan yang lain.

Terbahagi kepada dua sayap iaitu sayap utama hotel dan juga sayap Busakorn, kesemua unit penginapan direka khas bagi menepati ciri-ciri pelancong masa kini. Di sayap utama terdapat pelbagai jenis bilik, termasuklah yang bertema khas seperti Familysuite serta Kidsuite yang diwujudkan bagi mereka yang berkeluarga dan mempunyai anak-anak. Malah buat kanak-kanak terdapat Kid’s Club bagi mereka yang berumur 5 tahun ke atas. Di sini ada kemudahan seperti aneka permainan dalam, pemain DVD dan juga karaoke. Tersedia juga kolam renang khas buat kanak-kanak. Selain daripada itu, kanak-kanak boleh juga makan secara percuma di restoran terpilih dan buffet makan malam tertentu.

Di sayap Busakorn pula terdapat beberapa unit khas yang sangat eksklusif dan terbahagi kepada dua kategori iaitu studio dan juga villa. Sayap Busakorn dikhaskan buat golongan dewasa sahaja dan kanak-kanak tidak dibenarkan menginap di kawasan ini. Terdapat sebuah kolam renang peribadi di sayap ini yang istimewa disediakan bagi mereka yang menginap di sayap Busakorn sahaja.

Hotel ini mempunyai beberapa buah kolam renang berasingan mengikut sayap masing-masing serta kolam renang khas bagi kanak-kanak. Selain kolam renang dan juga Jacuzzi, para tamu boleh juga memanjakan diri di Aspara Spa dan bersenama di pusat gimnasium. Para pengunjung juga boleh mencuba aktiviti-aktiviti lain yang tersedia di hotel ini seperti akuarobik, pakej lawatan bersiar-siar, pakej membeli-belah dan jalan-jalan, kelas mewarna batik dan payung serta tidak lupa juga demonstrasi kraftangan.

Soal menjamu selera pula terdapat banyak tempat makan di hotel ini. Di antaranya Sea Breeze Café & Terrace, Terrazzo Ristorante & bar, Sam’s steak House, The Bar dan juga Charm Thai Restaurant yang terkenal dengan aneka sajian antarabangsa serta hidangan khas Thai. Pendek kata, hotel ini mempunyai segala-galanya bagi mereka yang ingin bercuti dan bergembira bersama yang tersayang. Jadi pastikan ia menjadi salah satu hotel pilihan anda jika berwisata ke Phuket.

Holiday Inn Resort Phuket

Holiday Inn Resort Phuket

Holiday Inn Resort Phuket

Holiday Inn Resort Phuket

Holiday Inn Resort Phuket

Holiday Inn Resort Phuket

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

The Ultimate Pillow Choice For Your Ultimate Comfort

Drama Excellent Pictures Tangga Teratas Program Aidilfitri