in

TM Lancar 4 Saluran Terbaru di Hypp TV

4 SALURAN UNIK BARU DILANCARKAN DI HYPPTV

EC Inspirasi, Outdoor Channel HD, UTV Stars dan Kids Co kini sebahagian daripada saluran-saluran di HyppTV yang kian bertambah

Inginkan saluran khas untuk gaya hidup penuh dengan aktiviti luar? Ingin mengetahui perkembangan terkini mengenai dunia muzik “Indie” tempatan? Ceriakan diri anda dengan koleksi muzik video Bollywood terkini dalam format HD atau ingin mengimbau kenangan dengan menonton watak-watak kartun klasik kegemaran anda seperti Sonic the Hedgehog dan Dennis the Menace tanpa mengira keadaan cuaca?

HyppTV, dikuasakan oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tingginya, UniFi, hari ini melancarkan empat (4) saluran premium baru sebagai salah satu daripada inisiatif pertengahan tahun dalam menambah lebih banyak saluran di platform televisyen Internet protokolnya (IPTV). Saluran-saluran berkenaan – EC Inspirasi (Saluran 106), Outdoor Channel HD (Saluran 172), UTV Star (Saluran 194) dan Kids Co Channel (Saluran 133) kini akan menjadi sebahagian daripada saluran yang ditawarkan di HyppTV.

HyppTV 1

Saluran-saluran terbaru tersebut telah dilancarkan oleh Emily Wee, Naib Presiden, Operasi Perniagaan dan Media, New Media, TM dan Imri Mokhtar, Naib Presiden Eksekutif, Pengguna, TM. Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah wakil-wakil daripada setiap saluran yang baru dilancarkan: Manikandamurthy Velayoudam, Pengarah Urusan Sky Blue Media Sdn Bhd yang mewakili UTV Stars, Michael Simon, Pengarah Urusan Homegrown Sdn. Bhd yang mewakili EC Inspirasi dan Gregg Creevey, Pengarah Urusan, Multi Channels Asia yang mewakili Outdoor Channel HD dan juga Kids Co.

Mengulas mengenai pelancaran tersebut, Emily Wee berkata, “Pelancaran empat (4) saluran terbaru ini merupakan hasil kerjasama di antara TM dengan Multi Channels Asia, Homegrown dan Sky Blue Media untuk memperkayakan pilihan tontonan buat para pelanggan HyppTV. Menerusi usahasama-usahasama seperti ini, pihak TM melihat adanya potensi besar untuk mendekati jumlah penonton yang lebih ramai menerusi penawaran kandungan-kandungan yang unik.”

Beliau menambah, “Majlis pelancaran yang diadakan pada hari ini menunjukkan betapa pantas HyppTV berevolusi dan berkembang dalam menawarkan kandungan-kandungan tersendiri di platformnya. Menjadi yang pertama menawarkan saluran-saluran tersebut di Malaysia membolehkan kami memenuhi permintaan terhadap kandungan-kandungan unik yang sebelum ini tidak terdapat di sini. Penawaran-penawaran terbaru ini merupakan sebahagian daripada keseluruhan perancangan kami untuk mengembangkan lagi saluran-saluran dan kepelbagaian himpunan kandungan kami merentasi pelbagai genre secara berperingkat serta memenuhi cita rasa para pelanggan kami. Dengan pelancaran saluran-saluran baru ini, HyppTV kini dapat memastikan keunikan kandungan yang ditawarkan, selari dengan aspirasi untuk menjadi pembekal perkhidmatan IPTV yang terkemuka di negara ini.”

EC Inspirasi, merupakan saluran baru dan kian popular yang 100% terbitan tempatan. Dikenali sebagai saluran dengan “semangat indie”, saluran ini bakal membuka lembaran baru dengan produksi TV tempatan khas untuk para remaja di Malaysia. EC Inspirasi merupakan satu lagi saluran kandungan tersendiri yang ditawarkan di HyppTV yang disasarkan kepada golongan remaja dan komuniti ‘urban’ dengan menayangkan semua yang terbaru dalam industri muzik tempatan, trend, fesyen dan gaya hidup. Saluran ini dikendali dan diuruskan oleh Homegrown Production Sdn Bhd, sebuah syarikat produksi TV yang pernah memenangi anugerah yang berpusat di Kuala Lumpur.

