Pemain bass kumpulan terkenal tanah air, Spider, Tony Iskandar menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 2.30 pagi. Menurut laporan yang disiarkan, Allahyarham meninggal dunia ketika sedang berehat di studio rakaman Luncai Emas milik seniman Datuk M. Nasir di Sungai Buloh. Beliau dikatakan berada di studio itu untuk menyiapkan rakaman album kumpulan Jinbara.
Berita duka pemergian Tony turut dikongsi oleh pemain gitar kumpulan Exists, Along di akaun Instagram sekitar pukul 3 pagi.
“Pergi lagi seorang sahabat aku. Al fatihah buatmu Tony. Semoga Allah Swt tempatkan mu dikalangan orang beriman. Amin,”
– Along Exists
Allayharham Tony, Spider yang merupakan antara band popular dalam negara yang mendapat didikan dan asuhan sifu M Nasir turut dianggotai oleh Tam (vokalis), Nafie (pemain gitar), Aie (pemain gitar) dan Is (pemain bass).
Salah seorang sahabat baiknya yang juga seorang wartawan terkenal, Syahril Kadir turut menyampaikan berita duka tersebut melalui hantaran di Facebook miliknya.
“Tony Spider dah tak ada. Sebentar tadi aku macam tak percaya bila dapat tahu dia dah meninggal dunia. Aku cuba call handphonenya. Dijawab seseorang.
“Jenazah Tony kata lelaki itu sedang diuruskan untuk dibawa ke forensik Hospital Sungai Buloh.
“Allah…semoga rohmu dicucuri rahmat. Tenanglah kau di sana sahabatku,”
– Syahril Kadir
Untuk rekod, Tony merupakan anggota asal kumpulan Spider bersama Tam (vokalis), Nafie (pemain gitar). Allahyarham kemudian meninggalkan kumpulan yang pernah memenangi Juara Lagu menerusi Relaku Pujuk itu dan posisinya sebagai pemain bass digantikan oleh Is.
Spider kini dianggotai oleh Tam, Nafie, Aie (pemain gitar) dan Is (pemain bass). Namun demikian hubungan Tony dan anggota kumpulan yang ‘dibesarkan’ oleh M. Nasir ini tetap akrab. Antara lagu popular kumpulan Spider ialah Relaku Pujuk, Kasih Latifah, Laukku Cukup Masin dan Nazraku.