in

TIGA PROGRAM HIBURAN TERBAIK SEMPENA HARI LEBARAN

RTM1 MENYAJIKAN TIGA PROGRAM HIBURAN TERBAIK SEMPENA HARI LEBARAN 2008.

Bagi perayaan Aidilfitri kali ini RTM1 telah menghidangkan tiga buah program hiburan terbaik lagi menarik buat tatapan semua. Antaranya, ‘Bintang 2 Zaman’, ‘Komedi Khas Raya : Selamat Hari Raya Jiran Tetangga’ dan ‘Seiring Sejalan… Meriah Aidilfitri’.

Tirai akan dibuka pada 1 Oktober 2008 (Rabu), jam 12.05 tengah hari. Menerusi program ‘Bintang 2 Zaman’, penonton akan dibawa berhibur bersama gandingan artis lama dan baharu yang akan menyanyikan seleksi lagu malar segar yang pernah dirakamkan sejak tahun 1930an lagi. Rancangan ini dibahagikan kepada empat segmen bebeza yang meliputi lagu era 30-an sehingga era 70-an. Antara lagu yang bakal diperdengarkan ialah Abang Becha, Suzana, Oh Fatimah, Dendang Perantau, Keindahan Pantai, Dalam Airku Terbayang Wajahmu, Seloka Hari Raya, Satu Hari Di Hari Raya dan Nazam Lebaran. Rancangan ini diterbitkan oleh Nor Hafizoh Idris.

‘Bintang 2 Zaman’ akan menampilkan artis-artis terkenal tanahair seperti Samsudin Lamin, Aspalela, Mariam Ahmad, Mimi Loma, Andre Goh, Farawahida, Haziq, Izwan Pilus, Zehra Zamri dan Shahhir,

Pada jam 9.00 malam hari yang sama penonton setia RTM1 akan dihiburkan dengan sebuah rancangan komedi bertajuk ‘Komedi Khas Raya : Selamat Hari Raya Jiran Tetangga’. Sebuah rancangan bergenre komedi muzikal yang menampilkan barisan pelakon komedi dari dua generasi iaitu generasi lama dan baru. Memaparkan kisah dua buah keluarga yang berjiran tetapi isteri masing-masing Kak Jah dan Kak Odah yang saling bermusuhan.

Sementara, suami mereka Salim dan Abdul, juga anak-anak mereka iaitu Rustam dan Zaid bersahabat baik dibelakang mereka secara rahsia. Dalam masa sama, mereka mendapat jiran baru Pak Mat dan anak gadisnya Nana yang menjadi rebutan Zahid dan Rustam. Pastinya komedi khas Aidilfitri ini mampu membuat para penonton tidak kering gusi. Bertindak sebagai penerbit program komedi ini adalah Shamshuriah S.Anwar.

Barisan pelakon komedi terkenal yang menjayakan rancangan ini adalah Saiful Apek, Raja Azura, Nabil, Datuk Aziz Sattar, Imuda, Diana Danielle, Syarifah Shahira, Norlia Ghani, Accapan, Angah Raja Lawak dan Along Cham.

Manakala pada 2 Oktober 2008 (Khamis) jam 12.05 tengah hari para penonton berpeluang menonton sebuah program hiburan bertajuk ‘Seiring Sejalan… Meriah Aidilfitri’. Rancangan ini menggabungkan artis-artis popular dengan wartawan-wartawan hiburan serta warga kerja di bawah Kementerian Penerangan Malaysia. Wartawan-wartawan hiburan yang terpilih adalah daripada majalah serta akhbar harian tanah air.

Program hiburan terbitan Nur Ashidah Abd Hamid ini membariskan artis-artis popular termasuklah Erra Fazira, Ferhad, Achik, Siti Nordiana, Ani Mayuni dan Burn. Selain persembahan nyanyian, penonton akan terhibur dengan telatah dan usik-usik oleh pengacara, Sheila Rusly.

Manakala rakan media yang turut terlibat menjayakan program ini adalah Niezam Abdullah (Utusan Malaysia), Haswari (Kosmo), Shahril (Media Hiburan), Huzz (URTV), Hanif (Media Hiburan), Feride Hikmet Atak (Kosmo), Tengku Suzana (Kosmo), Yanie (Harian Metro) dan Rudy Imran (Harian Metro). Secara tidak langsung, peminat dapat melihat bakat menyanyi yang terpendam para wartawan yang selama ini hanya terserlah bakat penulisan mereka.

Pastikan anda semua tidak akan melepaskan peluang keemasan ini bagi menonton semua program menarik dan menghiburkan yang disajikan khas untuk anda sempena Hari Raya Aidilfitri menerusi RTM1, Saluran Inforia. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

KUZA, KUNI, WATIE ELITE DAN EDDY ASHRAFF DALAM SENJA BERDUKA SUBUH MENANGIS

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1429H/2008