Michael Simon, Pengarah Urusan Homegrown Productions berkata, “Kami telah merancang dan menunggu peluang ini sejak dahulu lagi. Homegrown sentiasa bersemangat untuk mempunyai sebuah platform yang memenuhi keperluan tempatan – baik dari aspek muzik, seni, fesyen, gaya hidup atau percutian, dan melalui EC Inspirasi, kami berbangga untuk menjadi sebahagian daripada platform IPTV UniFi. EC Inspirasi berazam untuk memberi kelainan kepada anak muda Malaysia yang berbakat.”

Antara program menarik dalam EC Inspirasi:

HOMEGROWN SHOW
Bagi mereka yang sentiasa ingin mengikuti perkembangan artis kegemaran mereka, The Homegrown Show menampilkan persembahan eksklusif para artis dan band kesayangan anda. Teruskan bersama mereka sambil menyaksikan persembahan muzik terbaru dengan lebih santai. Tiada yang lebih hebat daripada mendengar muzik yang dimainkan secara langsung.

THE STORY OF …
The Story Of…. merupakan sebuah program yang memaparkan mengenai band dan artis tempatan secara lebih mendalam. Daripada cerita-cerita kegemilangan, kisah kegilaan peminat hinggalah kepada pengalaman pahit manis mereka bergelar seorang artis. Segalanya yang tidak pernah anda tahu dan segala yang berkaitan tentang bintang kegemaran anda.

DESTINASI BAJET
Mencari tempat percutian yang tidak menelan belanja besar? Program ini memberikan panduan lengkap untuk anda menjelajah ke tempat-tempat penginapan terbaik, tempat-tempat untuk dilawati, juadah untuk dirasa dan tempat membeli-belah terbaik yang boleh anda lakukan dengan peruntukan yang kecil. Kami mencuba percutian sebegini untuk anda supaya anda mengetahui dengan lebih tepat apa yang bakal dialami, barangan yang perlu dibawa dan yang lebih penting, berapakah jumlah yang diperlukan untuk mengalami percutian yang menakjubkan.

BLOGSHOP
Blogshop adalah segalanya berkaitan membeli-belah secara online. Daripada fesyen sehinggalah kepada juadah, dan daripada barangan antik sehingga barangan-barangan lain yang ada dijual secara online, Blogshop membawakan kepada anda pengalaman membeli-belah online yang terbaik untuk anda mengetahui di mana untuk mendapatkan barangan kegemaran anda. Dengan dua klik!

KLTV
KL, KL, bandar kesayangan kita, kini terdapat program segalanya tentang KL. KLTV memberi liputan mengenai apa yang berlaku di sekeliling bandar kesayangan kita. Hiburan, seni, muzik, gaya hidup; namakan sahaja, kami ada di sana. Ia merupakan rangkuman daripada segala yang patut disaksikan di sekitar Kuala Lumpur.

ART GALLERY
Art Gallery menghidangkan segalanya mengenai pelukis-pelukis tempatan dan hasil karya mereka. Pelukis dan pengukir – kini ada rancangan khusus untuk mereka menonjolkan karya masing-masing. Program ini menjengah industri kreatif dengan lebih dekat dan memberi fokus terhadap setiap karya seni secara lebih mendalam. Mereka yang menghasilkan setiap karya turut diberi perhatian tetapi hasil karya itu sendiri yang mendapat tumpuan khusus dalam Art Gallery.

