Ia sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang tidak membenarkan orang ramai menyaksikan perlawanan di dalam stadium.
Kewujudan kira-kira lima skrin gergasi iaitu tiga skrin layar lebar serta dua skrin lori yang bersaiz 12×22 meter, 11×40 meter, 19×28 meter dan 12×16 meter di dua zon parkir dengan audio yang memukau menjadikan penyokong yang hadir seolah-olah berada di dalam stadium.
Hampir 300 kenderaan memenuhi tapak parkir di kawasan stadium ini sejak jam 7.30 malam lagi bagi menyaksikan perlawanan itu.
Setiap penyokong yang memasuki ke dalam kawasan parkir stadium juga perlu menjalani imbasan suhu dan mengimbas kod bar aplikasi MySejahtera.
Petugas dan anggota keselamatan bertugas turut dilihat sentiasa mengingatkan penyokong untuk sentiasa berada dalam kenderaan masing-masing sekali gus mematuhi SOP ditetapkan.
Seorang penyokong, Mohd Syafiq Saadon, 30, berkata dia hadir bersama enam rakannya dari Pasir Gudang semata-mata bagi merasai suasana menonton perlawanan pasukan kesayangan dalam suasana norma baharu.
“Alhamdulillah selepas hampir setahun tidak dapat hadir ke stadium menyaksikan perlawanan menerusi pawagam pandu masuk ini mengujakan kami.
“Sebelum ini, kami peminat setia JDT hanya dapat menyaksikan perlawanan pasukan menerusi siaran langsung di Internet sahaja,” katanya.
*Sumber: BH Online