Pemilik nama sebenar, Tiara Anugrah Eka Setyo Andini, 22, ini memberitahu single rancak bergenre Kpop itu dijangka akan dilancarkan pada tahun ini.
“Lagu ini ada unsur Kpop tapi menggunakan bahasa Inggeris dan ada sedikit rap. Ia sangat berbeza daripada lagu-lagu saya sebelum ini. InsyaAllah saya akan lancarkan tahun ini dan berharap lagu ini diterima semua peminat saya di Indonesia dan Malaysia.
“Saya juga berharap lagu ini dapat menarik minat pendengar antarabangsa khususnya di Korea Selatan,” ujarnya.
Tiara ditemui pada majlis Media Gathering Tiara Andini di Universal Music, di sini, Selasa. Berkongsi lanjut mengenai perkara itu, Tiara meluahkan rasa syukur diberi peluang untuk bekerjasama dengan komposer berkenaan.
“Saya gembira diperkenalkan dengan komposer ini. Sebenarnya saya seorang peminat lagu-lagu Kpop dan apa-apa juga yang ada kena mengena dengan Korea.
“Saya penggemar muzik, drama, makanan dan budaya Korea Selatan itu sendiri. Peluang kerjasama dengan komposer dari negara itu bagaikan sebuah mimpi. Saya sudah berkongsi idea-idea saya untuk dimasukkan dalam lagu berkenaan. Kami juga mungkin merakam beberapa buah lagu lain,” ujarnya.
Tidak pernah menjejakkan kaki ke Korea Selatan, penyanyi lagu Merasa Indah itu sangat berharap dapat bercuti ke negara ginseng itu suatu hari nanti.
Dalam perkembangan lain, Tiara berkata, dia bakal mengadakan konsert di Malaysia pada Jun depan. Biarpun sudah biasa membuat persembahan di Indonesia, Tiara akui perasaan gementar itu tidak boleh dielak.
“InsyaAllah pada Jun akan datang ini saya akan mengadakan konsert di Malaysia.
“Saya sudah biasa nyanyi tapi perasaan gementar itu masih ada terutama jika melakukan persembahan berskala besar, apa lagi ini pertama kali di sini. Saya selalu berinteraksi dengan peminat di Malaysia dan ramai yang memberi sokongan untuk saya buat persembahan di sini,” ujarnya.
Sekadar info, Tiara baharu sahaja melancarkan single cover berjudul Menyesal bersama Yovie Widianto, Lyodra dan Ziva Magnolya. Lagu ciptaan sepenuhnya Yovie Widianto nyanyian asal Ressa Herlambang itu meraih 19 juta tontonan sejak dimuat naik di saluran YouTube pada 3 Mac lalu.