Kalau sebelum ini kita pernah lihat Zamarul Hisham sebagai Ayah Abdul dalam drama “Langit Ke Tujuh”, seorang ketua ajaran sesat yang penuh kontroversi, kini beliau tampil dengan karakter yang jauh berbeza dan lebih mencabar sebagai DSP Adlin dalam filem aksi penuh debaran, Blood Brothers. Dalam filem terbaru ini, Zamarul membawa watak seorang pegawai polis yang tegas, berani, lantang dan tidak gentar walaupun perlu berdepan dengan gangster-gangster ganas daripada kumpulan Naga yang cukup berbahaya dan berpengaruh.
Zamarul Hisham: Dari Watak Kontroversi Ke Hero Berprinsip
Sebagai DSP Adlin, Zamarul memaparkan karakter seorang polis yang mempunyai prinsip yang teguh dan tidak mudah goyah walau diancam dengan pelbagai tekanan. Dia seorang yang suka berterus terang dan lebih gemar menghadapi setiap situasi dengan penuh keberanian, tanpa sedikit pun rasa takut. Ini jelas menunjukkan sisi seorang hero yang bukan sahaja kuat dari segi fizikal, tetapi juga mental dan emosinya sangat mantap.
Keberanian Dan Strategi DSP Adlin Dalam Memburu Gengster
Walaupun sedar untuk menumbangkan empayar kumpulan gangster besar seperti kumpulan Naga bukanlah tugas yang mudah, DSP Adlin tetap percaya bahawa kemenangan pasti berpihak kepadanya jika strategi yang dirancang tepat dan dilaksanakan dengan cemerlang. Keyakinan dan semangat juangnya tidak pernah luntur walau berdepan dengan ancaman maut sekalipun.
Menurut Zamarul Hisham sendiri, watak DSP Adlin adalah antara watak paling menarik dan mencabar yang pernah dimainkannya sepanjang bergelar pelakon. “Bagi saya, filem Blood Brothers ini adalah satu peluang yang sangat bermakna selepas lama berehat dari dunia filem. Peluang membawa watak DSP Adlin yang penuh cabaran ini merupakan satu penghargaan besar buat saya,” jelas Zamarul dengan penuh teruja.
Apa yang menarik tentang watak DSP Adlin, beliau digambarkan bukan sekadar berani berlawan secara fizikal tetapi juga cekap bermain psikologi musuh dengan kata-kata tajam yang sinis. “Satu perkara yang sangat saya suka tentang watak ini adalah bagaimana DSP Adlin sering mempersendakan gangster dengan kata-kata yang tajam. Ini bukan watak polis tipikal yang serius sepanjang masa, tetapi lebih santai dan sinikal, menjadikan wataknya lebih unik dan menyerlah,” tambah Zamarul lagi.
Cabaran Besar Syazwan Zulkifly Sebagai Jaki
Berbeza dengan watak Zamarul yang sarat aksi, Syazwan Zulkifly yang membawakan watak Jaki pula mempunyai cabaran tersendiri dalam menjayakan wataknya. Menurut Syazwan, watak Jaki lebih menuntutnya dari aspek emosi dan psikologi. “Kalau dibandingkan dengan pelakon lain seperti Syafiq, Sharnaaz, dan Syukri, saya rasa cabaran watak saya lebih rendah dari segi fizikal tetapi tinggi dari segi emosi dan psikologi. Cabaran utama saya ialah memastikan watak Jaki ini benar-benar hidup dan meyakinkan penonton,” kata Syazwan.
Watak Jaki, menurut Syazwan, bukan sekadar watak sampingan biasa tetapi mempunyai lapisan emosi yang kompleks. Ini memerlukan beliau untuk mendalami psikologi watak, memahami tindakan serta cara pemikiran Jaki supaya watak ini terasa lebih realistik dan boleh memberi impak mendalam kepada penonton.
Blood Brothers: Lebih Dari Sekadar Aksi Gengster
Pengarah Andy Teh pula menyatakan bahawa walaupun filem ini berkonsepkan gangsterisme, mesej utamanya adalah tentang hubungan kekeluargaan yang erat, baik dari segi darah daging atau persahabatan yang mendalam. “Walaupun mereka bukan adik-beradik kandung, tetapi hubungan mereka lebih kuat daripada keluarga sebenar, saling melindungi, setia dan sanggup berkorban apa sahaja,” jelas Andy.
Filem ini juga mengetengahkan elemen kesetiaan dan kebersamaan yang sangat tinggi. Kata-kata seperti, “Kita keluar berperang bersama, jika perlu kita mati bersama,” menunjukkan betapa pentingnya ikatan persaudaraan di antara mereka yang terbentuk bukan hanya melalui hubungan darah tetapi melalui pengalaman, pengorbanan, dan cabaran hidup yang mereka hadapi bersama.
Menurut Andy lagi, inilah keunikan filem Blood Brothers yang ingin disampaikan kepada penonton, bahawa kekeluargaan tidak hanya berdasarkan hubungan darah tetapi berdasarkan kesetiaan dan kepercayaan yang tidak mudah digugat.
Apa Kata Budiey?
Bagi Budiey, filem Blood Brothers ini bukan sahaja membawa elemen aksi dan gangsterisme tetapi sarat dengan mesej mendalam tentang nilai persaudaraan, keluarga, dan pengorbanan. Transformasi pelakon seperti Zamarul Hisham membuktikan kemampuan luar biasanya dalam menjiwai watak yang pelbagai, sementara Syazwan pula membuktikan bahawa aspek psikologi dan emosi juga mampu menjadikan watak itu kuat di mata penonton.
Budiey cadangkan anda jangan terlepas menonton filem ini kerana ia pasti memberikan pengalaman tontonan yang bukan sekadar hiburan aksi, tetapi juga pengajaran hidup yang sangat berharga.