Outdoor Channel HD akan menjadi saluran khusus pertama yang memenuhi pemintaan peminat aktiviti luar dan sebagai kandungan tersendiri, ianya merupakan saluran pertama seumpamanya disiarkan di Malaysia. Saluran ini memberi liputan mengenai pelbagai jenis sukan luar tradisional dan kontemporari seperti memancing, off-road, sukan air, safari dan lain-lain. Outdoor Channel HD turut menayangkan kandungan terpilih yang disasarkan khas buat penonton di Asia di bawah pilihan Asia Programs – membawakan acara-acara kejohanan luar seperti Kiteboard Tour Asia, Indonesian Surfing Championship, Asian Surfing Championship, Adventure Racing World Championship dan banyak lagi.

Gregg Creevey, Pengarah Urusan, Multi Channels Asia berkongsi, “Sebagai pasaran terbesar buat masa ini bagi TV berbayar di Asia Tenggara, ini merupakan pelancaran yang penting bagi Outdoor Channel. Kami amat gembira kerana HyppTV telah menerima Outdoor Channel yang menawarkan saluran HD pertama dan eksklusif seumpamanya yang mengetengahkan keseronokan aktiviti luar.”

Saluran KidsCo menghiburkan seluruh ahli keluarga dengan kandungan yang sesuai, ringan dan tidak berunsur ganas. Ini akan menjadi saluran pertama untuk kanak-kanak di HyppTV yang mensasarkan kepada golongan kanak-kanak yang berumur di antara 6 hingga 10 tahun dan juga seisi keluarga. Kandungan KidsCo yang ceria, diyakini dan bervariasi memberikan persekitaran yang sesuai untuk kanak-kanak dan menggalakkan ahli keluarga untuk menonton bersama. Dari cerita-cerita dan lagu-lagu pendek untuk kanak-kanak pra-sekolah, watak-watak terkenal seperti Sonic the Hedgehog, Fat Dog Mendoza dan Sabrina serta tayangan filem di waktu petang, KidsCo merupakan saluran yang sesuai dinikmati oleh semua lapisan.

Kedua-dua saluran Outdoor Channel HD dan KidsCo dikendalikan oleh Multi Channel Asia bagi rantau Asia Pasifik.

UTV Stars Channel merupakan saluran hiburan yang diminati ramai, khas untuk Bollywood dan selebriti-selebriti pujaan dari Bollywood dalam Definisi Tinggi (HD). Sebagai kandungan tersendiri khusus untuk golongan remaja dan dewasa, ianya akan menjadi Saluran Hiburan India HD yang pertama di Malaysia. UTV Stars dikendalikan oleh Blue Sky Media Sdn Bhd.

Manikandamurthy, Pengarah Urusan Blue Sky Media berkata: “Kami amat gembira kerana dapat membawa masuk saluran Bollywood pertama di Malaysia secara eksklusif kepada pelanggan UniFi menerusi platform HyppTV.”

Dengan pengenalan saluran-saluran baru ini, HyppTV kini menawarkan kepada para pelanggannya 90 saluran yang terdiri daripada 19 saluran Percuma, 36 saluran Premium, 17 genre Video On-Demand (VOD) dan 18 saluran Interaktif.

Saluran Outdoor Channel HD dan UTV Stars kini boleh didapati dalam format HD penuh dengan harga RM9 dan RM6 sebulan masing-masing, manakala EC Inspirasi dan KidsCo boleh dibeli dengan harga RM3 dan RM6 setiap satu untuk sebulan.

HyppTV, perkhidmatan IPTV TM, dikuasakan oleh UniFi dan boleh dinikmati oleh penonton tanpa mengira cuaca melalui pakej UniFi untuk kediaman, yang dikenali sebagai pakej VIP, penawaran tiga serangkai yang menggabungkan suara, video dan data. TM UniFi kini ditawarkan melalui tiga (3) pakej kediaman. Pakej kediaman tiga serangkai berkenaan adalah VIP5 pada harga RM149 sebulan, VIP10 pada RM199 sebulan, dan VIP20 pada RM249 sebulan.

