Ketiga-tiga selebriti lelaki ini telah menunjukkan sifat ‘gentleman’ dan cinta mereka kepada pasangan masing-masing apabila membuat lamaran untuk berkahwin.
Selain Kamal Adli, 2 Aktor Malaysia Ini Juga Nekad Lamar Pasangan Secara ‘Live’
Menariknya bukan hanya disaksikan oleh rakan-rakan dan ahli keluarga mereka, malah hampir ‘1 Malaysia’ menyaksikan lamaran yang dibuat oleh ketiga-tiga selebriti lelaki ini kepada pasangan mereka yang juga merupakan pelakon. Berikut Murai.my tampilkan detik lamaran yang juga menjadi sejarah dalam lipatan kehidupan pasangan selebriti ini.
Kamal Adli Melamar Uqasha Senrose Di AME2020
Pelbagai ‘highlight’ menarik telah berjaya disaksikan oleh ramai penonton menerusi Anugerah MeleTOP ERA 2020 yang berlangsung malam tadi (20 Disember 2020) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Ini termasuklah detik pelakon Kamal Adli melamar kekasihnya yang juga pelakon, Uqasha Senrose ketika kedua-duanya menjadi penyampai anugerah dalam acara itu.
Biarpun berseloroh yang sememangnya menjadi sifat Kamal Adli, namun pelakon ini membuat kejutan dengan membawa keluar kotak sebentuk cincin sebagai tanda lamarannya buat Uqasha.
“Uqasha Senrose sudikah awak menjadi isteri saya?” tanya Kamal Adli sambil berlutut.
Uqasha yang kelihatan terkejut meminta Kamal untuk mengulangi lamaran tersebut kerana seakan tidak percaya dengan apa yang berlaku sebelum dia membalas ‘Ya’
“Yes,” jawab Uqasha ringkas yang memakai pakaian dengan warna sedondon hitam.
Difahamkan, cincin tersebut telah ditaja oleh Habib Jewels dan lamaran yang dibuat tersebut sekaligus mengakhiri spekulasi hubungan mereka yang hangat diperkatakan sebelum ini.
Set Propaganza Jadi Saksi Lamaran Awal Ashaari Buat Scha Al-yahya
Awal Ashaari merupakan selebriti pertama yang membuat lamaran kepada kekasihnya yang kini sudah menjadi isteri tercinta, Scha Al-Yahya. 25 Mac 2012 menjadi detik bersejarah buat pasangan ini apabila Awal membuat kejutan di set rakaman program Propaganza yang telah dihoskan oleh Reza Mohammad dan Masha Milan Londoh.
Difahamkan, ketika itu Awal dan Scha telah dijemput sebagai tetamu jemputan dan Awal mendedahkan dia sudah lama menunggu hari yang sesuai untuk melamar Scha. Menurutnya, tarikh 25 Mac merupakan tarikh yang sesuai kerana ianya merupakan tarikh ulang tahun percintaan mereka yang ke dua tahun enam bulan ketika itu.
Ketika melamar Scha, Awal menghadiahkan sebentuk cincin berlian, sejambak bunga ros dan sebuah patung beruang besar. Awal dan Scha telah berkahwin pada 4 Mei 2012 dan hasil perkahwinan mereka mempunyai seorang anak perempuan,Lara Alana dan bakal menimang cahaya mata kedua pada awal 2021.
Hairul Azreen Lamar Hanis Zalikha Di Pentas Akhir Gegar Vaganza
Membuktikan lambang cinta nya, pelakon Hairul Azreen melamar Hanis Zalikha di hadapan ratusan penonton ketika di pentas akhir Gegar Vaganza 2015 (GV2) yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.
Sebelum ini, Hairul menyatakan Hanis merupakan sahabat baiknya sebelum membuat kejutan melamar pelakon itu. Difahamkan Hairul terlebih dahulu meminta restu daripada ibu bapa Hanis dan kejutan itu turut diminta oleh produksi Astro sebagai gimik acara itu.
“Saya mahu awak jadi teman baik saya. Saya mahu awak jadi rakan kongsi perniagaan saya dan saya mahu awak jadi isteri saya yang sah.
Sebelum datang ke sini (GV), saya telah berjumpa dengan mak ayah awak untuk mendapat restu mereka. Ini bukan cincin tunang, ini bukan cincin nikah.
Ini adalah cincin tanda awak setuju dengan lamaran ini. Sudikah awak menjadi isteri saya?” lamar Hairul kepada Hanis
Pasangan ini telah mendirikan rumah tangga pada 5 Jun 2015 dan kini mempunyai sepasang cahaya mata, Yusof Iskandar 4, dan Alisa Aisyah,1.
*Sumber: Murai