Setelah berjaya menerbitkan pelbagai variasi program berbentuk hiburan, lawak, nyanyian, masakan dan banyak lagi, Astro kini sekali lagi mempertaruhkan program baru ‘Astro Bella Jom Kurus Cabaran 30 Hari’ di salah satu salurannya, Astro Bella (133) dan dijangka menemui penonton pada bulan Oktober 2015 ini. ‘Astro Bella Jom Kurus Cabaran 30 Hari’ merupakan sebuah program realiti yang mengetengahkan gaya hidup sihat dan bakal menyaksikan para peserta menyahut cabaran untuk mengurangkan berat badan dalam masa 30 hari disamping diberi pendedahan akan kepentingan kesihatan dan kecergasan.
‘Astro Bella Jom Kurus Cabaran 30 Hari’ bakal bersiaran Oktober ini. Astro lancar program baru berkonsepkan gaya hidup sihat.
Program ini merupakan susulan dari program jelajahan Astro Bella Jom Kurus yang diperkenalkan pada bulan Februari lalu yang mana ianya telah menyaksikan penyertaan yang begitu memberansangkan dari golongan wanita yang mempunyai masalah berat badan. Kini, Astro Bella membawa rancangan ini ke kaca televisyen bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia menyertainya dan memperoleh manfaat daripada program tersebut.
Program ‘Astro Bella Jom Kurus Cabaran 30 Hari’ bermatlamat untuk mendidik dan memberi motivasi kepada para peserta akan kepentingan menjaga kesihatan dan amalan gaya hidup sihat. Ia turut menyahut seruan Fit Malaysia, sebuah kempen yang diperkenalkan Kementerian Belia dan Sukan pada tahun lalu dan diterajui oleh Menterinya, YB Khairy Jamaluddin bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat. Di masa yang sama juga, program ini merupakan salah satu inisiatif Astro untuk menyokong sambutan Hari Sukan Negara yang buat julung-julung kalinya diadakan di Malaysia pada bulan Oktober ini.
Kevin Zahri yang dikenali sebagai ‘Cikgu Fitness Malaysia akan bertindak sebagai pengacara untuk program ini dan Sharifah Sakinah, seorang selebriti tempatan yang cukup dikenali dengan amalan gaya hidup sihatnya akan menggalas tanggungjawab sebagai pengacara sampingan.
Program ini terbuka kepada wanita yang berumur 18-45 tahun, sihat tubuh badan dan mempunyai BMI melebihi 25. Peserta hanya perlu memuat naik video berdurasi 15 saat menunjukkan mereka sedang menjalankan aktiviti kecergasan dan secara ringkas nyatakan mengapa mereka harus dipilih untuk menyertai pertandingan ini dan tag Astro Gempak beserta #astrobellajomkurus #cabaran30hari. Pemilihan peserta akan bermula pada 24 Ogos hingga 6 September ini.
Pengurus Saluran Astro Bella, Natasha Hashim berkata,
“Di bawah kendalian Kevin Zahri, saya yakin program ini sedikit sebanyak mampu memupuk kesedaran seterusnya menyumbang ke arah pengurangan kadar statistik obesiti di Malaysia. Sehingga hari ini, statistik menunjukkan penduduk Malaysia khususnya golongan wanita mengalami masalah kegemukan dan separuh dari jumlah itu menghidap obesiti. Kami di Astro Bella begitu prihatin akan senario ini dan akan berusaha melaksanakan inisiatif-inisiatif yang relevan untuk membantu mengurangkan kadar statistik ini. Saya percaya, pengenalan program Astro Bella Jom Kurus Cabaran 30 Hari ini secara tidak langsung membantu merealisasikan konsep gaya hidup sihat di kalangan masyarakat terutamanya golongan wanita.”
“Saya begitu mengalu-alukan penyertaan golongan wanita terutamanya mereka yang menepati kriteria yang ditetapkan untuk menyahut cabaran program Astro Bella Jom Kurus Cabaran 30 Hari ini seterusnya membuktikan bahawa amalan gaya hidup sihat bukan sekadar tuntutan lifestyle kita pada hari ini, tetapi lebih kepada usaha menghindari penyakit-penyakit kronik seperti hipertensi, darah tinggi, kencing manis dan banyak lagi. Pada masa yang sama, sebagai seorang wanita, aspek penampilan diri memainkan peranan penting kerana ia membantu membina keyakinan diri dalam diri masing-masing. Marilah bersama kita amalkan gaya hidup sihat untuk kebaikan diri kita dan insan-insan yang tersayangâ€, tambah Natasha lagi.
Program ‘Astro Bella Jom Kurus Cabaran 30 Hari’ ini dijangka akan menyenarai pendek 25 orang peserta yang menepati syarat-syarat penyertaan dan mereka diperlukan untuk melalui sesi Boot Camp bersama Kevin Zahri dan Sharifah Sakinah. Hanya 12 orang peserta sahaja akan dipilih untuk menyertai program realiti ini berdasarkan personaliti, ketahanan fizikal dan mental serta bacaan BMI mereka.
Pemenang program ini akan berpeluang untuk memenangi hadiah utama sebanyak RM 20,000.00, sebuah trofi beserta hadiah-hadiah menarik yang lain. ‘Astro Bella Jom Kurus Cabaran 30 Hari’ dijangka akan menemui para penonton Oktober ini di saluran Astro Bella (133) dan tayangan serentak di saluran Mustika HD (134).
Untuk maklumat lanjut, layari www.astrogempak.com.my/astrobella. Teruskan sokongan anda dan dapatkan perkembangan terkini di media sosial dengan #astrobellajomkurus #cabaran30hari