Samsung dan Alt Media Bakal Melancarkan Aplikasi Streaming Hiburan Premier
Di Malaysia Menerusi Platform SMART TV
Samsung SMART TV tawarkan kepelbagaian kandungan hebat melalui aplikasi TV Tonton
Syarikat global ulung dalam dunia media digital serta gabungan teknologi digital, Samsung Malaysia Electronics mengorak langkah maju melalui kerjasama bersama Alt Media Sdn Bhd dalam usaha meluaskan kepelbagaian tawaran kandungan untuk Samsung SMART TV. Alt Media merupakan anak syarikat milik penuh Media Prima Berhad, konglomerat media terulung di Malaysia, yang memiliki dan bertanggungjawab ke atas operasi harian portal video nombor 1 di Malaysia, Tonton.
Usahasama ini termeterai melalui upacara khas menandatangani Memorandum Persefahahaman (MoU) yang diadakan awal hari ini di Sri Pentas, Bandar Utama. Usahasama ini bakal menyaksikan pembangunan aplikasi streaming hiburan yang pertama seumpamanya di Malaysia melalui platform SMART TV; Tonton menyediakan perkhidmatan TV catch-up untuk kandungan pelbagai saluran TV, portal online serta stesen radio milik Media Prima Berhad. Antaranya termasuklah TV3, ntv7, 8TV, TV9, Gua TV, Fly TV, Hot TV, One TV serta pelbagai lagi.
Aplikasi inovatif yang kini dalam fasa pembangunan, bakal membenarkan pelanggan menikmati pilihan kandungan tempatan dan antarabangsa yang direka khas bagi memenuhi citarasa kepelbagaian kumpulan pengguna – semuanya menerusi Samsung SMART TV. Pengguna bukan sahaja dapat menonton catch-up program televisyen kegemaran pada bila-bila masa yang disukai – malah dalam keadaan selesa di kediaman persendirian dengan Samsung SMART TV.
“Melalui Samsung SMART TV ini, kami mahu memberikan yang terbaik selain daripada teknologi inovatif dan kemasan penampilan terkini dengan seleksi kandungan terhebat untuk para pelanggan. Matlamat kami adalah untuk menyatupadukan kegembiraan ahli keluarga dan rakan-rakan, dan dengan sebab itu kami berbangga mengumumkan usahasama ini bersama Alt Media dalam membangunkan aplikasi TV Tonton. Pelanggan bukan sahaja ditawarkan pilihan filem terhebat serta program TV yang lebih meluas, malah bakal menyaksikan kualiti imej yang lebih jelas untuk dikongsi bersama yang tersayang,” menurut Kwon Jae Hoon, Pengarah Urusan, Samsung Malaysia Electronics.
Aplikasi TV Tonton yang bakal dinikmati oleh pengguna Samsung SMART TV mulai Disember 2012, akan membolehkan capaian meluas untuk kesemua kandungan filem dan program TV di Tonton, antaranya termasuklah Buletin Utama, Wanita Hari Ini, Bella, Ho Chak dan Muzik Muzik melalui sentuhan hujung jari, tanpa perlu melalui pendaftaran masuk menggunakan perkakasan komputer yang berasingan. Malah, pengguna SMART TV kini tidak perlu bimbang lagi jika terlepas menonton sebarang program kegemaran dengan adanya aplikasi Tonton TV, kesemua program akan dimuat-naik ke sistem Tonton dalam jangkamasa 2 jam selepas siaran asal di saluran TV yang berkenaan.
“Usahasama strategik bersama dengan Samsung ini dilihat bakal menawarkan koleksi kandungan tempatan serta antarabangsa yang lebih meluas kepada pelanggan, dengan majoritinya merupakan kandungan terbesar milik Media Prima. Pelanggan Samsung SMART TV boleh menjangkakan capaian langsung dan segera untuk kandungan popular serta terkini. Selain itu, aplikasi inovatif ini turut memberi pilihan alternatif buat pengguna semasa Tonton untuk menikmati rancangan kegemaran mereka di platform selain komputer, tablet dan telefon pintar. Kami sentiasa meneroka peluang baru untuk memperbaiki pengalaman menonton dan kini, kami berbangga dapat memenuhi impian pengalaman menonton secara santai di ruang tamu melalui usahasama hebat bersama Samsung SMART TV,” ujar Lam Swee Kim, Pengurus Besar Kumpulan, Media Baru dan Pemasaran Bersepadu, Media Prima Berhad.
Untuk maklumat lanjut mengenai Samsung SMART TV dan aplikasi-aplikasi Samsung TV, layari www.samsung.com.my atau laman social Facebook Samsung Malaysia di https://www.facebook.com/samsungmalaysia
Untuk mengetahui keseluruhan rancangan yang ditawarkan Tonton, layari www.tonton.com.my.
Tentang Samsung Electronics Co., Ltd.
Samsung Electronics Co., Ltd. merupakan syarikat ulung global dalam bidang semikonduktor, telekomunikasi, media digital dan teknologi gabungan digital dengan jumlah jualan tahunan sebanyak US$143.1 juta pada tahun 2011. Dengan tenaga kerja sebanyak 206,000 orang di 197 pejabat merentasi 72 negara, syarikat ini beroperasi menerusi dua organisasi berbeza dan bertanggungjawab ke atas sembilan unit perniagaan: Komunikasi & Media Digital, termasuk Pameran Visual, Komunikasi Mobile, Sistem Telekomunikasi, Peralatan Digital, Solusi IT, dan Pengimejan Digital; serta Solusi Perkakasan, termasuk Memori, Sistem LSI dan LED. Mendapat pengiktirafan global di atas pencapaian ulung merentasi ekonomi, persekitaran dan kriteria sosial, Samsung Electronics telah dinobatkan sebagai syarikat teknologi paling mampan peringkat dunia dalam Indeks Kemampanan Dow Jones 2011. Untuk maklumat lanjut, layari www.samsung.com.
Tentang Alt Media
Diasaskan tahun 2007, Alt Media merupakan sebuah syarikat digital dan media baru yang ditubuhkan untuk menerajui pembangunan jenama Media Prima dalam arena ini. Bidang kemahiran Alt Media meliputi strategi landasan, penciptaan dan rekaan kandungan, serta pembangunan teknikal. Kemahiran-kemahiran ini terserlah dalam pembangunan dan pengurusan operasi dunia maya Media Prima khasnya, buat rangkaian TV dan radio yang sedia ada seperti TV3, NTV7, 8TV, TV9, Fly fm, Hot fm dan One fm. Alt Media juga bertanggungjawab ke atas penghasilan portal hiburan dan gaya hidup terunggul di Malaysia iaitu GUA.com.my serta portal muzik tersohor negara GUAMUZIK.com.my. Pada bulan Ogos 2010, Alt Media telah melancarkan Tonton, sebuah portal video pintar dan canggih dengan pemain video yang siap untuk paparan definisi tinggi (HD). Tonton juga membenarkan para pengguna untuk menyesuaikan sesi tontonan, memperibadikan senarai pilihan (playlists), menyusun kandungan video mengikut citarasa dan menampilkan pengalaman “TV Sosial” yang lengkap. Dalam usaha memberikan pengalaman yang menarik kepada para pengguna, Alt Media juga merancang untuk memperkenalkan lebih banyak kejutan baru di masa hadapan terdekat. Alt Media adalah anak syarikat yang dimiliki penuh oleh Media Prima Berhad, syarikat media integrasi terbesar Malaysia.