in

Tonton Bijak Wang di TV3 Kendalian Nurin Mastura

RANCANG PERBELANJAAN DENGAN MENONTON
BIJAK WANG DI TV3!

Kemahiran mengurus kewangan peribadi harus ada pada setiap pengguna. Pengguna yang bijak dan peka terhadap perbelanjaan seharian akan mendapat manafaatnya, apatah lagi semasa kegawatan ekonomi yang sedang kita alami sekarang.

Menyedari hakikat ini dan atas dasar tanggungjawab kepada penonton, TV3 mengorak langkah dengan menerbitkan program bual bicara, Bijak Wang yang membincangkan topik-topik berkaitan pengurusan kewangan peribadi. Ia sebagai platform untuk mendidik pengguna dan menambah ilmu pengetahuan mereka mengenai kewangan selain meningkatkan kesedaran kuasa pengguna.

Nurin Mastura

Bijak Wang yang mendapat tajaan dari Maybank Berhad mula menemui penonton pada 23 Mei 2009, setiap Sabtu jam 7.00 malam. Program yang disiarkan secara langsung dari Studio B, Sri Pentas Bandar Utama diterbitkan oleh Primeworks Studios.

Program berinformatif ini dikendalikan oleh Nurin Mastura bersama personaliti yang berpengalaman di dalam bidang kewangan iaitu Azizi Ali, penulis buku ‘Millionaires are from a Different Planet’ yang juga merupakan seorang Perunding Kewangan bertauliah.

Antara topik-topik yang dibincangkan semasa siaran langsung Bijak Wang ke udarakan ialah mengenai wang simpanan, faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum membeli rumah/kereta/hartanah, menguruskan perbelanjaan bulanan, pengurusan hutang dan pelaburan. Para penonton juga berkesempatan mendapatkan informasi dengan membuat panggilan ke studio

ketika siaran langsung disiarkan untuk mendapatkan tips dan nasihat pengurusan kewangan. Tetamu undangan bertauliah turut dijemput ke studio berdasarkan topik-topik perbincangan yang diutarakan setiap minggu.

Menurut penerbit Bijak Wang, Norlizah Yusoff, “Idea untuk menerbitkan program bual bicara berbentuk kewangan ini tercetus selaras dengan keadaan ekonomi negara yang tidak memberangsangkan. Bijak Wang memberi tips dan informasi berguna kepada pengguna terutama mereka yang tidak mempunyai masa lapang untuk mendapatkan khidmat ini di bank-bank. Melalui Bijak Wang ia dapat menjawab pertanyaan pengguna menerusi panggilan telefon siaran langsung ke studio selain daripada penerangan yang diberikan oleh pengacara dan tetamu jemputan mengenai pelbagai topik yang dibicarakan setiap minggu. Penggunaan Bahasa Melayu sebagai pengantara memudahkan lagi pengguna untuk mendapatkan pemahaman terutama sekali kepada penduduk luar bandar.”

Sidang produksi yang menjayakan Bijak Wang ialah Mazlin Nordin selaku Penerbit Eksekutif,  Norlizah Yusoff, Penerbit, Nuraffenda Mohd Ibrahim, Penolong Penerbit/Wartawan dan Azli Aziz, Pembantu Penerbitan.

Mengenai Pengacara Bijak Wang
Nurin Mastura memulakan kariernya dengan TV3 sejak Disember 1999 sebagai Wartawan Penyiaran dan Pembaca Berita Bahasa Malaysia (menerusi Buletin Utama) dan Bahasa Inggeris (dalam Nightline). Sebagai wartawan, beliau pernah mengendalikan liputan siaran lansung dari APEC 2000, Brunei Darussalam di samping dikenali sebagai wartawan isu ketenteraan dan pertahanan. Pada tahun 2001, Nurin diberi peluang mengacara Malaysia Hari Ini, rancangan bual bicara pagi yang membincangkan pelbagai topik meliputi isu politik, sosial dan kebudayaan.

Nurin berjaya memperoleh Ijazah Sarjana (Strategi dan Diplomasi) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2004 dan kembali ke TV3 pada Julai 2008 sebagai penyelidik dan penulis skrip dokumentari TV3 tajaan MTDC bertajuk ‘Winners’. Nurin juga adalah satu-satunya pengacara wanita yang diberi kepercayaan mempengerusikan rancangan ‘Hujah’ pada Febuari 2009, sebuah forum terkemuka temubual politik tanahair di TV9. Selaras dengan cita-cita beliau untuk terus menimba ilmu dalam industri media, Nurin kini bertugas sebagai Penganalisa Penyelidikan dengan Research TV Network, Jabatan Penyelidikan Media Prima yang memantau prestasi kesemua program dan stesyen milik Media Prima di samping mengacarakan ‘Bijak Wang’.

Azizi Ali adalah perunding kewangan terkenal menerusi bukunya “Jutawan Dari Planet Jupiter!”, “Pesara Jutawan” dan “Pelita Jutawan”. Beliau sering mengendalikan bengkel pengurusan kewangan di pelbagai institusi terkemuka seperti Securities Commission, Petronas, EPF, PNB Investment Institute, Prudential Assurance, Public Mutual, Takaful Nasional, Malaysia Airlines, HLA Assurance, Am Assurance, LIAM, MIEA, FIABCI, ISM, UTM, UIA dan di beberapa negara di rantau Asia seperti Brunei, Singapura dan Thailand. Hasil penulisan beliau juga dipaparkan di akhbar-akhbar tempatan seperti New Straits Times dan The Star. Azizi juga menjadi kolumnis bulanan untuk Malaysian Business, dan artikel beliau seringkali dipetik dalam majalah Personal Money dan Smart Investor. Azizi mempunyai kelayakan Chartered Financial Consultant (ChFC) dan mempunyai Sarjana MBA dari University of Bath, United Kingdom.

nurin mastura

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

ADV: Sinopsis Drama Sensasi Mingguan Lelaki Episod 10

Gambar Majlis Resepsi Adlin Aman Ramli dan Emelda Rosmila