Sepanjang bulan Mei lalu golongan ibu antara individu bertuah diraikan insan-insan tersayang dalam menghargai jasa dan pengorbanan mereka yang hakikatnya tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Sambutan Hari Ibu nyata menyumbang kepada mengeratkan ikatan kasih sayang antara seorang anak dengan ibu mereka.
Bulan Jun ini pula giliran sang bapa mengambil tempat diraikan oleh anak mereka sempena sambutan Hari Bapa yang diraikan pada Ahad ketiga di bulan Jun setiap tahun. Bagi tahun 2014 ia disambut pada 15 Jun ini dengan gilang gemilang di seluruh negara.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut berbesar hati menyatakan penghargaan mereka kepada golongan bapa dan penonton setia mereka dengan membawakan tiga telemovie khas kekuatan ikatan seorang anak dengan bapanya dengan cara yang tersendiri. Drama-drama santai menampilkan tiga pelakon Ridzuan Hashim, Kazar Saisi dan Aman Graseka membawakan watak utama sebagai bapa dengan isu dan plot kisah berbeza.
Saksikan tiga telemovie khas Hari Bapa di RTM bermula tayangan drama Papaku, Heroku (7 Jun, 3.00 petang di TV1), Alahai Abah (10 Jun, 10.00 Malam di TV2) dan Munajat Cinta Ayahanda (15 Jun, 10.05 pagi di TV1).
Telefilem Papaku, Heroku bercorak komedi ringan yang menceritakan kisah seorang bapa yang menganggap anak gadisnya masih kecil. Ayahnya itu sangat menjaga anaknya hingga hal gincu dan baju pun mahu ditentukannya juga. Drama ini menampilkan pelakon Ridzuan Hashim, Maria Farda, Erin Malik dan Anding Indrawani.
Menyusul drama Alahai Abah yang dibintangi pelakon utama Kazar Saisi di samping Amar Bahrin, Zarina Zainuddin, Watie Sadali, Shasha Al-Kred dan Nazeera Sardi pula tidak kurang menariknya mengetengahkan jalan cerita komedi seorang bapa tunggal, Rashid yang baru saja kematian isteri dan mempunyai 2 orang anak, Azrul dan Azimah. Azrul masih bujang dan bekerja sebagai eksekutif tinggal bersama dengan Rashid. Manakala Azimah telah berumah tangga dan tinggal bersama suaminya di Kuala Lumpur.
Rashid yang kematian isteri berhasrat untuk mencari pengganti arwah isterinya. Rashid sebenarnya telah menaruh hati terhadap seorang gadis muda bernama Hayati yang bekerja sebagai guru tadika. Pelbagai cara dicuba Rashid untuk menarik perhatian gadis tersebut termasuk sentiasa mengunjungi warung ibu gadis itu, Halimah.
Satu hari Rashid berjaya menyelamatkan Hayati daripada kejadian ragut dengan dibantu anaknya Azrul. Situasi itu membuatkan Hayati terhutang budi terhadap kedua beranak itu dan menyukai Azrul dalam diam. Sebaliknya Halimah pula jatuh cinta pada Rashid. Namun Rashid salah faham Hayati sukakannya. Berlaku pertelingkahan yang membuatkan kedua beranak itu bertengkar berebutkan Hayati. Lalu apakah kesudahannya? Siapakah yang sudi beralah demi kebahagiaan semua?
Siapa kata hanya ibu tunggal berdepan dengan fitnah dituduh menjalinkan cinta dengan suami orang? Pendekatan sama cuma dengan jalan cerita yang berbeza ditonjolkan dalam drama bertajuk Munajat Cinta Ayahanda. Bezanya watak utama menampilkan pelakon utama seorang lelaki bergelar lelaki bapa tunggal kematian isteri yang kesunyian tanpa anak-anak mengumpul kekuatan berdepan dengan fitnah dilontarkan orang kampung yang menuduhnya menjalinkan hubungan dengan wanita bergelar janda di kampung tersebut.
Drama penuh konflik ini menampilkan lakonan berkesan Aman Graseka dengan dibantu oleh Husairi, Sheera Iskandar, Fikree Bakar, Nik Marini dan Shaffiq.