Mengisahkan indahnya cinta dan kasih sayang dalam sebuah keluarga, Radio Televisyen Malaysia (RTM) membawakan sebuah telemovie terbaharu kepada penonton setia salurannya bertajuk “Tiga Tempat Kosong”, pada 30 April ini, pukul 9.00 malam di TV1.
Menariknya ia mengetengahkan bakat pelakon Rusdi Ramli sebagai pengarah telemovie ini yang mengangkat isu poligami di Malaysia kerana ia sering menimbulkan pro dan kontra di dalam masyarakat termasuk di kalangan umat Islam.
Telemovie “Tiga Tempat Kosong”, Tampilkan Ashraf Muslim Sebagai Watak Utama Contoh Lelaki Berpoligami
[dropcap]G[/dropcap]andingan pelakon utama Ashraf Muslim dan Memey Suhaiza yang agak lama menyepikan diri dalam bidang lakonan juga menjadi penarik dalam telemovie ini. Pastinya kemunculan dua pelakon ini amat dinantikan peminat setia yang menyokong kerjaya mereka selama ini. Telemovie ini turut dibintangi oleh Cha Cha Maembong, Rusdi Ramli, Aida Khalida, dan Teka Zulkifli.
Ikuti perjalanan plot kisah watak lelaki bergelar ustaz selebriti, Razlan yang menjalani kehidupan yang bahagia dengan isterinya bernama Arlisa. Mereka gembira bersama apatahlagi kehidupan seharian mereka berlandaskan syariah dan berpegang kepada ajaran agama.
Namun takdir bukan di tangan mereka. Berlaku kejadian yang mereka sendiri tidak pernah menduga. Kemunculan gadis dikenali sebagai Khadijah membuatkan Arlisa seperti orang yang hilang pedomannya terhadap takdir dan ketentuan Allah.
Satu hari dia mendapat tahu suaminya, Razlan, berhasrat untuk berkahwin lagi dengan gadis itu. Situasi itu membuatkan Arlisa rasa terpukul kerana selama ini Arlisa banyak memberi nasihat pada ‘pelanggan’nya agar mengizinkan suami mereka berpoligami daripada diceraikan atau berlaku curang di belakang mereka.
Telemovie terbitan Khalida Production Sdn Bhd mengajak penonton berfikiran di luar kotak tentang maksud dan penjelasan sebenar tentang pengertian “poligami” yang sebenarnya.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.