Selepas berita tentang pasangan Yuna & Qi serta Anne Ngasri & Aliff Aziz putus cinta, tiga hari lalu, kita dengar pula pelakon Tiz Zaqyah & Remy Ishak pula putus cinta. Mungkin dah tertera di luh mahfuz, sekarang ni memang trend artis putus cinta kot.
Berita tentang perhubungan cinta antara Tiz Zaqyah dan Remy Ishak yang putus di tengah jalan yang disiarkan di Harian Metro di ruangan RAP hari ini tidak mengejutkan Budiey sebabnya, gossip tentang kedua pelakon utama Nur Kasih ini dah lama kedengaran.
Remy Ishak buat pengakuan ini di Majlis Tayangan Media Filem Hantu Kapcai dua hari lepas.
Semoga Tiz Zaqyah dan Remy Ishak tabah menempuh kehidupan.
IMPIAN untuk melihat mereka disatukan sudah hancur berkecai. Akhirnya pasangan Remy Ishak dan Tiz Zaqyah dengan sah mengumumkan bahawa mereka kini bukan lagi kekasih dan berpisah dengan rasminya sejak tiga bulan lalu.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Remy dan Tiz kepada Harian Metro dalam dua situasi berasingan. Remy ditemui di Alamanda, Putrajaya, baru-baru ini sementara Tiz pula dihubungi malam kelmarin.
“Memang sudah tiga bulan kami berpisah secara rasminya. Sebab-sebabnya tidak usahlah saya ceritakan, tetapi kami bukan lagi pasangan kekasih. Sekarang biarlah kami hanya menjadi sahabat dan rakan seperjuangan dalam bidang lakonan,†kata Remy ringkas.
Manakala Tiz pula memberi kenyataan dalam akhbar ini kelmarin, apa yang Remy cakap itulah cerita sama.
“Apa yang Remy cakap itulah cerita sama saya boleh katakan. Kami tiada orang ketiga dan kenyataan Remy pun menyebut begitu. Saya cuma berharap semua pihak jangan menghakimi perkara ini dan menyalahkan sesiapa. Kami berpisah atas persetujuan bersama. Sebelum ini pun saya dihujani panggilan daripada pihak media yang mahukan komen sejak cerita ini keluar. Ia sedikit sebanyak mengganggu tumpuan saya untuk berlakon.
“Disebabkan saya tengah shooting, kadangkala saya tak dapat menjawab panggilan daripada pihak media dan jangan pula ada yang menganggap saya mengelak daripada menjawab soal ini,†katanya.
Tiz mula mencipta fenomena yang tersendiri selepas kejayaannya menghayati watak sebagai Nur Amina dalam drama Nur Kasih arahan Khabir Bhatia dan dari situlah perkenalan lebih rapat dengan Remy bermula. Kasih sayang yang dipupuk dalam drama itu sebagai pasangan suami isteri terus terbawa-bawa dalam sekuel cerita itu menerusi filem Nur Kasih The Movie.
Tiada halangan untuk mereka terus membajai kasih sayang yang tercetus sehingga lahirnya bibit cinta lantaran diri tiada siapa yang punya. Meneruskan kisah yang penuh tragis dalam Nur Kasih The Movie, mereka dilamun cinta sehingga setiap ada saja cerita cinta mereka dipaparkan dalam media massa dan elektronik.
Adat orang menanggung rindu ke mana pergi mesti bersama. Saling bertukar senyuman dan bisikan adalah fenomena biasa kepada pasangan yang bercinta. Itu cerita bahagia Tiz dan Remy lebih setahun lalu sekarang segala yang manis sudah menjadi racun kepada diri masing-masing.
Kala hati sudah tidak suka, kemesraan yang ada semakin kabur dan akhirnya berkubur. Pusara cinta yang sepi tanpa jalinan kasih dua hati. Sebelum ini sudah beberapa kali ada khabar angin bertiup kencang menyebarkan berita yang mereka tidak sehaluan lagi dan mereka terpaksa menafikannya dengan alasan lautan mana yang tidak bergelora dan bumi mana yang tidak ditimpa hujan.
