Namun, jangan risau kerana konsert anjuran syarikat rakaman Nova Music ini turut diadakan secara virtual yang dibawakan secara langsung oleh CloudTheatre.
Bermakna, peminat yang tidak dapat membeli tiket menonton konsert secara fizikal masih boleh menonton konsert tersebut di rumah atau di mana saja mereka berada menerusi gajet masing-masing dengan 1080 definisi tinggi (HD).
Khai, 27, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin berkata, tidak ada kata-kata yang mampu menggambarkan perasaannya selain bersyukur dan gembira.
“Alhamdulillah, saya tidak menjangka tiket boleh habis dengan begitu pantas. Sejujurnya, saya hilang kata-kata apabila dimaklumkan perkara ini. Sudah tentu, saya gembira dan teruja kerana ia sesuatu yang cukup membanggakan. Apa saya boleh katakan, peminat yang membeli tiket ini anda memang luar biasa.
“Saya juga nak berterima kasih kepada semua yang sudah membeli tiket. Bagi saya, ini adalah tanda sokongan anda buat saya yang mana tanpa jemu dan tidak pernah putus asa menyokong kerjaya saya. Walau apa yang saya buat, baik dalam nyanyian atau lakonan anda semua tetap ada bersama saya,” katanya.
Menurut Khai, sambutan itu menjadikan dirinya lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik selain mengakui tidak sabar untuk menghiburkan peminatnya.
“Sebagai penyanyi tentu saja mahukan konsert yang bakal dijayakan berjaya. Malah, penganjur yang membawakan konsert ini juga pastinya berharap tiket akan terjual. Alhamdulillah, peringkat awal konsert ini sudah berjaya. Tinggal lagi kita nak merealisasikan konsert ini.
“Biarpun perasaan gementar itu ada dalam diri, saya percaya kehadiran peminat yang sudah membuatkan tiket konsert ini habis terjual membuatkan saya tidak sabar untuk menghiburkan mereka. Saya mahu menjadikan malam konsert ini nanti sebagai satu lagi kenangan terindah dalam kerjaya dan juga buat seluruh peminat yang menonton secara fizikal atau virtual,” katanya.
Konsert ‘Nafas Cinta’ Khai Bahar bakal diadakan pada 12 Februari depan di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJ PAC), 1 Utama Shopping Centre, Bandar Utama jam 9 malam.
Menariknya, konsert ini bakal menampilkan dua penyanyi jemputan wanita iaitu Aina Abdul dan Adira Suhaimi. Penyanyi-penyanyi baru, Ahmad Syafiq, Farra Ahmad dan Syeera Aziz turut menjadi artis pembuka tirai konsert.
Tiket tontonan konsert secara virtual boleh dibeli dengan harga RM19.90
(13 hingga 27 Januari) dan RM29.90(28 Januari hingga – 12 Februari). Peminat-peminat disaran untuk membel tiket secepat mungkin untuk mendapat harga terbaik.
Menariknya, pihak CloudTheater dipertanggungjawabkan sebagai pengendali virtual Konsert ‘Nafas Cinta’ Khai Bahar menerusi laman web www.cloudtheatre.com dan boleh dilayari 30 minit awal sebelum konsert berlangsung.
Pengendali konsert virtual ini turut menyediakan logo WhatsApp ‘Help’ jika ada sebarang masalah atau gangguan sepanjang konsert itu berlangsung.
CloudTheater juga turut menyediakan ruangan komen dan emoji bagi membolehkan penonton secara virtual menulis komen.
Penganjuran konsert ‘Nafas Cinta’ Khai Bahar disokong oleh MyCreative Ventures, PENJANA dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM). Stesen radio ERA FM bertindak sebagai radio rasmi manakala Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur menjadi hotel rasmi konsert.