Tom Daley mencuri perhatian lensa penonton apabila dengan gaya selamba mengait ketika menonton acara papan anjal wanita pada temasya itu. Ketika itu, saingan akhir acara tiga meter terjun papan anjal wanita untuk temasya Olimpik 2020 sedang berlangsung.
Tom Daley bersama pasangan terjun iaitu Matty Lee telah berjaya memperolehi pingkat Emas di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 bagi sukan 10 meter papan anjal lelaki. Pasangan daripada Great Britain ini memperolehi 471.81 markah dan berjaya menewaskan pasangan China dengan hanya mendapat 470.58 markah di tempat kedua.
Tak Pelik Lelaki Suka Mengait
Daley menjadikan mengait sebagai hobi. Meninjau perkongsian Tom Daley di IG Stories, kelihatan dia turut respon kepada fotonya yang viral di media sosial itu. Kata Daley, dia selalu memenuhi masa lapangnya dengan aktiviti mengait pakaian.
Ini kerana aktiviti sedemikian dapat memberinya ketenangan dan mengurangkan tekanan. Dia turut mencipta sebuah akaun Instagram @madewithlovebytomdaley, khas untuk ‘karya-karya’ kaitannya.
Satu perkara membuatkan saya asyik dengan kerja ini ialah minat mendalam dalam seni kaitan fabrik dan jahitan. Saya juga boleh membawa ke mana sahaja pingat tanpa ia tercalar.”
– Tom Daley
Antara hasil tangan Daley yang mendapat sorotan warga net termasuk sarung pingat bermotif bendera British dan Jepun, yang dikaitnya untuk menyimpan pingat emas yang dimenangi minggu lalu.
Hasil Kaitan Dihadiahkan Kepada Rakan Atlet
Menurut Daley, dia sempat menyiapkan satu beg kecil – untuk menyimpan pingat emas Olimpik yang dimenanginya agar tidak bercalar. Beg comel itu, katanya memaparkan bendera Union Jack dan bendera Jepun.
Malah Daley juga pernah mengait sehelai cardigan untuk sahabat baiknya, Cheong Jun Hoong, yang merupakan atlet terjun Malaysia. Daley turut memuatnaik hasil tangannya itu di laman Instagram, bersama Jun Hoong sebagai ‘model’, Mei lalu.
Lebih menarik lagi, kesemua hasil yang dilakukannya itu akan dijual dan wang tersebut disumbangkan kepada pusat kebajikan bagi pesakit barah otak. Menerusi portal Crowd Funder yang dikongsinya, pada 22 Julai 2021 lalu, dia berjaya mendapat sebanyak £5,787 (RM 34,012.36) dengan seramai 556 penyokong bagi projek ini dalam masa hanya 14 hari saja.
Bapa Sudah Meninggal Dunia
Apa yang dilakukan Daley ini, mempunyai kisah silamnya tersendiri. Difahamkan, ayah Daley telah meninggal dunia pada tahun 2011 disebabkan barah otak. Sejak daripada itu, dia bertungkus-lumus mencari wang untuk disumbangkan ke Brain Tumour Charity bagi membantu pakar menjalani penyelidikan dan rawatan terhadap penyakit tersebut yang mampu membunuh sesiapa sahaja.