Berita ini dipetik dari portal GUA:
Akhirnya misteri pembikinan sebuah teater muzikal berkaitan NORA terungkai apabila Enfiniti Vision Media, syarikat produksi yang menerbitkan Puteri Gunung Ledang The Musical dan P.Ramlee The Musical mengumumkan projek terbaru mereka.
Projek teater muzikal “The Secret Life of Nora” (NORA) diumumkan sendiri oleh penerbit, pelakon dan pencinta seni, Tiara Jacquelina dalam satu siding media yang dihadiri lebih 80 petugas media di Red Carpet Boulevard, The Encorp Strand, Kota Damansara.
Menurut Naib Presiden Kumpulan, Operasi Enfiniti, Izan Satrina, muzikal tersebut akan menjadi penerbitan yang paling mencabar buat syarikat tersebut sejak menghasilkan Puteri Gunung Ledang The Musical dan P.Ramlee The Musical. Dijangka akan dipersembahkan pada penghujung bulan September, “NORA” menjadi penamat kepada perbualan peminat yang mula diperkatakan umum sejak berakhirnya PGL musim ketiga dipentaskan.
Tiara sendiri akan kembali ke pentas sebagai pelakon membawakan watak utama sebagai Nora.
“Setiap kali saya diajukan soalan apakah watak yang ingin saya bawakan setelah 7 tahun menjadi “Puteri”. Saya inginkan watak yang lebih ringan, seseorang yang lebih moden, bertenaga dan menyeronokkan dalam mengejar impian peribadinya untuk menjadi seorang heroin yang diminati ramai. Nora ada semua yang saya inginkan.” jelas Tiara yang juga merupakan Presiden Enfinti Vision Media.
Setelah berpeluang bekerja dengan Datuk Zahim Albakri dan Adlin Aman Ramlie selaku pengarah PGL dan PRTM, kali ini Enfinti memilih Steven Dexter sebagai pengarah teater muzikal NORA. Ia merupakan satu keputusan terbaik yang dilakukan Enfiniti bagi menaikkan martabat teater muzikal Malaysia agar menjadi setaraf teater muzikal di Barat.
Steven Dexter merupakan pengarah teater muzikal “Peter Pan”, “The King And I”, “The Sound of Music”, “Fried Rice Paradise”, “Forbidden City”, “Honk”, “Pros, Cons And A Screw” dan banyak lagi.
“Sudah sampai masanya kita memikirkan untuk bekerja dengan seseorang yang di luar zon selesa kita. Saya sudah biasa bekerja dengan Zahim, Pat, Roslan, Adlin dan kini kita perlu mencari peluang untuk bekerja dengan seseorang yang kita tidak tahu cara kerjanya dan pemikirannya. Kita mengambil risiko yang besar dengan melakukan perubahan dengan memilih Steven sebagai pengarah dan tenaga kreatif termasuk penulis skrip. Kami mahukan bila kami memulakan kerja nanti, kami akan rasakan kelainan dan kesegaran suasana tersebut.” tambah Tiara lagi.
“Dalam tempoh lima tahun saja kita boleh lihat bagaimana industri ini berkembang dengan pesat. Kami perlu melakukan sesuatu untuk menaikkan taraf industri teater muzikal ini dengan mengambil seseorang yang memiliki perspektif global dan pernah bekerja secara langsung dengan industri teater di Barat.” jelas Tiara lagi.
“Yang paling penting, kami mahukan dia mengajar kami bagaimana mereka di Barat melakukannya. Kita memiliki tenaga kerja tersebut seperti pereka set, busana, pencahayaan, pengurusan pentas dan mereka perlu diberikan pendedahan kepada sistem menerbitkan teater muzikal seperti di sana.”
Tambah Tiara lagi, “Steven memiliki sentuhan ajaib untuk menukar satu adegan kepada sebuah muzikal dan kepandaian itu memerlukan sentuhan seni yang unik untuk kita sama-sama pelajari bagi mempersiapkan tenaga kerja kita untuk melangkah lebih jauh lagi.”
Tidak menjadi Steven sebagai batu loncatan untuk menembusi pasaran West End dan Broadway, sebaliknya apa yang dilakukan Enfiniti adalah untuk kepentingan industri teater muzikal di sini dahulu.
“Secara jujurnya, persaingan sengit juga berlaku di West End dan Broadway dan agak sukar untuk kita tembusi pasaran di sana. Jika produksi ini dapat menarik minat pasaran Singapura, Korea dan China pun ianya sudah cukup besar buat kami kerana yang paling utama adalah peluang untuk menggali setiap ilmu yang dimiliki Steven agar industri kita akan dipersiapkan dengan tenaga-tenaga kerja professional yang boleh mengangkat kualiti produksi kita sendiri. Jika tidak kita memerlukan masa 30 tahun atau mungkin 100 tahun untuk hanya mempelajarinya melalui pengalaman sama seperti yang dihadapi oleh mereka dahulu.”
Ujibakat mencari pelakon teater ini akan diadakan dalam masa yang terdekat ini.