Anda kenal dengan Tony Eusoff? Mungkin ada yang mengenali figura yang satu ini hanya pada nama atau pun sekadar pernah menonton drama lakonannya di kaca TV.
Telah pun mula bersiaran 6 Februari lalu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) membuka peluang kepada anda semua berkenalan lebih rapat lagi dengan pelakon kelahiran negeri Sarawak ini menerusi program terbaharu bertajuk “1/2 Jam Tony Eusoff”, setiap Jumaat, pukul 10.30 malam di TVi.
Berusia 38 tahun, pemilik nama sebenar Anthony Joseph anak Hermas Rajiman ini yang lebih dikenali sebagai Tony Eusoff ini terkenal kerana penglibatannya dalam bidang lakonan dan membintangi drama TV, teater dan filem tempatan, dan juga berpengalaman sebagai seorang penyanyi, peragawan dan pengacara.
Program terbitan syarikat Aquila Emas Sdn Bhd ini membuka berpeluang kepada penonton untuk mengenali dengan lebih dekat kehidupan peribadi, teman-teman dan keluarganya yang berada di Sarawak. Pastinya ia momen yang mengujakan untuk dikongsikan bersama semua peminat.
Program ini bukan sahaja berlegar sekitar hal peribadi, program ini berkongsi memaparkan hal berkaitan dunia hiburan, kerjaya, isu semasa dan perihal lelaki.
Ia berkonsepkan temubual secara santai bersama selebriti undangan terdiri daripada latar belakang dan kerjaya berbeza.
Dalam program ini Tony juga berkongsi mengenai pelbagai aktiviti atau hobi kegemaran pada masa lapang pada setiap episod yang disiarkan.
Kepelbagaian ini menjadikan rancangan 1/2 Jam Tony Eusoff lebih berifat semula jadi, realistik dan menghiburkan. Ia disampaikan dengan pendekatan yang santai dan ringan serta sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat.
Istimewanya ia turut menampilkan suatu kelainan dan memfokuskan kepada objek dalam lingkaran kaum Adam.
Antara paparan menarik yang terkandung dalam program ini seperti para penonton berpeluang melihat Tony mencacah tattoo dibahunya secara tradisional. Sememangnya tradisi itu popular dalam kalangan suku kaum di Sarawak.