Portal Tonton, portal video tempatan No.1 di Malaysia berjaya menguasai pencalonan di Anugerah Televisyen Asia 2014 (ATA 2014) untuk kategori Program / Siri Fiksyen Digital & Bukan-Fiksyen Terbaik. Kategori yang pertama kali diperkenalkan mulai tahun ini, mengiktiraf perkembangan trend penghasilan original untuk kandungan digital.
Tonton berjaya menggondol empat daripada enam pencalonan dalam kategori ini menerusi siri drama web “Autumn Di Hatiku”, “Autumn Di Hatiku 2”, “Dan Calonnya Adalah…” dan persembahan komedi web, “Stand Up”.
Tonton ungguli pencalonan kategori Kandungan Digital di ATA 2014!
“Kami begitu gembira mengetahui kebanyakan Siri Original Tonton telah disenarai-pendek sebagai finalis di ATA tahun ini. Kejayaan ini sangat bermakna buat kami yang telah berusaha keras memacu penghasilan kandungan digital untuk tontonan umum selain kualiti produksi yang terbaik. Dan mengetahui wujudnya keperluan untuk penonton di dunia global menikmati bukan sahaja kandungan TV, kami akan terus menawarkan lebih banyak kandungan digital di tahun 2015 kelak,†menurut Shahida Azad Jamaluddin, Ketua Penjenamaan Tonton & Platform Digital TV, Media Prima Digital.
Mencatatkan lebih 4 juta pengguna berdaftar sehingga kini, Tonton turut menyambut ulang tahunnya ke-4 pada tahun ini. Pengguna di seluruh dunia boleh menonton kesemua siri web yang tercalon termasuk siri web baharu “Hanya Satu” di www.tonton.com.my.
Lebih 239 pencalonan, menerusi 38 kategori dan melangkaui 13 buah negara kini bersaing untuk merebut kemenangan di ATA edisi ke-19, anugerah industri paling berprestij di rantau Asia. Pemenang bakal diumumkan pada Malam Anugerah Gala bertempat di Marina Bay Sands, Singapura pada 11 Disember 2014.