TikTok, platform utama untuk video pendek peranti mudah alih, kembali dengan acara yang dinanti-nantikan, TikTok Awards Malaysia 2024. Bertemakan “Realisasikan Impianmu”, TikTok berfungsi sebagai platform yang menggalakkan pencipta kandungan untuk mencabar batasan kreativiti dan merealisasikan impian mereka. Acara ini merangsang kreativiti dan membawa keceriaan, menjadikannya tapak lonjakan untuk meraikan aspirasi baharu.
TikTok Awards membuka peluang kepada para pencipta untuk membuktikan impian mereka menjadi kenyataan, mencipta era potensi baru yang tersendiri. Sebagai penghargaan terhadap pencipta konten tempatan dan karya mereka, termasuk kandungan e-dagang TikTok Shop, TikTok Awards 2024 mempersembahkan tema kepelbagaian budaya Malaysia yang boleh dinikmati oleh penonton di seluruh dunia.
TikTok Awards yang diperkenalkan tahun lalu telah memberikan ruang yang besar kepada pemenang dan calon yang tersenarai, membolehkan mereka mengorak langkah dalam penciptaan konten dan kerjaya profesional mereka. Sebahagian daripada mereka terus mencapai pencapaian luar biasa dan mendapat perhatian media melalui platform ini.
TikTok Awards Malaysia 2024 akan berlangsung pada 11 Ogos 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (World Trade Centre) Kuala Lumpur. Acara megah ini bukan sahaja akan merayakan kejayaan pencipta kandungan tempatan, tetapi juga menjadi platform penting di mana mereka dapat mengubah impian mereka menjadi realiti melangkaui skrin.
“Kami amat teruja untuk membawa kembali TikTok Awards tahun ini dalam meraikan dan menghargai pencapaian para pencipta konten tempatan kita. Tahun ini, kami benar-benar ingin menitik beratkan semangat komuniti kami yang berbakat dan pelbagai di TikTok Awards Malaysia 2024! Bertemakan ‘Realisasikan Impianmu’ (Celebrating New Dreams), kami komited untuk merealisasikan aspirasi para pencipta kami dengan menyediakan platform di mana kreativiti dan jiwa positif mereka boleh berkembang. TikTok Malaysia berbangga untuk menyokong komuniti tempatan kami dengan memupuk platform bagi para pencipta untuk memberi inspirasi dan saling berhubung,” kata Yin Yin Hooi, Ketua Program & Wawasan Pemasaran SEA, TikTok.
Menurut Puan Marlia Zul Amran, Pengurus Besar Kandungan TV3, “TV3 berbesar hati untuk menjadi platform utama menganjurkan TikTok Awards di Malaysia untuk tahun kedua, mengeratkan kolaborasi antara TV3 dan TikTok. Kerjasama ini mengetengahkan peranan TV3 sebagai penyiar utama serta menampilkan kreativiti dan bakat luar biasa dalam komuniti TikTok. Acara ini bukan sahaja meraikan pencipta kandungan yang memberikan inspirasi, malah juga mencorakkan dunia digital kita. Seiring dengan visi TV3 iaitu untuk membekalkan informasi, memberikan inspirasi dan membawa hiburan serta menyiarkan kandungan segar dan inovatif kepada penonton. TV3 juga amat berterima kasih kepada semua penaja yang merealisasikan penganjuran acara ini.”
TikTok Awards Malaysia 2024 akan menampilkan dua segmen utama iaitu Pilihan Juri (Judge’s Pick) dan Pilihan Popular (People’s Choice). Bagi kategori Pilihan Juri, para calon dipilih berdasarkan kriteria khas dan dinilai oleh panel eksekutif yang terdiri daripada Khairul Aming, Angga Anugrah Putra, Pengurus Besar Operasi TikTok, Asia Tenggara, serta Puan Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios. Barisan panel ini akan menilai setiap pencipta konten dalam kategori masing-masing seperti Hiburan, Animasi, Permainan, Makanan, Pendidikan, Sukan, serta Kecantikan & Fesyen.
Untuk Pilihan Popular, TikTok sekali lagi membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengundi pencipta kandungan kegemaran mereka. Pengundian awam untuk lima kategori (Creator of the Year, Celebrity of the Year, Video of the Year, TikTok LIVE Creator of the Year dan TikTok Shop Creator of the Year) akan dibuka bermula 25 Julai sehingga 9 Ogos 2024. Undian boleh dibuat di SINI.
Selaras dengan tema “Realisasikan Impianmu”, acara TikTok Awards tahun ini berbangga untuk memperkenalkan sebuah anugerah istimewa, “Changemaker of the Year”. Dalam era digital penciptaan kandungan yang pesat berkembang, anugerah ini bertujuan untuk mengetengahkan dan memberi sokongan kepada mereka yang berani mencipta impian. Melalui kategori ‘Changemaker of the Year’, TikTok berhasrat untuk mengiktiraf pencipta yang berjaya memberikan impak besar dan melangkaui batasan yang positif melalui kandungan yang dicipta. Sama ada dalam memberikan inspirasi kepada perubahan positif, memberikan kesedaran tentang isu-isu penting, mahu pun sekadar memberi inspirasi kepada ribuan lagi penonton, anugerah ini bertujuan untuk mengangkat mereka yang bercita-cita besar dan mampu membawa impak perubahan kepada komuniti dan masyarakat sekeliling.
Selebriti, Pencipta Kandungan dan Banyak Lagi di TikTok Awards
Malam gemilang TikTok Awards bakal direalisasikan melalui gandingan hebat Che Puan Sarimah Ibrahim dan Janna Nick sebagai pengacara pada malam itu. Pencipta konten TikTok, Ceddy Ang dan Ain Edruce, kedua-duanya yang telah menemui niche masing-masing, bakal menggalas tanggungjawab untuk menyambut kehadiran rakan-rakan pencipta kandungan yang lain dan beramah mesra dengan mereka di karpet merah. Dedikasi TikTok dalam menyokong dan menghargai bakat komuniti mereka terlihat apabila mengangkat Ceddy dan Ain untuk mengacarakan anugerah terbesar TikTok ini. Manakala bagi bekas calon pencipta kandungan kategori Kecantikan dan Fesyen pada tahun lalu, iaitu Eima Safuan pula dipertanggungjawabkan sebagai pengacara belakang pentas bersama pelakon, Daniel Fong.
Antara barisan selebriti dan pencipta konten hebat yang akan memeriahkan pentas bagi menyampaikan anugerah kepada bakal pemenang termasuklah Khairul Aming, Ryanbakery, Sofyank dan Goh Liu Ying. Nantikan juga persembahan memukau daripada Aina Abdul, Naim Daniel, Aisha Retno, Sarah Suhairi, Amir Jahari, dan ramai lagi yang pasti akan memikat dan menghiburkan penonton sepanjang malam.
Saksikan siaran langsung TikTok Awards, eksklusif hanya di TV3 dan akaun rasmi TikTok Malaysia pada jam 9.00 malam, Ahad, 11 Ogos 2024!
TikTok Awards Malaysia 2024 dianjurkan dengan kerjasama TV3, dikuasakan oleh Siri HONOR 200 5G (Penaja utama), didominasikan oleh The Raw Skincare. (Penaja bersama), diraikan oleh TikTok Shop (Rakan penaja), dihubungkan oleh U Mobile 5G (Rakan penaja) dan disinarkan oleh TRESemmé (Rakan penaja).