PETALING JAYA: Perbincangan antara rakan lelaki juara program realiti MyStarz LG musim ketiga, Tom Raja Farah dengan ahli keluarga isteri lelaki itu bagi mencari penyelesaian terhadap isu rumah tangga mereka, semalam, berakhir dengan pergaduhan apabila berlaku tumbuk-menumbuk dan sepak terajang sehingga menyebabkan penyanyi itu serta beberapa individu lain cedera.
Pergaduhan berlaku kira-kira jam 5.30 petang di tepi jalan raya berhampiran sebuah restoran berdekatan Balai Polis Damansara itu menggemparkan orang ramai termasuk sekumpulan wartawan yang dijemput ahli keluarga isteri rakan lelaki Tom atau nama sebenar Raja Farah Afzal Raja Ikram, 25.
Pertemuan itu dibuat beberapa jam selepas ahli keluarga isteri rakan lelaki penyanyi itu mengadakan sidang media di kediaman mereka bagi memberi penjelasan susulan kenyataan Tom, rakan lelakinya dan isteri lelaki itu yang mendakwa mereka difitnah dalam satu program hiburan di televisyen, tengah hari semalam.
Ketika sidang media berlangsung, suami wanita itu menghubungi seorang ahli keluarga isterinya bagi menyatakan hasrat untuk bertemu di rumah mereka, tetapi mengubah lokasi ke Balai Polis Damansara beberapa minit kemudian.
Pihak keluarga wanita itu bersama wartawan kemudian pergi ke Balai Polis Damansara tetapi Tom enggan bertemu, sebaliknya mahu berjumpa seorang demi seorang ahli keluarga berkenaan di sebuah restoran berdekatan.
Ketika ditemui di lokasi itu, Tom sempat menyatakan dia tidak menyangka ahli keluarga wanita berkenaan sanggup berkasar kerana dia menjaga anak perempuan mereka yang sarat mengandung dengan baik.
Pada awal pertemuan itu, suasana tenang apabila kedua-dua pihak berbincang dengan baik namun tanpa diduga, tiba-tiba Tom yang kelihatan sedang duduk berbual dengan seorang ahli keluarga isteri rakan lelakinya diserang oleh seorang lelaki.
Akibat serangan itu, Tom jatuh terbaring di atas jalan raya, namun lelaki terbabit masih cuba menyerangnya manakala rakan lelaki penyanyi itu bersama seorang lagi kawannya turut bergaduh dengan anggota keluarga lain sehingga menggemparkan orang ramai yang berada di situ.
Bagaimanapun, pergaduhan itu dapat dileraikan apabila beberapa ahli keluarga lain menenangkan keadaan manakala Tom bersama dua rakan lelakinya bergegas ke Balai Polis Damansara yang terletak kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.
Susulan kejadian, kedua-dua pihak membuat laporan di Balai Polis Damansara, manakala Tom yang ditemui sejurus selesai membuat laporan enggan mengulas insiden berkenaan kerana tidak mahu mengganggu siasatan polis.
“Mungkin saya akan membuat kenyataan media secara rasmi tapi tidak tahu bila. Buat masa sekarang saya tidak mahu komen apa-apa, biar polis jalankan siasatan dulu,†katanya yang cedera di pipi kanan, perut dan paha kiri.
Terdahulu pada sidang media, bapa angkat kepada isteri rakan lelaki Tom yang enggan namanya disiarkan berkata, mereka sudah lama mengetahui ‘hubungan sulit’ penyanyi itu dengan suami anak angkatnya sejak berada di Taiping, Perak lagi.
“Kami hanya mendiamkan diri kerana sedar kami hanya keluarga angkat tapi siapa mampu menahan sabar apabila kami mendapat tahu anak perempuan yang kami jaga umpama anak sendiri sejak berusia setahun didera suami dan teman wanitanya.
“Kami cuba mengesan tempat tinggal mereka di sini tapi gagal sehinggalah mendapat tahu anak angkat saya itu melahirkan anak sulung di Hospital Sungai Buloh pada 29 Jun lalu.
“Pelbagai cerita tidak elok kami dengar mengenai apa yang berlaku antara penyanyi itu dengan suami anak angkat saya, malah anak angkat saya itu sendiri menceritakan segala-galanya mengenai dia dipukul menerusi SMS dan panggilan telefon, namun disebabkan takutkan suami, dia enggan membuat laporan polis,†dakwanya.