HyppTV kini menawarkan pakej promosi yang dipanggil ‘HyppTV Platinum Pack’ di mana para penonton HyppTV akan dapat menikmati 30 saluran yang menakjubkan pada harga serendah RM30 sebulan. Saluran-saluran yang ditawarkan dalam pek promosi tersebut termasuk saluran eksklusif yang hanya terdapat di HyppTV seperti kandungan popular tempatan mahupun antarabangsa dari Amerika Syarikat, UK, Asia dan banyak lagi. Bukan itu sahaja, 10 daripada 30 saluran yang ditawarkan adalah saluran dalam Definisi Tinggi (HD) dengan visual yang terang dan jelas, memberikan pengalaman menonton yang lebih mengagumkan.

Untuk maklumat lanjut mengenai HyppTV dan saluran-salurannya, layari www.tm.com.my/hypptv atau layari laman Facebooknya di www.facebook.com/hyppworld. Untuk maklumat lanjut mengenai TM, layari www.tm.com.my

Mengenai TM
Telekom Malaysia Berhad (TM), syarikat peneraju jalur lebar serta maklumat dan komunikasi bersepadu di Malaysia, menawarkan perkhidmatan dan penyelesaian komunikasi yang menyeluruh menerusi jalur lebar, data dan talian tetap. Sebagai peneraju pasaran, TM dipacu oleh penciptaan nilai pihak berkepentingan dalam persekitaran yang amat kompetitif. Kumpulan juga sentiasa memberi tumpuan kepada pengalaman pelanggan yang dipertingkatkan melalui usaha-usaha peningkatan kualiti dan inovasi khidmat pelanggan yang berterusan, sambil memfokus kepada peningkatan kecekapan operasi dan produktiviti.

Memanfaatkan sambungan global yang meluas, infrastruktur rangkaian dan himpunan kepakaran kami, TM berkedudukan baik untuk melonjakkan Malaysia sebagai hab Internet serantau dan gerbang digital bagi Asia Tenggara. TM kekal komited dalam transformasinya kepada pembekal komunikasi generasi baru bagi menawarkan gaya hidup yang dipertingkatkan dan bersepadu kepada semua rakyat Malaysia, serta merintis kemungkinan menerusi hubungan, komunikasi dan kolaborasi, ke arah wawasan bersama iaitu membawa negara menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi.

Sebagai warga korporat contoh yang komited terhadap tadbir urus dan ketelusan yang baik, TM meneruskan janjinya untuk memastikan proses, anggota dan reputasi kami dengan integriti serta pengekalan operasi kami. Falsafah Tanggungjawab Korporat (CR) kami berpegang teguh pada amalan bertanggungjawab dalam empat domain utama iaitu pasaran tempat kerja, masyarakat dan alam sekitar. Dengan memfokus pada ICT, Kumpulan menyokong 3 platform utama iaitu pendidikan, pembinaan masyarakat/negara dan alam sekitar, menerusi program-program Reaching Out kami.

TM merupakan pemenang bagi pelbagai anugerah, dan diiktiraf secara konsisten atas standard Urus Tadbir Korporat kami yang tinggi serta Anugerah CSR Perdana Menteri bagi Amalan Tempat Kerja Terbaik untuk dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2009 dan 2010. Baru-baru ini, TM telah dianugerahkan dengan 5 anugerah di National Annual Corporate Report Awards (NACRA) 2011 terutamanya Piala Pusingan Anugerah Kecemerlangan Keseluruhan bagi Laporan Tahunan Terbaik – Anugerah Platinum; dan 4 anugerah di Frost and Sullivan Malaysia Excellence Awards 2012, termasuk Service provider of the Year dan Best Broadband Service Provider of the Year. TM turut diiktiraf sebagai Fixed Broadband Provider of the Year di 2012 Frost & Sullivan Asia Pacific ICT Awards.

Untuk maklumat lanjut mengenai TM, layari www.tm.com.my

HyppTV 7

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Cristina Suzanne Cover Majalah EH Keluaran Julai 2012

Tiga Duta Terbaru bluunis Kongsi Pengalaman