Tourism Malaysia pada Selasa (30 Mei 2023) melancarkan kempen PAKEJ DURIAN TOURISM 2023 selama sebulan sehingga 31 Ogos ini bagi memeriahkan serta mempromosikan musim durian yang sedang rancak berlaku di seluruh negara.
Pakej Durian Tourism 2023 yang dibangunkan bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menyediakan 18 pakej menerusi 13 agen pelancongan berdaftar di bawah Tourism Malaysia.
Durian Tourism 2023 kali ini menawarkan pelancong dalam dan luar negara dengan pilihan 18 pakej menarik bermula RM50 seorang untuk bufet durian serta pakej 3 hari 2 malam daripada RM1,740 seorang dengan tempahan minimum 15 orang.
Menerusi pakej tersebut pelancong berpeluang merasai sendiri pengalaman mengutip buah durian di ladang, makan buah durian segar serta buah-buahan tempatan lainnya — selain menikmati pelbagai minuman berasaskan halia, membuat tempoyak dan merasai pengalaman tinggal di kampung.
Kesemua pakej yang ditawarkan dalam Durian Tourism 2023 melibatkan enam buah negeri iaitu Johor, Pahang, Perak, Selangor, Kedah dan Perlis.
Menariknya dalam edisi kali ini — Tourism Malaysia mengambil inisiatif untuk memasarkan pakej Durian Tourism 2023 di luar negara seperti China, Hong Kong, Taiwan, Singapura dan Brunei.
Jika anda ingin mengetahui maklumat lebih lanjut berkenaan pakej-pakej yang ditawarkan dalam Durian Tourism 2023 — anda boleh mengimbas kod QR yang disediakan ataupun layari saja laman web Tourism Malaysia di www.malaysia.travel