Ibu angkat wanita itu, Norliza Shamsuddin, 53, pula berkata hatinya terguris apabila menonton program televisyen mengenai kenyataan Tom dan suami anak angkatnya.[Harian Metro]
Ini pula artikel yang dipetik dari Portal GUA
Baru saja mengeluarkan kenyataan dalam Melodi tengah hari semalam, berhubung dakwaan mengatakan dia membelasah seorang wanita yang sedang sarat mengandung serta mengadakan hubungan sulit dengan suami wanita tersebut, juara program realiti Mystarz LG musim ketiga, Tom, cedera diserang sekumpulan lelaki di Damansara pada petang yang sama.
Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang di tepi jalan raya berdekatan dengan sebuah restoran apabila Tom serta pasangan suami isteri tersebut bertemu dengan ahli keluarga wanita terbabit bagi menyelesaikan kemelut yang melanda.
Difahamkan, sebelum pertemuan tersebut diadakan, keluarga wanita terbabit telah membuat satu sidang media di kediaman mereka susulan kenyataan Tom di Melodi yang telah mengguriskan hati pihak mereka.
Namun, tujuan murni mengadakan pertemuan tersebut akhirnya berkesudahan dengan pergaduhan apabila Tom tiba-tiba diserang oleh seorang lelaki ketika sedang duduk berbual dengan salah seorang ahli keluarga wanita terbabit.
Ditumbuk dan disepak terajang
Pada awalnya, pertemuan tersebut berlangsung secara aman namun tanpa diduga, Tom ditendang oleh seorang lelaki yang secara tiba-tiba menyerangnya. Akibat serangan itu, Tom atau nama sebenarnya Raja Farah Afzal Raja Ikram, terbaring di atas jalan.
Belum puas dengan tindakannya, lelaki terbabit sekali lagi cuba menyerang Tom dan akibat serangan itu, Tom mengalami kecederaan di muka, kaki dan perut. Selain di sepak terajang, Tom turut ditumbuk dan dipukul di seluruh badan.
Keadaan menjadi lebih kecoh apabila pada masa yang sama, rakan lelaki Tom yang juga merupakan suami wanita terbabit turut bergaduh dengan anggota keluarga yang lain sehingga menggemparkan orang ramai yang berada di situ.
Bagaimanapun, pergaduhan itu dapat dileraikan oleh beberapa anggota keluarga yang lain sebelum Tom dan rakan lelakinya bersama seorang lagi lelaki membuat laporan di Balai Polis Damansara yang terletak kira-kira hanya 50 meter dari tempat kejadian.
Tom bersetubuh dengan suami orang?
Kemelut ini bermula apabila Tom membantu pasangan suami isteri terbabit menumpang di rumahnya di Pangsapuri Meranti, Sri Damansara tanpa kebenaran keluarga wanita terbabit.
Difahamkan, keluarga pihak wanita tidak merestui hubungan anaknya dengan lelaki terbabit sehingga sanggup membuat apa saja bagi memisahkan pasangan tersebut. Akibatnya, pasangan terbabit meminta pertolongan Tom untuk menumpang di rumahnya.
Ketika itulah, timbul cerita kurang enak yang dilemparkan kepada Tom mengatakan dia membelasah wanita terbabit yang ketika itu sedang sarat mengandung. Malah, si suami turut sama membelasah isterinya sehingga lebam serta mencucuhnya dengan puntung rokok.
Tidak cukup dengan itu, Tom dengan suami wanita tersebut telah mengadakan persetubuhan di depan isterinya. Ekoran tidak tahan dibelasah dengan si suami, wanita terbabit melarikan diri sehingga menyebabkan air ketumbannya pecah.
Sejauh mana kesahihan cerita ini hanya pihak mereka saja yang tahu, namun menurut kenyataan Tom dalam Melodi, dia mengakui mengenali lelaki tersebut sejak di bangku persekolahan malah pernah berkasih dengan lelaki tersebut. Namun, semua itu telah berakhir dan mereka kini hanya berkawan rapat.
Malah ketika muncul di Melodi, Tom turut bersama dengan pasangan suami isteri terbabit yang turut membuat kenyataan berkaitan kemelut yang melanda. Tom berkemungkinan akan mengadakan satu sidang media khas bagi menceritakan perkara yang sebenar selain membersihkan namanya dari terus difitnah oleh keluarga pihak wanita tersebut.
Diharap isu ini tidak diperbesar-besarkan lagi dan dapat diselesaikan dengan baik oleh kedua-dua belah pihak. Maklumlah bak kata pepatah, air yang dicincang tidak akan putus, begitulah juga dengan hubungan kekeluargaan.