Tomok atau nama sebenar, Shah Indrawan Ismail, 39, berkata, selepas kejadian malang itu, dia dikurnia rezeki berlipat ganda apabila dihujani tawaran mengadakan persembahan.
“Saya hendak beritahu selepas kejadian itu, ramai telefon hendak undang saya buat ‘show’. Terima kasih kerana saya dapat rezeki tidak disangka-sangka.
“Persembahan itu di Singapura, Kedah dan beberapa lokasi lain. Bayaran diterima lebih daripada jumlah kerugian dialami.
“Tawaran diterima berterusan hingga selepas Aidilfitri. Terima kasih atas doa yang diberi,” katanya pada sidang media dan tayangan perdana program Hari Raya Astro 2023 di ibu negara, baru-baru ini.
Pada kejadian 2 April lalu, penyanyi lagu Berlari ini terpaksa membayar ganti rugi sebanyak RM5,593 kepada butik pakaian berjenama di sebuah pusat beli-belah terkemuka, di sini, apabila anaknya secara tidak sengaja menumpahkan pengilat kuku pada empat helai baju dan empat seluar di butik berkenaan.
Susulan itu, Tomok menerusi perkongsian video di Instagram (IG) berhasrat untuk menjual empat helai seluar terbabit dan dua helai baju yang terkena percikan pengilat kuku pada harga murah.
Usaha Tomok itu membuahkan hasil apabila seluar dan baju itu habis terjual. Antara pembelinya adalah pelawak dan penyampai radio, Shuib dan usahawan, Anas Zahrin.
Tomok berkata, insiden menimpa dirinya itu diharap dapat dijadikan iktibar buat semua ibu bapa supaya lebih berhati-hati.
“Perkara ini menjadi pengajaran buat saya dan mereka di luar sana. Selepas ini, apabila kita bawa anak-anak berjalan, kita kena hati-hati.
“Cuma saya tidak sangka, ramai prihatin dengan apa yang berlaku dan mendoakan semoga urusan saya dipermudahkan,” katanya.