Tiket monolog Jual Ubat karya dan lakonan sendiri Khalid Salleh telah habis dijual walaupun baru masuk malam keempat pementasannya. Sambutan hebat lagi membanggakan ini diperakui oleh lebih 700 penonton yang rata-ratanya terdiri daripada generasi muda dalam kalangan mereka yang pertama kali menonton teater serius.
“Monolog Jual Ubat lakonan Khalid Salleh ini telah lama saya tonton sebelum ini. Ini kali kedua saya tonton di Istana Budaya kerana ia bukannya hiburan yang melulu,” jelas Sutung Umar RS, penulis buku Ratib Kalbu, yang telah menyaksikan monolog ini di Lambang Sari, Istana Budaya.
Kehebatan monolog ini terletak pada isi kandungannya yang menyentuh kritis berkenaan isu agama, nilai jati diri bangsa dan bahasa Melayu, permasalahan masyarakat, dan keperluan kepada perubahan pemikiran. Segala isu ini disampaikan oleh Khalid dengan lontaran suara yang padu, lenggok badan yang memukau, dan ucapan skrip dalam pelbagai bahasa sehingga membuatkan penonton seperti tidak sedar telah menyaksikan persembahan selama dua jam.
Tiket Monolog Jual Ubat Khalid Salleh Habis Dijual
[dropcap]M[/dropcap]onolog Jual Ubat ini juga dijadikan sumber rujukan pelajar jurusan seni yang ingin mengetahui dan mendalami maksud penyampaian teknik teater yang berkonsepkan monolog. Ini dibuktikan dengan kehadiran penonton pada setiap malam dalam kalangan mahasiswa dan penuntut institusi pengajian tinggi seperti Akademi Seni, Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan beberapa institusi pengajian tinggi yang lain. Selain itu, pementasan ini juga mendapat perhatian dan menarik minat penonton pelbagai bangsa dan agama termasuklah dari negara Jepun.
Lebih membanggakan, monolog ini turut mendapat sambutan dan sokongan sahabat seni beliau, antaranya pengarah filem terkenal, U-Wei Hj Shaari dan Adman Salleh; pelakon Zaibo, penyanyi Sani Sudin serta rakan penulis tanah air, antaranya Sutung Umar R.S, Ladin Nuawi, Ariff Mohamad, SM Zakir dan ramai lagi.
Namun Khalid Salleh turut mengakui ada debarnya pada setiap pementasannya. Bagaimanapun apabila dirasakan adanya tanggungjawab untuk mencerdikkan dan membuka minda, akal bangsanya sendiri, kekuatan itu hadir dengan sendirinya. Dengan persediaan rapi yang telah teruji selepas banyak pementasan Jual Ubat di Singapura, Medan, Jakarta, Surabaya, Makassar dan beberapa negeri di Malaysia, Khalid merasa puas monolognya ini dapat disampaikan dengan khalayak baharu di pentas yang berprestij di Malaysia ini.
Jelas sekali, magis dan tenaga yang dibawa oleh Khalid Salleh dalam monolog Jual Ubat telah membuktikan bahawa teater Melayu yang serius mempunyai khalayak penontonnya yang tersendiri. Monolog Jual Ubat ini akan dipentaskan sehingga 17 Mac 2014 ini di Lambang Sari, Istana Budaya.