Peserta Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), Tom menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan dia menjadi punca keretakan rumah tangga Fuad Rahman yang kini dalam proses perceraian, susulan pendedahan percintaan mereka semalam.
Tom berkata, Fuad dan isterinya sudah lama berhadapan masalah rumah tangga dan dia tidak akan sesekali mengganggu kebahagiaan rumah tangga orang lain.
“Saya sama sekali tidak ada kena mengena dengan perceraian Fuad dan isterinya kerana rumah tangga mereka sudah berantakan sewaktu program GV9. Kalau mahukan kepastian, boleh tanya kepada keluarga dan isteri Fuad.
“Saya pun tak berani nak jalin hubungan dengan Fuad kalau dia masih bersama dengan isterinya. Hanya Fuad dan isteri serta keluarga saja yang tahu apa masalah yang berlaku sehingga kedua-duanya nak bercerai,”
– Tom
Tom berkata, dia tidak kisah apa sahaja tanggapan netizen kerana permasalahan yang berlaku memandangkan dia bukalah punca orang ketiga.
Sementara itu, penyanyi itu menjelaskan antara sebab utama dia kembali membuka pintu hatinya untuk menerima kehadiran insan istimewa kerana mahu menjaga Fuad supaya tidak terbabit dalam kancah penyalahgunaan dadah.
“Hubungan yang terjalin masih baru dan pastinya terdapat dugaan dan masalah yang akan datang. Jadi saya ikut saja apa yang sudah ditentukan.
“Sememangnya saya begitu sayangkan Fuad dan nak jaga dia supaya tidak terbabit dengan kes yang pernah terjadi.
“Sebelum ini dia ada terfikir ke arah itu apabila kecewa dengan apa yang terjadi. Jadi, saya tak nak perkara yang tak elok berlaku kepadanya lagi,” katanya.
Sebelum ini, Tom atau Raja Farah Afzal Raja Ikram,36, mengakui pernah menjalinkan hubungan cinta dengan Fuad pada 2005 sebelum putus pada 2010.
Ketika ini, Fuad sedang dalam proses perceraian dengan isterinya selepas sembilan bulan mendirikan rumah tangga.