Menurut data pencapaian filem Malaysia peringkat antarabangsa Tahun 2018 yang dikeluarkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), filem yang diterbitkan oleh Astro Shaw akan bersaing bersama lapan filem hebat lain dari seluruh Asia iaitu 1987 When The Day Comes (Korea Selatan), The Bold, The Corrupt and The Beautiful (Taiwan), Dying to Survive (China), Gali Guleiyan (India), Newton (India), Sanju (India), Shoplifters (Jepun) dan Youth (China).
TOMBIRUO: PENUNGGU RIMBA Tersenarai Finalis Filem Asia Terbaik. Tahniah!
Pemenang anugerah itu akan diumumkan pada majlis kemuncak pada 5 Dis depan di Sydney.
Terdahulu, filem yang dibintangi Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Hasnul Rahmat, Datuk M. Nasir, Datin Marlia Musa, Faizal Hussein, terpilih sebagai “Official Selection” di bawah kategori ‘World Fantastic Blue’ bersama-sama 36 filem lain dari seluruh dunia pada 22nd Bucheon International Fantastic Film Festival (BiFan) yang berlangsung dari 12 hingga 22 Julai lalu di Bucheon, Korea Selatan.
Selain itu, data tersebut turut berkongsi kejayaan filem berunsur super-natural, “Interchange” yang mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila meraih anugerah Kesan Khas Visual pada Festival Filem Asia Pasifik ke-58 (APFF58) di Taipei, Taiwan, pada September lalu.
Filem arahan Dain Said itu turut dicalonkan dalam kategori Penataan Bunyi Terbaik dalam festival yang sama.
APFF58 turut menyaksikan penampilan tiga filem tempatan lain iaitu Adiwiraku, Hanyut dan Abang Long Fadil 2 bersaing, namun gagal meraih anugerah.
Turut disenarai ialah filem Óne Two Jaga’ arahan Nam Ron terbitan Pixel Play Entertainment dan Jazzy Pictures yang menjadi filem pembukaan dan menjadi tumpuan penonton serta delegasi antarabangsa di festival filem berprestij, 20th Udine Far East Film Festival (FEFF), Itali yang berlangsung pada 20 April lalu.
Filem “Redha” yang mengangkat tema kanak-kanak autisme yang pernah mencipta kejayaan sebelum ini sekali lagi meraih anugerah “Cultural Exchange Prize for a Feature Film” pada 6th Seoul Guro International Kids Film Festival, Korea Selatan (Gukiff) Mei lalu.
‘Redha’ sebelum ini merangkul beberapa anugerah pada Festival Filem Malaysia ke-29 dan meraih tiga anugerah pada Festival Filem Islam Antarabangsa Kazan yang berlangsung di Kazan, Rusia, pada 2016.
Turut disenarai dalam data tersebut ialah filem kontroversi yang tertangguh tayangannya selama 12 tahun iaitu “Dukun” yang bersaing bagi kategori Anugerah Penonton pada Festival Filem New York ke-17 pada Julai lepas.
Tahniah Malaysia!
Sementara itu, filem cereka yang belum ditayangkan berjudul ‘Guang’ memenangi dua anugerah pada 13th Chinese Youth Generation Film Forum in Wuhan, China, pada 16 Sept lalu.
Filem tersebut menggondol anugerah ‘Best New Director’ melalui Quek Shio Chuan dan anugerah ‘Best New Actor’ melalui lakonan, Kyo Chen.
Filem mengenai remaja autisme itu turut dipilih untuk bertanding pada anugerah Festival Filem Antarabangsa Fukuoka 2018 dan akan ditayangkan di pawagam negara pada 29 Nov depan.
Sebuah filem kantonis tempatan, A House of Happiness pula meraih anugerah Best Cantonese Film 6th Vancouver Chinese Film Festival di Kanada Julai lalu.
Bagi kategori filem pendek, beberapa filem tempatan meraih anugerah di peringkat antarabangsa termasuk filem Tamil ‘Paarvai’ yang merangkul anugerah “Pelakon Lelaki Terbaik” dan “Pelakon Wanita Terbaik” pada Hong Kong Film Art International Festival 2018.
Filem sama turut memenangi anugerah “Special Mention” pada Asia South East Short Film Festival 2018 di Phnom Penh, Kemboja.
Sebuah lagi filem pendek “The Selfish One” menggondol anugerah “Best Family Drama”di Manhattan Film Festival di New York.
Dalam pada itu, sebuah filem pendek, “The Special Ones” turut meraih anuegrah Filem Terbaik (Pelajar) di International Short Film & Arts Festival yang berlangsung di New Delhi, India. – BERNAMA