TOYOTA UMUMKAN ARAH TUJU BARU JENAMA ITU SERTA AKTIVITI-AKTIVITI MENARIK YANG BAKAL DIANJURKAN
UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) hari ini mengumumkan arah tuju baru bagi jenama Toyota di Malaysia. Arah tuju baru ini diambil sebagai maklum balas kepada perubahan suasana dan persekitaran perniagaan serta jangkaan pelanggan yang semakin tinggi.
“Kami faham keperluan dan jangkaan pelanggan kini semakin berkembang, manakala kecenderungan pembelian di kalangan pelanggan juga telah berubah. Kami bersedia untuk memberi maklum balas yang sepatutnya terhadap semua perkara berkenaan,” jelas Presiden UMWT, En. Ravindran K.
Beliau turut menambah, arah tuju baru jenama Toyota itu akan memastikan Toyota terus maju ke hadapan sambil mengikuti perkembangan semasa dalam landskap industri serta permintaan serta keaadaan pasaran ketika ini.
Sehubungan dengan pengumuman ini juga, UMWT turut memberi suntikan pemikiran serta semangat baru yang lebih segar terhadap platform penjenamaan “All About the Drive”.
“All About the Drive” kini diterajui oleh dua janji jenama Toyota bagi pelanggannya, iaitu untuk “menjadikan pemanduan harian lebih menyeronokkan” serta menjadikannya “lebih dikenali” terhadap barisan produk, servis dan jalinan rangkaiannya.
“Kami akan menyediakan nilai tambah yang lebih tinggi serta barisan produk yang lebih maju dengan ciri-ciri keselamatan dan perhubungan yang terkini. Kami juga akan pastikan pengalaman pemilikan kenderaan Toyota bagi setiap pelanggan berada pada tahap yang lebih tinggi, tanpa mereka perlu risau terhadap apa pun, melalui kualiti perkhidmatan yang dipertingkatkan serta jalinan rangkaian Toyota,” tambah beliau.
Syarikat tersebut juga komited untuk menyampaikan mesej-mesej serta kreativiti serba baru melalui saluran komunikasi digital bagi mendekati golongan muda dengan lebih berkesan. Ia juga menjanjikan pelbagai aktiviti luar yang lebih menarik untuk mereka alami sendiri.
UMWT juga berkongsi sebahagian daripada aktiviti yang dinaungi oleh platform “All About the Drive”, dimana musim kedua perlumbaan Vios Challenge akan diteruskan lagi bermula pada bulan Ogos 2018.
Selain daripada kategori Sporting bagi pelumba semi-profesional dan kategori Super Sporting bagi pelumba profesional, kategori Promotional yang melibatkan pelumba selebriti juga akan diteruskan. Janna Nick, Diana Danielle, Shawn Lee dan Syukri Yahaya yang telah berlumba ketika musim pertama akan ikut serta sekali lagi.
Bakal memberi saingan kepada mereka ialah barisan enam selebriti baru yang akan terlibat di dalam musim kedua ini nanti. Mereka ialah Aiman Tino, Khai Bahar, Nabila Razali, Wany Hasrita, Akim Ahmad dan Nabil Ahmad. Seperti juga kumpulan selebriti pertama sebelum ini, semua mereka akan diberikan latihan menerusi Akedemi Vios untuk mempersiapkan diri bagi perlumbaan yang bakal berlangsung.
Vios Challenge turut mengekalkan barisan penaja utama yang terlibat dari musim pertama. Ini termasuk Toyo Tyres, Denso, TRD Asia, Enkei, Moty’s, minuman tenaga Drive M7 dan Toyota Capital Services.
Sementara Vios Challenge menjadi tumpuan utama pada hujung minggu ketika berlangsungnya TGR Racing Festival, ada banyak lagi aktiviti untuk seisi keluarga bakal disediakan.
Sebagai lanjutan kepada TGR, UMWT juga akan terlibat di dalam aktiviti sukan elektronik (e-Sport) yang mempunyai lebih daripada 14 juta pemain di Malaysia ketika ini.
Sebagai penutup, En. Ravindran menambah; “Ini merupakan masa yang sangat mengujakan bagi kami. Untuk itu, kami ingin menjemput seluruh masyarakat supaya ikut serta di dalam perjalanan baru jenama ini untuk menjadi lebih menyeronokkan dan relevan kepada semua.”
Tentang Toyoya Gazoo Racing Malaysia dan perlumbaan Vios Challenge
Perlumbaan “One-Make Race” Vios Challenge adalah selari dengan perlumbaan dalam format sama yang dianjurkan di Thailand dan Filipina. Seperti sebelumnya, akan ada empat pusingan diadakan, dan menjadi sebahagian daripada Toyota GAZOO Racing (TGR) Racing Festival yang turut merangkumi pelbagai aktiviti lain berkaitan jenama Toyota.
Semua perlumbaan itu akan diadakan di lokasi berbeza, dan untuk pertama kali ia akan berlangsung di Pantai Timur, bertempat di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada 2-4 Ogos. Ini diikuti pula oleh perlumbaan di MAEPS Serdang pada 19-21 Oktober; Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 22-24 Februari 2019 dan Litar Antarabangsa Sepang pada 12-14 April 2019.
Format siri perlumbaan ini, yang menerima kelulusan dari badan sukan permotoran antarabangsa FIA, akan dikekalkan seperti sebelumnya. Semua pelumba akan menggunakan jentara Toyota Vios yang sama dan identikal yang telah disediakan mengikut peraturan yang sama. Ini sekaligus memastikan persaingan yang berlangsung terletak sepenuhnya kepada kemahiran memandu pelumba memandangkan semua kereta yang digunakan datang dengan tahap prestasi yang sama. Pemeriksaan sebelum dan selepas perlumbaan akan dilakukan bagi memastikan tiada modifikasi dilakukan terhadap prestasi jentera.
Perlumbaan ini akan melibatkan tiga kategori atau kelas perlumbaan. Dua kategori adalah bagi pelumba dengan kemahiran yang berlainan — kategori Sporting untuk pelumba semi-profesional manakala kategori Super Sporting pula bagi pelumba profesional. Ini bertujuan untuk memberikan saingan yang lebih adil kepada pemandu baru, dan menyediakan peluang untuk mereka menunjukkan prestasi terbaik dalam kategori masing-masing. Kategori Promotional pula adalah untuk pelumba-pelumba selebriti membuktikan kemampuan dan kemahiran mereka.
Kemaskini perlumbaan musim kedua Vios Challenge boleh diikuti di laman web Toyota GAZOO Racing (http://toyotagazooracingmalaysia.com.my) atau di laman-laman media sosial rasmi di:
Facebook (https://www.facebook.com/tgrmy),
Instagram (https://www.instagram.com/toyotagazooracingmalaysia)
YouTube (https://www.youtube.com/c/TOYOTAGAZOORacingMalaysia).