in

Tiada Penyingkiran di Separuh Akhir Bintang Mencari Bintang

Debaran semakin kencang apabila Bintang Mencari Bintang musim kedua telah sampai ke peringkat separuh akhir. Dua minggu yang lalu, anak didik Afdlin Shauki, OOOOO gagal meraih markah dan undian yang tinggi daripada barisan juri profesional serta penonton lalu kumpulan itu telah tersingkir pada pusingan pertama.

Pada konsert separuh akhir kedua yang berlangsung pada malam Ahad yang lalu, pihak produksi dan juri profesional sepakat mengumumkan tiada penyingkiran bagi pusingan tersebut. TOKAN (Faizal Ismail), LAMPU (Saiful Apek), SUMBU (Ebby Yus), KEPOH (Adlin Aman Ramlie) dan MMMMM (Afdlin Shauki) perlu mengumpul markah pada separuh akhir kedua dan ketiga dalam menentukan siapakah yang layak berentap di konsert akhir BMB2 nanti.

Tiada penyingkiran bagi TOKAN, KEPOH, MMMMM, SUMBU & LAMPU minggu ini

Menurut Penerbit Eksekutif Bintang Mencari Bintang 2, Muhamad Sufian Isa:

“Walaupun sudah sampai ke pusingan separuh akhir kedua, masih terlalu awal untuk membuat ramalan siapakah yang akan mara ke konsert akhir kerana semua anak didik mempunyai peluang yang sama rata untuk mara ke peringkat separuh akhir ketiga. Oleh itu, para sifu dan anak didik perlu mengekalkan momentum dan sentiasa memperbaiki corak persembahan supaya tidak tersingkir. Sehingga hari ini, kami berbangga kerana para Sifu berjaya melahirkan pelapis baru yang berbakat besar dan berkualiti dalam industri hiburan tanahair. Jadi, bagi mereka yang gagal ke pusingan seterusnya, jangan berputus asa kerana peluang untuk menceburkan diri dalam industri hiburan sentiasa terbuka bagi mereka yang berusaha.”

Bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada setiap hari Ahad pukul 9.00 malam, BMB2 membariskan 6 Sifu yang bukan calang-calang orangnya dalam industri hiburan iaitu Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, Faizal Ismail, Ebby Yus, Saiful Apek dan Adlin Aman Ramlie untuk mengetengahkan bakat baharu dalam bidang sketsa komedi dan nyanyian.

BMB2 mempertandingkan 23 anak didik yang terdiri daripada 1 peserta solo dan 11 peserta kumpulan, Setiap Sifu akan mempunyai dua anak didik yang bertanding iaitu satu dari Kumpulan A dan satu lagi dari Kumpulan B. Bagi saingan peringkat pertama, anak didik akan berentap mengikut kumpulan selama empat minggu dan anak didik yang mendapat markah terendah akan disingkirkan. Kemudian bagi peringkat kedua, anak didik dari Kumpulan A dan B yang belum tersingkir akan bertemu untuk bersaing di peringkat separuh akhir. Sebelum tiba minggu terakhir, hanya lima kumpulan, layak berentap di peringkat akhir BMB2 untuk merangkul gelaran juara sekaligus membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM200,000 berserta trofi.

Sepanjang 16 episod, BMB2 menampilkan Adibah Noor dan Achey sebagai pengacara program. Selain itu, BMB2 turut menampilkan nama besar di dalam industri tanah air, ikon yang cukup berpengalaman dan sememangnya ‘otai’ di dalam bidang hiburan iaitu Fauziah Ahmad Daud (Ogy) untuk mengisi kerusi juri pada setiap minggu. Manakala, dua lagi juri tetap bagi musim ini iaitu A.R Badul dan Ahmad Idham. Minggu ini, Ajai tampil sebagai juri jemputan.

Untuk musim kedua ini, format permarkahan dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu 50% daripada juri profesional, 30% melalui undian SMS dan WeChat dan 20% daripada juri awam yang terdiri dari kalangan pelajar seni persembahan, wartawan, golongan semi-profesional dalam industri sketsa komedi dan nyanyian. Juara BMB2 akan membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM200,000 berserta trofi.

Buat penonton dan peminat setia BMB2 bolehlah menghantar undian melalui dua cara iaitu melalui SMS dengan menaip BMB Nama Kumpulan dan hantar ke 33399 atau undian secara pukal, BMB5 Nama Kumpulan dan hantar ke 33399 atau melalui undian di akaun WeChat_BMB2014.

Di samping itu, penonton turut boleh menilai persembahan anak didik BMB semasa persembahan konsert berlangsung menerusi ‘Skala Bintang’ yang boleh didapati di www.tv3.com.my/bintang. Kemudian gerakkan skala bintang untuk mengundi persembahan anak didik. Keputusan penilaian ‘Skala Bintang’ akan muncul di kaca televisyen semasa konsert BMB2 bersiaran secara langsung.

Sementara itu, penonton berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat kesemua anak didik BMB2 menerusi KOMIK BMB yang akan disiarkan selama 30 minit pada setiap hari Ahad jam 5.30 petang. Program yang dihoskan oleh bekas anak didik BMB musim pertama iaitu kumpulan Titan ini juga akan membawa penonton melihat gelagat anak didik serta perkara-perkara yang bakal terjadi ketika mereka menghadiri kelas latihan dan juga perkara-perkara yang berlaku semasa mereka membuat persiapan untuk berentap di pentas BMB2.

Ikuti konsert mingguan BMB2 yang diterajui oleh Penerbit Eksekutif, Muhamad Sufian Isa yang disiarkan secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam pada setiap hari Ahad bermula jam 9.00 – 10.30 malam. Acara kemuncak BMB2 dijangkakan berlangsung pada 22 Jun 2014.

Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini tentang BMB2, penonton boleh melayari sesawang rasmi BMB2 di www.tv3.com.my/bintang dan laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia. Pengguna laman sosial Twitter boleh menggunakan ‘hash tag’ (#BMB2014) untuk menghangatkan lagi bahang BMB2! Selain itu, penonton yang terlepas menyaksikan program ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.

BMB2 menampilkan D’HERBS sebagai penaja utama, WeChat sebagai penaja media sosial rasmi, Hot FM sebagai radio rasmi dan Hotel De Art sebagai penginapan rasmi peserta.

SUMBU

LAMPU

MMMMM

TOKAN

KEPOH

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Movie Night Out Menonton Filem MALEFICENT Bersama Budieyators

Anuar Zain Cari Peminat Setia Makan Angin di Jordan?