Kemuncak perbalahan mereka berdua apabila awal tahun ini Remy dimasukkan ke hospital kerana demam panas dan Tiz langsung tidak mengambil tahu perkembangan diri Remy yang ditahan di wad.
Semua orang tahu, Remy adalah lelaki yang tidak gemar menceritakan perihal peribadinya kepada umum lebih-lebih lagi menggunakan laman sosial untuk bercerita. Namun entah kenapa Remy secara tiba-tiba ‘berani’ meluahkan sesuatu di laman twitternya.
Sama ada Tiz ataupun Remy, mereka enggan terlalu memperbesarkan isu perselisihan faham antara kerana pada mereka ia adalah sebahagian daripada asam garam orang bercinta.
Kata Tiz, dia rimas orang asyik memperkatakan soal cintanya dan bukan mengenai kerjanya yang secara tidak langsung mengganggu fokusnya pada karier seni.
Akui Tiz, bukan saja dia rimas, malah dia tidak larat untuk menjawab persoalan demi persoalan yang timbul mengenai hubungannya yang dikatakan sudah berakhir.
“Saya tidak tahu, kenapa kisah peribadi saya lebih mendapat tumpuan dan publisiti berbanding karier saya yang selama ini menjadi nadi kehidupan saya? Saya menerima banyak komen daripada peminat yang kurang selesa membaca kisah peribadi saya di dada akhbar dan internet. Mereka lebih suka melihat lakonan saya berbanding isu itu. Jadi, jangan sensasikan lagi kisah peribadi saya,†katanya.
Memetik kenyataannya lagi, tegas Tiz ketika bertemu dengannya pada pelancaran drama Dejavu di Kinabalu, dia tidak mahu komen apa-apa sebab dia jenis yang sukar untuk berkongsi kisah peribadi dengan sesiapa.
“Mungkin 10 peratus saja mengenai diri saya yang orang luar tahu. Apapun jawapan saya, spekulasi akan tetap terjadi. Orang akan tetap berkata sama ada saya bercerita atau tidak. Bagi saya, lebih baik saya berdiam diri. Lagi pun ia perkara normal, boleh terjadi kepada sesiapa saja,†tambahnya.
Pada Mei lalu, Remy membuat pengakuan yang cintanya terhadap Tiz semakin mendalam.
Ketika ditemui media pada majlis Malam Gala Tayangan Media Filem Jiwa Taiko di Cineleisure, e@Curve, Damansara tidak lama dulu, Remy mengakui hubungannya dengan Tiz semakin rapat walaupun sebelum ini ada yang khabar angin yang mengatakan hubungan mereka sudah putus.
“Tidak dinafikan, selepas pelbagai kontroversi yang berlaku, perasaan cinta saya terhadap dia semakin mendalam, malah hubungan kami berdua semakin okay,†katanya ketika itu.
Namun dia mengatakan belum ada perancangan lanjut mengenai hubungan cinta mereka kerana mereka mahu rileks dulu bagi memberi tumpuan terhadap karier seni masing-masing.
Baru-baru ini pula, dalam twitter, luahan rasa Remy bernada sumbang yang seolah-oleh mengesahkan tiada lagi cinta di hatinya.
Antaranya, “The relationship was gone a long time ago, I haven’t been involved with anything and everything dan “The best way to end the relationship is to burn the bridge. Glad I did it. No turning back.â€
Remy kemudiannya menulis yang semua orang patut bersyukur dengan pengalaman pahit yang Tuhan berikan, juga jangan sesekali menyesal dengan apa terjadi.
Kini dengan kenyataan Tiz, lenyaplah segala kesangsian di hati peminat yang secara jelas memberitahu dia kembali solo. Jika di layar lebar, Nur Amina menemui cinta sejatinya dengan Adam tetapi di alam nyata, cinta yang bersemi di layar perak itu gagal dipertahankan.
Sumber Harian Metro